Wednesday, December 18, 2013

Susahnya Rakyat Marhaen

serenemaklong.blogspot.com
Dari KLIA Mat Taiko ke Seremban untuk bertemu Ustaz Hashim Ahmad dalam program dakwahnya. Mat Taiko bertolak dari Seremban ke Tampin agak lewat malam. Melalui jalan lama tidak bertol. Seremban - Senawang - Sungai Gadut - Pedas - Chembong - Rembau - Tampin. Kiri kanan hutan. Jam 1.00 pagi. Jalan lama yang gelap tidak berlampu. Sendirian di jalan raya. Bertemankan tasbih sambil berwirid. Memandu secara santai 60km sejam di tengah malam buta. Sampai di simpang Kendong jam 2.00 pagi. Dari jauh dia nampak sebuah motosikal kapcai di hadapan. ALHAMDULILLAH ... bisik hatinya. .... Ada juga teman malam-malam buta ini.... Lantas dia melajukan kereta memotong motosikal tersebut. .... Dia semakin hampir. Dari belakang dia dapat melihat seorang lelaki menunggang motosikal dengan membawa barangan di hadapannya. Dan kelihatan motosikal tersebut gerakannya tidak stabil. Mengantuk barangkali. Sewaktu kereta Mat Taiko memotong dan beriringan dengan motosikal tersebut, dia terkejut, seolah-olah penunggang motosikal itu membawa anak kecil di dalam bakul motosikal kapcainya. ... Selepas memotong, Mat Taiko memperlahankan kereta agar motosikal itu memotong bagi membolehkan dia mendapat kepastian kedua. ... Seperti dijangka, motosikal tersebut memotong kereta Mat Taiko dengan perlahan dan Mat Taiko dapat imbasan kedua .... BENAR ... penunggang motosikal itu membawa anak kecil di dalam raga hadapan. Terfikir pula, buat apa dia menunggang motosial membawa anak yang sedang tidur, yang punggung dan kaki anak di dalam bakul, kepalanya pula terlentuk di lengan ayahnya pada malam-malam buta begini ? ... Lantas Mat Taiko memecut, memotong kembali motosikal tersebut hinggalah dia menghentikan kereta di tepi jalan raya dan menunggu motosial berkenaan. Lantas dia menahan motosikal berkenaan. MAT TAIKO: Assalamualaikum. Maaf bertanya. Encik hendak ke mana ? Saya lihat ada anak kecil dalam bakul motor. Malam-malam pulak ni ? Kalau perempuan jalan malam2 bawa budak kecil, sendirian, orang kata pontianak. Encik ni lelaki, naik motosikal. PENUNGGANG: Maafkan saya, Tuan. Saya duduk di XXXXX. Saya nak hantar anak saya ke kampung di YYYYY. MAT TAIKO: Kalau hantar waktu siang tak boleh ke ? Kesianlah anak kecil. Tempat awak dengan kampung tu jauh. Dari Tampin ni pun ada kat 40 km lagi nak sampai. PENUNGGANG: Maaf, Tuan. Saya kerja am aje. Isteri saya sakit. Masuk wad hospital Seremban pukul 10 lebih tadi. Anak saya tak ada orang jaga. Saya terpaksa hantar anak balik kampung. Tinggal dengan nenek. MAT TAIKO: Hantarlah esok pagi. Kesian kat anak tu. Satu lagi, bahaya menunggang motosikal macam ni, sendirian, waktu malam-malam buta. PENUNGGANG: Saya kerja am saja. Saya dah tak ada cuti sebab dah habis jaga isteri saya sakit. Kalau saya ambil cuti, kena potong gaji. Sekarang kos hidup tinggi, barang-barang mahal. Nak hantar anak nursery pun tak mampu. Terpaksa hantar balik kampung (katanya sayu dan seolah-olah nak menangis). @@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@ MORAL CERITA: 1. Inilah antara wajah masyarakat yang jarang-jarang kita temui. Mungkin sebab itu Khalifah Umar Al Khattab ra, Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi berjalan malam untuk melihat wajah sebenar masyarakat. 2. Bersyukurlah jika anda bukan berada di dalam "kasut" si penunggang motorsikal itu. Namun mengucapkan ALHAMDULILLAH belum memadai untuk memperbaiki, menyantuni dan berkhidmat kepada masyarakat. Zahirkanlah ikram muslimin yang dimiliki oleh para sahabat radhiyallahuanhum. Agar kita saling sayang menyayang dan bantu membantu. [Sumber: Mat Taiko]

No comments:

Post a Comment