Sunday, December 22, 2013

Silaturahim

serenemaklong.blogspot.com
Manusia merupakan makhluk yang tidak boleh untuk hidup bersendirian. Manusia merasa bahagia bila dapat bertindak dan melakukan aktiviti secara berjemaah, berbincang, bertukar fikiran, bekerja, bersukan, solat dan sebagainya. Menjalinkan silaturahim bererti menghubungkan kasih sayang dan persaudaraan dengan orang baru ataupun mengeratkan persahabatan dengan kenalan sedia ada sehingga rahmat Allah wujud dalam ikatan persahabatan itu. Apabila kita bertemu atau berpisah dengan seseorang Islam, hendaklah kita terlebih dahulu memberikan salam. Memberi dan menjawab salam merupakan doa dan harapan bagi keselamatan serta kesejahteraan antara satu dengan lain. Dengan doa mendoakan ini akan terjalinlah kemesraan dan kasih sayang dalam menjalin silaturahim.
Dalam memupuk silaturahim perkara-perkara berikut mesti diberi perhatian berikut: IKHLAS Wajib bagi sesiapa sahaja untuk mengikhlaskan niat kerana Allah dalam menyambung tali silaturahim. Jangan bersilaturahim kerana tujuan niat riyak dan sum’ah atau untuk menunjuk-nunjuk di hadapan manusia. MENGHARAP PAHALA Hendaklah bersilaturahim kerana ingin mendapat pahala sebagaimana yang telah Allah janjikan tanpa menunggu balasan yang setimpal daripada manusia.
MULAI DENGAN YANG TERDEKAT Semakin dekat hubungan tali persaudaraan, maka semakin wajib kita menyambungnya. Rasulullah pernah ditanya soalan: “Siapakah orang yang paling berhak digauli dengan baik?” Nabi mengatakan: “Ibumu, ibumu, ibumu, kemudian ayahmu, kemudian yang paling dekat denganmu, yang paling dekat denganmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim) DAHULUKAN ORANG YANG PALING BERTAQWA Semakin bertaqwa seseorang kepada Allah S.W.T., maka semakin besar pula haknya, juga semakin bertambah pahala bersilaturahim dengannya. Walau bagaimanapun bersilaturahim itu juga dianjurkan dengan orang kafir, khususnya apabila memujuknya kepada Islam.
MENCARI-CARI KERABAT YANG JAUH Nabi .s.a.w bersabda, mafhumnya: ”Kajilah nasab-nasab kalian yang dengan itu kalian dapat menyambung tali silaturahim. Sebab, menyambung silaturahim dapat mendatangkan kasih sayang dalam keluarga, mendatangkan harta dan memanjangkan umur.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi) Baginda juga bersabda, “Barang siapa yang senang dipanjangkan umurnya, diluaskan rezekinya, dan dijauhkan daripada kematian yang buruk, maka hendaklah bertaqwa kepada Allah dan menyambung silaturahim .” (Hadis Riwayat Imam Bazzar & al-Hakim). TERUS MENYAMBUNG SILATURAHIM DENGAN ORANG YANG MEMUTUSNYA Firman Allah yang bermaksud: ”Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba akan ada orang yang antara kamu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (Surah Fussilat 41:34) SEDEKAAH Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya: Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala sedekah, sedangkan sedekah kepada saudara ada dua pahala, iaitu pahala bersedekah dan bersilaturahim.“ (Hadis Riwayat al-Nasa’i) NASIHAT Memberikan nasihat dan amar makruf nahi mungkar kepada keluarga merupakan cara bersilaturahim yang paling baik. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.“ (Surah al-Syu’araa 26:214).
KOMUNIKASI BERTERUSAN Seseorang hendaklah melazimkan kunjungan ke rumah saudara dan rakan-rakan. Jika tidak mampu, hendaklah gunakan Internet melalui pelbagai kaedah yang ada pada masa kini. Perhubungan bukan sahaja melalui tulisan dan suara malahan video. Kewujudan pelbagai bentuk media sosial yang sangat interaktif dan inovatif dapat memudahkan perhubungan sesama manusia hampir ke seluruh pelosok dunia. Komunikasi tersebut dapat mempererat hubungan dan menumbuhkan kasih sayang kerana saling mengingati. KESIMPULAN Walaupun orang dunia sekarang menganggap silaturahim sebagai NETWORKING, manfaatnya melampaui jauh hingga ke akhirat. Ukhuwah yang dipupuk atas rasa cinta kerana Allah S.W.T. dan kasih kepada Rasulullah s.a.w. akan memberi kekuatan kepada jiwa setiap manusia. Bila umat kuat, musuh nampak umat itu hebat.

No comments:

Post a Comment