(Gambar Hiasan)
BANYAK perkara yang perlu Aminah, seorang ibu
tunggal kaji sebelum berkahwin dengan duda.
Aminah kena fikir mengapa duda atau bapa
tunggal ingin berkahwin lagi? Sudah pasti dia mahu Aminah mengurus makan minum,
melayani dan menguruskan anaknya dan rumahtangga. Bukan dia hendak bantu anak Aminah.
Sebelum berkahwin memang lelaki berjanji
sanggup jaga anak tiri, tetapi Aminah faham juga yang dia terpaksa beri makan
anak sendiri, terutama kalau bercerai, sudah pasti gangguan sentiasa datang
silih berganti sama ada dari bekas isteri atau anak yang perlukan lebih
perhatian dan cemburukan ibu tiri.
Aminah bukan jenis garang dan yang sanggup
berperang dengan anak tiri dan bekas isteri duda itu. Dek kerana tidak sanggup
jugalah Aminah terpaksa berdepan dengan bekas suaminya yang gagal memberi nafkah anak sebab dia dikawal
oleh isteri barunya.
Jika anak tiri sudah besar dan tinggal dengan bapanya,
di mana pula Aminah hendak tempatkan anaknya sendiri jika berpindah ke rumah
suami baru? Sanggupkah Aminah melihat anaknya bergaduh atau dipinggirkan serta
dipandang serong oleh anak tiri suami baru? Atau sanggupkah Aminah ambil jalan
mudah dengan menghantar anaknya ke kampung untuk dijaga oleh nenek sedangkan
Aminah menjaga anak tiri?
Semakin anak membesar lebih banyak masalah,
terutama apabila suami sudah bosan dengan anak Aminah kerana banyak menerima perhatian
dari ibunya.
Aminah sayangkan anaknya. Dia sanggup hidup
susah asalkan bersama-sama anak. Dia menyekat nafsu dan berhempas pulas bekerja
cari rezeki demi membesarkan anaknya.
Kisah perceraiannya memang menyedihkan. Sejak
awal perkahwinan dia tidak disukai ibu mertua yang sudah ada calon menantu yang kaya. Mertuanya orang kaya yang
ada rumah besar dan kebun getah sedangkan Aminah yang miskin cuma tinggal di
rumah pangsa.
Selama lima tahun berkahwin dan punya seorang anak
perempuan, Aminah sering saja jadi tukang masak di dapur setiap kali balik ke kampung
suaminya.
Akhirnya bekas suami Aminah terpengaruh dan menceraikan
dia dengan nafkah RM100 sebulan untuk anaknya. Nafkah itu pun tidak pernah
diperolehi.
Bekas mertua menyangka rumah pangsa dan perabot
tempat tinggal mereka adalah milik anak lelakinya. Sebenarnya rumah itu Aminah
beli ketika bekerja sebelum berkahwin. Suaminya masuk ke rumah itu cuci kaki.
Selepas berkahwin suami yang suruh Aminah berhenti kerja.
Aminah bersyukur kerana keluarganya banyak
membantu dia membesarkan anak. Ramai masuk meminang, tetapi Aminah menolak
dengan alasan anak masih kecil. Aminah tidak mampu menjaga anak-anak duda. Dia
sendiri pun rasa semua duda itu tidak mampu sara dia anak beranak kerana mereka
ada tanggungjawab besar.
Setelah anak bersekolah, Aminah kembali bekerja
untuk membesarkannya dengan titik peluh sendiri.
Aminah bersyukur anaknya kini sudah bekerja dengan
jawatan yang baik, sedangkan adik
tirinya cuma tamat tingkatan lima. Pada pandangan Aminah, Allah telah memberi
petunjukNya semasa di dunia.
Bagi Aminah biarlah hidup duda atau bapa
tunggal diuruskan anak sendiri supaya tidak ada perasaan hasad dengki dan
bimbang harta milik ibu atau bapa mereka jatuh ke tangan isteri baru.
Duda umumnya hanya perlukan isteri baru untuk
menguruskan makan minum dirinya yang sudah tua dan sakit terlantar, tidak lebih
daripada itu. Lainlah halnya kalau Aminah memang sanggup melakukannya dengan
penuh ikhlas.
Aminah mahu mengurus anak cucu selain diri
sendiri. Dia tidak mahu ditinggalkan
anaknya kerana sibuk menguruskan suami baru dan anak tiri.
Jika Aminah tinggal di rumah suami baru dan
anak tiri, tentu tiada ruang untuk anak kandungnya datang menjenguk. Takkan
anaknya mahu tinggal di rumah bapa tiri.
Umumnya anak perempuan yang sudah berkahwin
lebih senang mengikut suami ke rumah mertua. Jika belum berkahwin, dia lebih
rela berhari raya dengan rakan. Jadi apakah fungsi Aminah sebagai ibu? Kerana
memikirkan semua ini, Aminah lebih selesa menjadi ibu tunggal yang tinggal
sendirian.
No comments:
Post a Comment