Sunday, December 15, 2013

Tarekat Atau Terikat

serenemaklong.blogspot.com
“Tarekat” bererti jalan untuk hampir kepada Allah. Caranya ialah dengan berzikir, sama ada berdiri, duduk atau berbaring. Pada zaman Nabi s.a.w. telah ada konsep tarekat namun tidak ada nama khusus seperti yang terdapat pada hari ini. Mengikut riwayat, selepas kaum Muhajirin Makkah berpindah ke Madinah, ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai kerja, tanah atau ternakan untuk diusahakan. Bila mereka bertanya Nabi s.a.w. apa patut mereka lakukan dengan masa yang ada itu, Baginda menasihati mereka beriktikaf dalam masjid dan berzikir, dan zikir terbaik adalah “Lailahaillallah”. Namun jumlah bilangan zikir tidak ditetapkan seperti yang ada pada hari ini. Tujuan utama zikir ialah untuk melunakkan nafsu dan mendekatkan diri kepada Allah. Terdapat banyak tarekat dengan berbagai nama. Nama itu diberikan oleh pengasas atau pemimpin tarekat, digelar khalifah, sama ada mengikut namanya sendiri atau nama kampung asal tarekat tersebut. Dan setiap tarekat itu mempunyai wirid dan zikir yang tersendiri. Untuk bertarekat tidak perlu masuk kumpulan. Yang penting kita amalkan zikir itu sendirian pada setiap masa terluang. Jangan kira bilangannya, ikhlaskan semuanya pada Allah. Kalau kita masuk kumpulan tarekat, dikhuatiri terikat pula dengan ajaran kumpulan berkenaan. Jika jalannya betul, bertuahlah, tetapi kalau menyeleweng kita yang berdosa. Di Malaysia banyak tarekat yang diharamkan kerana menyeleweng. Contohnya, sebelum berzikir kena bayangkan ‘khalifahnya’. Berzikir pula dengan nama dia, contoh “Guru Yahya”. Ada sampai tidak sedar diri dan bercampur lelaki wanita. Kepercayaan pula ada yang karut, kononnya wirid dan zikir itu khalifahnya terima secara langsung daripada Nabi s.a.w. setelah Baginda wafat, padahal ketika wafat, semua ilmu yang diturunkan Allah telah selesai disebarkannya. Ada kumpulan tarekat yang tidak melakukan solat, cukup dengan niat saja. Ketua tarekat itu menubuhkan kumpulannya semata-mata untuk mencari pengaruh, mengumpul harta atau mengamalkan seks bebas. Konon katanya amalan tidak diterima Allah kalau tidak masuk kumpulan tarekat. Itu salah. Sebenarnya, semua amalan yang baik dan sempurna - solat, puasa, sedekah dan sebagainya in sya Allah diterima Allah, sama ada dengan mengikut tarekat atau tidak. Masalah utama dengan pengikut tarekat di Malaysia pada hari ini ialah mereka yang mengikut tarekat tertentu terus terikat, walaupun sedar bahawa ia telah menyeleweng, waima diharamkan oleh kerajaan sekalipun. Mereka terus mengamalkan amalan salah tersebut secara sembunyi-sembunyi, atau yang lebih berat, menubuhkan kumpulan lain atas nama baru. Ada juga pengikut tarekat yang mengikut kumpulan tertentu untuk mendapatkan sedikit ilmu yang kemudiannya dia gunakan untuk menjadi bomoh dan meraih habuan daripada kegiatan perbomohan. Oleh itu waspadalah. Kembali ke pangkal jalan bila sedar kita telah tersasar. Keadaan ini berbeza dengan kumpulan tarekat di Timur Tengah. Apabila ditemui sesuatu yang menyeleweng di dalam sesebuah kumpulan dan diharamkan pula oleh kerajaan, para pengikut terus meninggalkan kumpulan tersebut dan amalannya, walaupun usia kumpulan itu telah mencecah ratusan tahun dan bilangan pengikut pula beratus ribu. Suluk bukan tarekat. Ia lebih berupa pengasingan diri di tempat sunyi untuk berwirid dan berzikir, mungkin mengikut amalan Nabi s.a.w. ketika bertahlus (menyendiri) di Gua Hirak untuk membersihkan diri. Syarat buat suluk ialah selama 40 hari tak boleh makan makanan berdarah, hanya sayuran semata-mata. Tujuannya untuk melunakkan nafsu, bagaimanapun mesti berhati-hati supaya tidak jatuh haram kerana Allah telah menetapkan makanan yang halal dimakan, tidak kira berdarah atau tidak. Siapalah kita untuk mengharamkannya pula. Mazhab adalah pemikiran dalam menentukan perkara berkaitan Feqah. Sementara itu Syiah pula bukan tarekat ataupun mazhab. Walaupun mengaku sebahagian daripada Islam, ia lebih merupai ideologi dengan cara berbeza daripada yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat. Tabligh juga bukan tarekat. Ia adalah kumpulan tidak berdaftar yang memberi ceramah agama dari satu tempat ke tempat yang lain selama 3 hari dalam sebulan. Allah telah berfirman akan menjadikan mereka yang berpaling daripada jalan kebenaran-Nya sebagai bahan bakaran di neraka kelak. Na’udzubillah! (Intipati TANYALAH USTAZ oleh Ustaz Dato’ Abu Hassan Din di TV9)

No comments:

Post a Comment