serenemaklong.blogspot.com
SEJAK
awal Syawal lagi, stesen televisyen terus-terusan menyiarkan cerita-cerita
hantu dan tahyul. Alasannya hendak
dapatkan “rating” tertinggi.
Walaupun
tahyul telah diamalkan oleh sebahagian orang Melayu secara turun temurun, itu
bukan alasan untuk penyiaran filem dan drama sedemikian. Bukannya pihak atasan
stesen televisyen tidak tahu bahawa tahyul bercanggah dengan ajaran Islam dan khurafat.
Disebabkan
latar belakang orang Melayu berasal dari Hindu-Buddha, sisa-sisa tahyul yang masih
ada itu diperkembangkan pula dalam
pemikiran ilmu dan budaya, serta disuburkan oleh pementasan drama dan filem.
Walaupun
generasi muda hari ini tidak terdedah dengan pengaruh silam yang khurafat,
namun cara tahyul yang dipersembahkan itu menyebabkan mereka meminatinya.
Fahaman
tahyul bukan sahaja bersifat anti-sains, ia juga membawa kepada syirik. Tahyul
boleh menyebabkan pemahaman terhadap yang ghaib disalah ertikan.
Kita
dituntut percaya kepada faktor-faktor ghaib seperti Allah, malaikat, syurga dan
neraka. Allah menurunkan Al-Quran untuk memberi penjelasan dan petunjuk
mengenai semua itu.
Sebenarnya,
tahyul tidak memiliki asas yang rasional. Ia dikhayalkan secara kreatif dalam
filem, drama dan cerita rekaan. Mesej yang disampaikan kepada penonton, pembaca
dan pendengar adalah rasa takut yang tinggi terhadap jin, syaitan dan iblis,
bukan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah SWT.
Kesan
kejiwaan kepada mereka yang ditakut-takutkan secara khayal dan penuh fantasi ini
menyebabkan mereka gagal memikirkan tentang fakta dan data yang bersifat logik
dan saintifik.
Tahyul
memang boleh membawa keseronokan kepada penonton dan pembaca. Ia mengajak
mereka berfantasi seolah-olah jembalang, hantu dan seumpamanya amat berkuasa
dalam menentukan kehidupan. Secara tidak langsung ia menafikan Allah sebagai
Pencipta yang Maha Berkuasa dan Maha Agung.
Tahyul
patut dijauhi kerana ia bukan sahaja tidak membantu memantapkan akidah kepada
Allah, malah menjadikan hati ragu-ragu dan dibimbangi bakal terjebak dengan
ajaran sesat.
Ajaran
sesat yang masih subur dalam masyarakat Melayu dan Islam pada hari ini adalah
akibat terlalu percaya kepada fahaman tahyul yang mengatasi keimanan kepada
Allah.
Malaysia
memerlukan rakyat yang berfikir secara saintifik dan berjiwa tadabbur
(kaji selidik). Jiwa tadabbur
boleh menghubungkan umat manusia dengan faktor fikir dan zikir.
Dengan berfikir, manusia menggunakan kekuatan akal untuk
memahami sesuatu dengan logik dan rasional. Dengan zikir manusia diberi pedoman oleh wahyu dan sunnah supaya
hati dapat menilai sesuatu perkara.
Gandingan
fikir dan zikir menyebabkan manusia mempunyai perspektif yang betul tentang
penciptaan dan kejadian.
Kita
harus insaf bahawa jin, iblis dan syaitan adalah makhluk ciptaan Allah dan
mereka tidak boleh mengatasi kuasa Allah.
Harus
diingat bahawa umat yang maju tidak memerlukan tahyul. Mereka menjadikan sumber
ilmu dan ketrampilan untuk membina modal insan demi menempa kemajuan dan
perubahan.
No comments:
Post a Comment