Thursday, December 19, 2013

Kuatkan Agama Dengan 24434, Jemaah Dan Taubah

serenemaklong.blogspot.com
HARI-HARI talian ini wajib dihubungi. Setiap muslim dan mukmin yang ingin menggapai kebahagiaan hakiki seboleh mungkin akan memastikan kelima-lima angka itu didail dengan sempurna. Jika tertinggal satu nombor sahaja pasti kita akan mendengar pesanan ini: Nombor yang anda dail tidak ada dalam perkhidmatan. The number that you have dialled is not in service! Di antara kelima-lima angka itu yang paling sukar dihubungi ialah angka 2 yang pertama dan angka 4 yang terakhir. Bagi angka 2 pertama, ramai berasa sukar hendak meninggalkan keempukan tilam dan kelembutan selimut pada waktu pagi yang gelap lagi dingin. Seruan Assolatu khairunminannaum seakan-akan tidak langsung menembusi cuping telinga. Sabda Rasulullah saw bermaksud: Berilah khabar gembira bagi orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid untuk mengerjakan solat subuh dengan cahaya yang terang benderang pada hari kiamat – Riwayat al-Hakim. Pada 1967, atas perintah Moshe Dayan, tentera Israel menggempur Masjid Al-Aqsa dalam kempen menakluk tanah Palestin. Ketika itu dikatakan ada di kalangan orang Arab yang menjeritkan kata-kata: “Hei, laknat! Kamu akan hapus di tangan orang Islam. Pada masa itu batu-batu besar tempat kamu bersembunyi pun akan bersuara dan menunjukkan di mana kamu berada.” Tentera Israel hanya tertawa mengejek dan berkata: ”Kami sudah tahu hal itu sejak kecil lagi. Orang-orang Arab tidak mungkin berjaya menghapuskan kami selagi bilangan jemaah solat subuh kamu tidak seramai solat Jumaat!
Pemandangan di Masjid Istiqlal, Indonesia ini mampu menggerunkan hati musuh-musuh Islam kerana jemaah solat Subuh sama ramainya dengan jemaah solat Jumaat. Allah suka bila makhluk yang dijadikan-Nya khalifah menyembah-Nya secara bersatu, berpadu dalam saf-saf yang kukuh. Angka 4 yang terakhir juga sering tertinggal. Masakan tidak kerana sepanjang malam dihabiskan di kedai Mamak 24 jam, berborak dengan rakan-rakan atau menonton siaran bolasepak. Menjelang masa pulang ke rumah, badan sudah letih dan mata pula melekat bagai kena gam! Bagaimana hendak solak isyak? Rasulullah saw bersabda, mafhumnya: Sesungguhnya dua solat iaitu isyak dan subuh ialah solat yang berat bagi orang munafik. Apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat subuh dan isyak, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak – Riwayat Ahmad dan al-Nasai. Kejayaan bergantung pada usaha kita sendiri. Jika kita boleh mendisiplinkan diri dalam perkara solat ini, umat Islam mampu menguasai ekonomi dan dunia umumnya. Pastikan kita dail talian 24434 setiap hari mulai hari ini!
Dalam kehidupan ini, kita disarankan agar sentiasa bertaubat kerana ada ketikanya tanpa disedari kita telah melakukan dosa.Dosa umpama pokok yang tumbuh dalam hati. Semakin lama dosa itu dibiarkan tanpa dicabut keluar, maka semakin kuat cengkaman akar dosa itu dalam jiwa seseorang. Dosa umpama benih pohon kejahatan yang bersemi dalam hati. Mula-mula ia bercambah, mengeluarkan akar, batang, dahan, ranting dan daun-daun.
Imam al-Ghazali menyarankan, pohon kejahatan itu perlu dicabut dengan taubat sebelum akarnya bertambah banyak, berselirat dan terlalu kuat mencengkam. Maksudnya, jika kejahatan dibiarkan, ia akhirnya akan menjadi tabiat yang sukar untuk ditinggalkan. Pada mulanya dosa akan menimbulkan rasa resah. Namun jika terus dilakukan, hati akan terbiasa, kemudian ketagih, akhirnya serasi dan sebati dengan dosa itu.
Daripada titik-titik hitam, akan menjadi tompok yang lebih besar, dan akhirnya hati akan digelapkan seluruhnya oleh dosa-dosa. Oleh sebab itu, semasa masih di tahap titik hitam lagi, hati itu mesti dibersihkan. Jangan tunggu sampai berkarat dan hati itu terkunci mati oleh dosa-dosa. Jika tidak, ketika itu tertutuplah pintu hati untuk menerima kebenaran walau bagaimana indah, hikmah dan lemah lembutnya seruan iman.PERANGI DOSA DENGAN TAUBAH!!!

No comments:

Post a Comment