Friday, January 13, 2017

Hukum Isteri Keluar Tanpa Izin Suami



Ada seseorang bertanya, mengapa saya tidak mengikut pendapat Mazhab Syafii yang melarang isteri keluar rumah tanpa keizinan suami sekalipun untuk menziarahi ibubapa, ataupun untuk menghadiri jenazah ibu ataupun bapa ataupun anak sendiri sekalipun. Katanya, kita Malaysia bermazhab Syafii, kita mesti berpegang kepada pendapat ini. Isteri kena ikut pendapat ini. Katanya, saya terpengaruh dengan perjuangan hak wanita sehingga mengambil pendapat luar dari Mazhab Syafii.

Jawapan saya:
1. Saya memberitahu beliau, saya menghormati Mazhab Syafii. Namun, saya dalam masa yang sama mengiktiraf kesarjanaan semua mazhab muktabar dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kebenaran bukan hanya dalam satu mazhab tetapi dikongsi oleh semua. Dalam masa yang sama, pendapat yang ada sesuatu mazhab bukanlah maksum. Ia terdedah kepada penilaian dan perbandingan dengan pendapat yang lain.

2. Dalam jawapan yang lepas saya telah menjelaskan tentang isteri berhak pulang ke rumah ibubapa menziarah mereka sekalipun dilarang oleh suami terutama apabila ibubapa sakit ataupun memerlukan bantuan anaknya.
Saya telah sebutkan memang Mazhab Syafi’i, demikian juga Mazhab Hanbali memberikan hak kepada suami untuk menghalang isteri menziarahi ibubapa, saudara mara, bahkan berhak menghalang isteri dari menghadiri kematian (jenazah) ibubapa dan anak sendiri. Ini seperti yang disebut dalam Asna al-Matalib fi Sharh Raud al-Talib
وَلِلزَّوْجِ مَنْعُ زَوْجَتِهِ مِنْ عِيَادَةِ أَبَوَيْهَا وَمِنْ شُهُودِ جِنَازَتِهِمَا وَجِنَازَةِ وَلَدِهَا وَالْأَوْلَى خِلَافُهُ
“Bagi suami itu hak melarang isterinya dari menziarahi kedua ibubapanya (isteri), menghadiri jenazah keduanya dan jenazah anaknya. Namun yang lebih patut mengizinkannya”. (Zakaria al-Ansari, 2/239. Beirut: al-Maktab al-Islami).

3. Pada pandangan kita, pendapat ini dianggap tidak begitu selaras jika dinilai di sudut keadilan dan ehsan yang Allah perintahkan. Demikian ia bercanggah dengan arahan pergaulan yang baik antara suami isteri yang diperintahkan oleh al-Quran dan hadis. Perkahwinan bukan penjara yang menyiksa kehidupan seorang wanita. Hubungan suami isteri yang diakadkan setelah isteri itu dewasa tidak sepatutnya menjadi pemutus kepada hubungan anak dan ibubapa serta adik beradik yang wujud sejak awal kehidupannya. Ini melainkan jika suami mempunyai alasan yang kukuh seperti ziarah itu membawa kepada kerosakan yang lain.
Dalam Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah, Dr Abd al-Karim al-Zaydan menyatakan: “jika suami melarang isteri tanpa alasan yang diterima syarak sedangkan adanya keperluan-keperluan untuk menziarahi seperti yang saya sebut, maka boleh bagi isteri untuk menderhakai suami dan tidak mentaatinya dalam larangan tersebut” (7/295. Beirut: Muassasah al-Risalah).

4. Jika isteri ingin menziarahi ibubapa dengan kadar yang munasabah dari segi uruf (kebiasaannya), maka suami tidak boleh menghalang isteri. Ini kerana halangan itu boleh menyebabkan putusnya hubungan anak dan ibubapanya. Jika halangan itu telah menyebabkan putusnya hubungan, maka suami melakukan dosa yang besar. Melainkan, jika suami mempunyai alasan yang kukuh bahawa kepulangan ke rumah ibubapa itu boleh membawa mudarat lain yang lebih besar seperti terbabit dalam kemunkaran ataupun merosakkan hubungan suami-isteri dan seumpamanya. Sementara isteri hendaklah meminta keizinan setiap kali hendak keluar. Jika suami tidak mengizinkan sehingga boleh memudaratkan hubungan dirinya dan ibubapanya, maka isteri boleh menziarahi ibubapa sekalipun tanpa keizinan.

5. Dengan itu, dengan kadar yang sesuai pada adat kebiasaan dan kemunasabahan kedudukan isteri, dia boleh menziarahi ibubapanya sekalipun tanpa keizinan suami. Demikian juga jika ibubapa dalam keadaan uzur dan memerlukan khidmat anak, maka isteri boleh menziarahi ibubapanya untuk memberikan khidmat sekalipun tanpa keizinan suami. Inilah pendapat yang selaras dengan keinsanan dan kedudukan isteri sebagai insan yang mempunyai ibubapa dan perasaan. Ibn Nujaim al-Misri (meninggal 970H) dalam Bahr al-Raiq Sharh Kanz al-Daqaiq menyebut:

وَلَوْ كَانَ أَبُوهَا زَمِنًا مَثَلًا وَهُوَ يَحْتَاجُ إلَى خِدْمَتِهَا وَالزَّوْجُ يَمْنَعُهَا مِنْ تَعَاهُدِهِ فَعَلَيْهَا أَنْ تَعْصِيَهُ مُسْلِمًا كَانَ الْأَبُ أَوْ كَافِرًا، كَذَا فِي فَتْحِ الْقَدِيرِ. وَقَدْ اُسْتُفِيدَ مِمَّا ذَكَرْنَاهُ أَنَّ لَهَا الْخُرُوجَ إلَى زِيَارَةِ الْأَبَوَيْنِ وَالْمَحَارِمِ فَعَلَى الصَّحِيحِ الْمُفْتَى بِهِ تَخْرُجُ لِلْوَالِدَيْنِ فِي كُلِّ جُمُعَةٍ بِإِذْنِهِ وَبِغَيْرِ إذْنِهِ وَلِزِيَارَةِ الْمَحَارِمِ فِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً بِإِذْنِهِ وَبِغَيْرِ إذْنِهِ، وَأَمَّا الْخُرُوجُ لِلْأَهْلِ زَائِدًا عَلَى ذَلِكَ فَلَهَا ذَلِكَ بِإِذْنِهِ

Jika bapa isteri sakit umpamanya, dan dia berhajatkan kepada khidmatnya (anaknya) sedangkan suaminya melarang menziarahinya, maka hendaklah isteri melanggar larangannya. Ini sama ada bapa tersebut muslim ataupun kafir. Demikian yang disebutkan dalam Fath al-Qadir. Boleh disimpulkan juga daripada apa yang kami sebut ini bahawa bagi isteri hak untuk keluar menziarahi ibubapa dan mahramnya. Pendapat yang sahih yang difatwakan dengannya ialah isteri boleh keluar menziarahi kedua ibubapanya setiap Jumaat (seminggu sekali) sama ada dengan izin suami ataupun tanpa izinnya. Juga boleh menziarahi mahramnya setiap tahun sekali sama ada dengan izin suami ataupun tanda izinnya. Adapun keluar menziarahi keluarga melebihi dari yang demikian itu maka hendaklah mendapat keizinan”. (Ibn Nujaim, Bahr al-Raiq, 4/212. Beirut: Dar al-Kitab al-Islami).

6. Saya tidak fanatik mazhab. Jika anda ingin fanatik sehingga sehingga mengabaikan hak keinsanan seorang isteri, maka itu masalah anda. Islam itu adil dan ihsan. Bayangkan jika anda berada di tempat keluarga isteri anda, apakah anda suka pandangan seperti itu dikenakan ke atas anak anda?

7. Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut: “Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ianya bukan sesuatu yang wajib seperti yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Al-Quran dan al-Sunnah tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun. Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah ta’ala. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu”.( Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah).

[Sumber: FB Dr MAZA]

No comments:

Post a Comment