Tuesday, January 10, 2017
Sebar Dakwah Cara Pakcik Yang Istimewa
Di TBS (Terminal Bus Station) Kuala Lumpur, mulai jam 6 petang ke atas, akan hadir seorang pakcik di tingkat dua, di antara laluan ke transit KLIA dan TBS. Dengan sebuah beg di tangan dia berdiri seorang diri dan tidak jemu-jemu memberi salam kepada orang yang lalu-lalang. Wajahnya tenang dan bersih, pakaian terurus. Tidak nampak seperti peminta sedekah.
.
Suatu hari Arif Sukri datang menyapa, "Assalamualaikum. Pakcik jual apa?"
"Waalaikumussalam. Saya jual buku ni. Boleh nak mai tengok. Semuanya buku-buku agama."
Arif Sukri bertanyakan harga buku yang dijual.
.
Dengan lembut dia menjawab, "Seikhlas hati ceq la. Ikut pi nak bayaq berapa det (duit) pun tak pa."
Arif Sukri terdiam. Baginya, masa bagai terhenti seketika. Buku-buku agama ini dijual dengan bayaran seikhlas hati saja? Seumur hidup belum pernah ditemuinya lagi. Kemudian Arif Sukri terus membelek kalau-kalau ada buku yang berkenan. Niat di hati hendak juga beli dari pakcik istimewa itu. Sambil membelek mencari buku idaman, Arif bertanya pakcik sebabnya dia berniaga buku di tempat itu dengan bayaran harga buku seikhlas hati.
.
Dengan tenang dia menjawab,"Saya meniaga di sini dah lama. Waktu pagi saya cari buku, sebelah petang saya akan jual. Kalau ceq tengok buku-buku ni semua buku agama. Dan sapa-sapa nak beli buku saya akan ikut berapa yang depa mampu. Yang lalu lalang sini ramai juga dari budak-budak sekolah. Depa pun bukan ada duit sangat. Jadi saya jual ikut kemampuan depa saja. Agar mudah-mudahan depa dapat nak faham agama."
Tinggi betul cita-citanya. Ariff bertanya lagi, Untung ni ambil kat mana."
"Untung ni takat kita tengok rezeki saja. Saya percaya Tuhan tak sia-siakan orang yang tolong nak sebaq agama Allah. Kadang tu ada yang mai depa tak ambil buku. Depa bagi duit saja. Itu pun dah boleh rotate sikit-sikit. Dan kalau ada yang bayar lebih pun dapat sikit untung. Tujuan saya nak tolong orang kita. Saya hanya mahu orang kita rajin membaca dan tolong sebaq agama Islam. Orang nak kata apa pun saya tak peduli. Ada yang pandang sinis. Tak kurang juga yang kata saya tak siuman. Tak apa saya pegang janji tuhan. Tuhan tau usaha saya untuk bantu agama dengan cara saya."
Ah, panjang lebar dia bercerita. Mata Arif Sukri mula berkaca. Rupanya masih ada orang yang macam ini. Mahu didik orang membaca dan sebar agama secara tidak sengaja. Betul apa yang orang tua-tua dulu cakap cakap, hati jika mahu berbudi ke mana-mana pun dia akan terus sudi. Allahu.
Selepas memilih buku idaman, dan membuat sedikit bayaran "seikhlas hati" Arif tinggalkan pakcik Ali yang sempat lagi berpesan, "Orang membaca selamanya tidak akan rugi. Memberilah selagi ada."
Mendengar kisah Pakcik Ali, baru sedar, rupanya di dunia ini masih ada lagi orang yang sentiasa positif untuk terus memberi. Mereka percaya dengan banyak memberi kelak mereka juga akan menerima.
Kalau anda berpeluang lalu di TBS dan terjumpa dengannya, berilah dia semangat. Belilah buku-buku dia. Bab bayaran terserah kepada diri sendiri. Dengan membeli, sedikit sebanyak akan adalah harapan dan semangat baginya bahawa masih ada orang yang berminat membaca. Niatkan juga, mudah-mudahan dengan membeli dapat bantu realisasikan cita-citanya menolong anak bangsa.
Semoga Allah rahmati usaha Pakcik Ali yang menyebar agama dan ilmu Allah dengan caranya. Terus menyokong!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment