Friday, August 9, 2013

Kisah Pokok Tumbang

serenemaklong.blogspot.com





SUATU ketika dahulu, sebatang pohon besar tumbang di atas jalan utama ke istana.

10 orang pekerja cuba mengalihkan pohon yang tumbang itu supaya pengangkutan ke istana tidak terjejas.

Ketua kumpulan yang bernama Suhaimi hanya berdiri di sisi jalan sambil mengarahkan pekerja berusaha lebih keras bagi mengalihkannya. Setelah beberapa kali mencuba, mereka gagal juga.

Tidak lama kemudian seorang pakcik tua lalu di situ dengan berkuda. Pakcik itu berkata kepada Suhaimi, “Jika awak turut membantu, rasanya cukup tenaga untuk mengalihkan pokok itu. Mengapa tak tolong sama?”

Jawab Suhaimi, “Itu bukan tugas saya. Saya ni ketua. Itu kerja mereka. Merekalah yang kena buat. Saya menyelia saja.”

Jawapan Suhaimi menyebabkan pakcik turun dari kudanya dan menolong pekerja mengalihkan pokok. Syukurlah, dengan kudrat tambahan tugas itu berjaya dilakukan.

Pakcik itu menunggang semula kudanya dan memandang ke arah Suhaimi yang berkata, “Ok, bagus. Nanti saya akan laporkan pada pihak istana, kita dah berjaya mengalihkan pokok itu.” 

Pakcik itu tersenyum tanpa sepatah kata.

Beberapa hari kemudian Suhaimi dipanggil mengadap raja di istana. “Akhirnya dapat juga aku jumpa raja. Aku nak minta ganjaran lebih,” bisik hati Suhaimi penuh kegembiraan.

Setibanya di bilik mesyuarat diraja, Suhaimi terkejut melihat raja tersebut adalah pakcik yang membantu mengalihkan pokok tumbang sedangkan dia sendiri hanya berdiri di tepi jalan dan mengarahkan semua orang bekerja.Suhaimi terkedu malu. Pakcik hanya tersenyum.

“Beta akan hadiahkan 9 rumah sahaja. Kamu tak dapat. Kamu nak cakap apa-apa?”

Suhaimi mengangguk. “Memang adil, Rajaku,” kata Suhaimi sambil menyesal kerana enggan membantu pekerjanya hari itu.

Raja menasihatinya, “Jadi ketua, bukan bermaksud sehingga tahap menjadi sombong dan lupa diri. Ingat itu baik-baik.”

Moral cerita
Apabila melihat orang memerlukan pertolongan, jangan biarkan bibir saja yang bergerak sedangkan tangan sendiri tidak mahu dikotori.

Nikmat membantu dan melihat orang yang susah tersenyum kerana usaha kita adalah antara nikmat paling manis kurniaan Allah di dunia ini.

(Cerita oleh Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man)

No comments:

Post a Comment