Saturday, August 17, 2013

Tolak As-Sisi Ke Sisi

serenemaklong.blogspot.com




Bintang Timnas Mesir, Samih Adawi, kini takkan boleh dilihat lagi di medan bolasepak sebab dia telah syahid (in sha Allah) bersama ribuan warga Mesir yang lain dalam pembantaian di Kaherah.

SUDAH mati perikemanusiaan daripada hati makhluk Allah yang dahulunya dinamakan manusia, yang dipilih menjadi khalifah di muka bumi. Yang dilihat dalam zaman Fitnah Duhaima ini hanyalah orang berhati haiwan. Bahkan haiwan yang diciptakan Allah pun mempunyai rasa kasih mengasihani.

Perhatian seluruh dunia kini tertumpu ke Mesir di mana pasukan keselamatan negara itu yang sepatutnya menjaga keamanan serta ketenteraman menggempur tempat perhimpunan rakyat yang menentang rampasan kuasa 3 Julai lalu. Mereka menembak orang awam tanpa belas kasihan. Inilah jenayah kemanusiaan paling buruk dan kejam dalam sejarah.

Serangan dari semua penjuru menggunakan helikopter, penembak tepat, peluru hidup, gas pemedih mata dan jentolak. Menurut keterangan rakyat Malaysia yang baru pulang dari Mesir menyatakan, turut membantai rakyat awam ialah samseng upahan pasukan keselamatan. Semua ini menunjukkan betapa orang paling berkuasa di Mesir, Jeneral Abdel Fatah As-Sisi betul-betul mahu menghapuskan penentang kerajaan tajaannya. Dia   bukan  sekadar mahu mengusir mereka.

Perdana Menteri sementara Mesir, Hazem el-Beblawi menyatakan tindakan tidak berperikemanusiaan itu diambil bagi ‘mempertahankan diri’ pasukan tentera dan polis. Kerajaannya akan meneruskan pendekatan ketenteraan seperti ini  menjelang pilihan raya umum yang dijadual pada tahun depan. Menteri Dalam Negeri Mesir, Mohamed Ibrahim turut berikrar untuk mengembalikan keselamatan era bekas Presiden Hosni Mubarak.

Pilihan raya umum yang bakal diadakan di negara itu tahun depan tidak akan berjalan dengan adil kerana kerajaan sementara Mesir diperintah mengikut kehendak dalang utama, As-Sisi, 'Raja Mesir' yang memperoleh kuasa besar selepas memimpin penggulingan Dr.  Mursi, presiden yang dipilih rakyat melalui proses pilihanraya yang sah.

Operasi tentera dirancang rapi, gempur dari semua penjuru




Tindakan menggempur dua buah kem utama penyokong Mursi di Rabaah al-Adawiyah memang dirancang rapi, dimulakan seawal 7 pagi waktu tempatan dengan serangan bertubi-tubi dari semua penjuru. Helikopter menggugurkan gas pemedih mata, jentolak merempuh sekatan jalan raya yang dibina oleh penunjuk perasaan, sementara penembak tepat menembak mangsa yang cuba menyelamatkan diri.

Keganasan turut merebak ke beberapa bandar lain di Delt Nil iaitu Minya dan Assiut, Iskandariah, di utara Mesir, Fayoum di selatan Kaherah serta di Suez.

Segala yang berlaku di Mesir ditonton oleh penduduk dunia. Puluhan video dikongsi ke laman sosial bagi membuktikan kekejaman tentera.

Berbanding anggota Ikhwanul Muslimin yang bersenjata untuk menyeras balas serangan pasukan keselamatan, rata-rata penyokong Mursi dan rakyat anti keganasan tidak mempunyai apa-apa senjata kecuali tubuh badan sebagai benteng, merelakan diri dipukul sehingga keadilan memihak kepada rakyat jelata Mesir. Kekebalan mereka hanya terletak pada laungan ALLAHU AKBAR.

Setakat ini 2,600 peserta perhimpunan telah maut. Turut terkorban adalah Mick Deane, 61, jurukamera stesen Britain, Sky News; wartawan Gulf News, Habiba Ahmed Abd Elaziz, 26, dan penulis Al Akhbar, Ahmed Abdel Gawad.

Adakah mereka terperangkap ketika serangan berlaku, atau adakah mereka memang sengaja disasarkan bagi menghalang berita sebenar sampai ke pengetahuan luar? Wallahualam.

Di Masjid Al Amin, dekat Dataran Rabaa al-Adawiyah ratusan orang awam berkerumun hendak menuntut jenazah anggota keluarga masing-masing. Petugas perubatan di Pusat Perubatan Nasr ditekan oleh pihak berkuasa supaya mengeluarkan laporan perubatan palsu berkaitan mangsa yang maut.

Rumah Mayat Zenhom enggan membenarkan jenazah dikeluarkan sehingga keluarga mangsa menandatangan surat akuan bahawa mangsa mati akibat membunuh diri atau kemalangan. Pihak polis juga membakar jenazah bagi mengelakkan identiti mangsa dikenali.

Segala sengketa di Mesir sudah dirancang rapi, bermula dengan penggulingan Presiden Mohamed Mursi pada 3 Julai lalu hingga operasi penggempuran di Dataran Rabaa Adawiyah dan Dataran Nahda.  

Dalam Revolusi 25 Januari 2011, rakyat ditembak sekiranya menentang rejim Hosni Mubarak. Mahu tidak mahu mereka terpaksa akur dan mendiamkan diri. Tetapi kini mereka bangkit menentang tentera selepas pihak itu menafikan hak mereka untuk sebuah kerajaan yang dipilih rakyat. Mereka tidak mahu lagi “dijajah” pemerintah yang tunduk sentiasa tunduk kepada kuasa jiran mereka, Israel.  

Usaha rakyat tidak akan terhenti sehingga mereka berjaya menyingkirkan tentera polis dan mengembalikan kesahihan demokrasi yang mereka rasai hanya selama setahun iaitu sejak Mursi dilantik menjadi Presiden pada 30 Jun 2012.

Siapakah yang mendapat manfaat daripada sengketa Mesir? Israel dan Amerika Syarikat atau rakyat Mesir sendiri? Ketidakstabilan Mesir penting bagi kuasa luar sama ada Zionis atau Amerika Syarikat yang menjadi penjajah dunia.  Ketidakstabilan Mesir membolehkan kedua-dua penjajah ini terus menguasai kawasan Timur Tengah khasnya dan dunia amnya. Mungkin itulah sebabnya As-Sisi terbang ke Tel Aviv sebaik saja Mursi digulingkan. Untuk memberi laporan atau menerima arahan? Wallahualam.

Reaksi

"Anda tidak perlu menjadi rakyat Mesir untuk bersimpati, anda hanya perlu menjadi manusia.”



Perdana Menteri Turki, Recep Tayyep Erdogan ketika melakukan solat jenazah ghaib untuk ribuan syuhada yang telah dibunuh di Mesir.

(sumber: Egyptians Against Coup)

“Ajarlah anak-anak anda tentera Mesir menjaga Yahudi dan bukan menjaga rakyat Mesir! Ajarlah anak-anak anda bahawa tentera Mesir memijak rakyat Mesir, membuang mereka dalam tong sampah, dan membunuh orang-orang yang tunduk serta sujud kepada Allah dan berdiri secara aman. Mereka membakar mayat-mayat dan masjid. Ajarlah anak-anak anda bahawa pemerintahan tentera mengkafirkan ayat-ayat Allah.”

Ucapan Wael Qandil, penulis tersohor Mesir.
(sumber: Rabaa Today)

Dahulu, ketika Perang Balkan berlangsung, dan juga ketika serangan bertalu-talu tentera Israel ke atas bumi Palestin, Malaysia menyuarakan bantahan keras dan mengutuk kezaliman yang dilakukan ke atas orang-orang awam. Malaysia malah mengganggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Setiausahanya ketika itu, Boutros Ghali Ghali (seorang warga Mesir) sebagai tidak relevan kerana gagal bertindak menghentikan pembunuhan. Mantan Perdana Menteri Malaysia tidak peduli walaupun ada perdana menteri luar yang menggelarnya “keras kepala.” Ketika itu Malaysia adalah “harimau” yang dibimbangi oleh banyak pihak di dunia. Tabik spring buat Che Det!!!

Tetapi kini Malaysia bagaikan kucing tidur, tidak peka dengan apa yang berlaku di luar sana. Pun begitu, Alhamdulillah, masih ada warganegara Malaysia yang berperikemanusiaan dan turut merasai sakitnya penderitaan rakyat yang dizalimi – tidak kira di mana jua, Mesir, Syria, Palestin, Myanmar, Selatan Thai, Somalia ….


Doakan keselamatan saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan kezaliman, juga sukarelawan Malaysia yang menyabung nyawa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia ke bahu mereka. Jom kita keruk jauh ke dalam dompet dan kocek untuk menghulurkan bantuan sekadar termampu. 

Dengan semangat ukhwah ini, semoga kita digolongkan dalam kumpulan orang-orang yang bertemu dan berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah jua. Semoga kita diberi perlindungan oleh Allah pada hari yang tiada perlindungan di hari kiamat kelak.  In sha Allah!!!

No comments:

Post a Comment