Thursday, July 20, 2017

Yaqazah





Yaqazah dari sudut bahasa ialah jaga, sedar, bukan dalam keadaan mimpi. Dalam istilah ilmu tasauf pula ia bermaksud bertemu dengan roh seseorang yang meninggal secara sedar.[1] Hal ini bukan sahaja didakwa di dalam dunia tasauf tetapi ia juga berlaku di dalam agama-agama lain.

Di dalam agama Kristian, Taoisme, God Light Association (GLA) dan banyak lagi, turut berlaku kepada tokoh-tokoh mereka yang cuba membina aliran baru yang mendakwa bertemu dengan roh Yesus, Musa, dan Buddha. Lalu mendakwa roh tersebut memberi mandat baru kepada mereka untuk memimpin manusia.    

1) Agama Kristian

Dalam Kristian terkenal tokoh yang berpengaruh yang menyebarkan agama Kristian iaitu Saint Paul. Beliau merupakan seorang Yahudi yang ekstrem. Pada zaman awalnya sebelum dia memeluk Kristian namanya adalah Saulus dan setelah dia memeluk Kristian dia menukar kepada Paulus. Sifat ekstremnya itu disebut di dalam Bible yang mana dia membunuh orang-orang yang mengikut Yesus.[2] Beliau tidak sezaman dengan Yesus dan tidak pernah bertemu dengan Yesus ketika hayat Yesus di dunia. Akan tetapi disebut di dalam Bible dikatakan dia bertemu dengan Yesus secara sedar ketika perjalanannya ke Damsyik:

“Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus. Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadanya, “Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?” Saulus bertanya, “Siapakah tuan?” Suara itu menjawab, “Aku Yesus, yang engkau aniaya. Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.” (Kisah Rasul-Rasul 9: 3-6)

Setelah dia masuk Kristan maka dia mula menggubal doktrin penting di dalam ajaran Yesus sehinggalah agama Kristian berkembang sampai ke hari ini. Malah Paulus juga yang memberi nama kepada ajaran Yesus dengan nama Kristian (Kisah Rasul-Rasul 11: 26). Sedangkan Yesus tidak pernah menyebut perkataan Kristian.

2) Agama Mormonisme

Mormonisme adalah sebuah aliran yang kontroversi di dalam Kristian. Ia dituduh sebagai aliran sesat, malah ada yang mengatakan mereka bukan dari aliran Kristian.[3] 

Mormonisme diasaskan oleh Joseph Smith. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin pada tahun 1805 di Sharon, Vermont, Amerika Syarikat. Ketika beliau membesar di Palmyra, New York. Di sana merupakan kawasan kebangkitan agama Kristian yang pesat dan ketika Smith masih remaja beliau tidak pasti versi aliran agama Kristian yang mana harus beliau ikuti.[4] 

Pada tahun 1829 beliau mendakwa telah didatangi oleh cahaya yang merupakan tuhan bapa dan Yesus.[5] Beliau juga mendakwa telah melihat secara sedar (yaqazah) batang tubuh Yesus dengan tuhan bapa yang menjelma identiti (individu) yang berasing diantara mereka dan bukan seperti konsep triniti dalam kepercayaan Kristian (Nicene Creed). 

Dikatakan pada ketika itu Yesus memberitahu kepada Smith bahawa beliau tidak boleh menyertai mana-mana gereja yang sedia ada, akan tetapi perlu menjadi utusan tuhan untuk memulihkan Gereja Kristus yang sebenar. Smith juga mendapat arahan daripada tuhan menyuruhnya untuk mewujudkan semula gereja Kristian yang sebenar dan bahawa kitab Mormon merupakan panduan dan cara-cara untuk mewujudkan doktrin yang betul untuk memulihkan gereja.
Setahun sebelum beliau menubuhkan gerejanya, beliau mendakwa telah didatangi oleh Yohanes si Pembaptis (Yahya) dan Yohanes meletakkan tanganya di kepala Smith dengan sahabatnya Oliver Cowdery. 

Setelah itu beliau menubuhkan sebuah gereja pada tahun 1830 yang dikenali sebagai Church of Jesus Christ of Latter Day (lepas ini disebut Gereja LDS) yang merupakan gereja diasaskan oleh beliau sendiri di New York, Amerika Syarikat. 

3) Agama God Light Association (GLA)

Gold Light Association (GLA) merupakan sebuah agama baru (cult) yang bertapak di Jepun. Pengasasnya adalah Takahashi Shinji dilahirkan pada tahun 1927 di kota Saku, Wilayah Nagano, Jepun. keluarga Takahashi adalah penganut Buddha. Di samping mendapat pengalaman spiritual keagamaan, Takahashi Shinji juga belajar di sekolah tinggi tentera. Selepas Perang Dunia Kedua yang berakhir di Myanmar, beliau menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Kolej Sains dan Teknologi di Universiti Nihon, Tokyo.

Takashashi kemudiannya menubuhkan syarikat Koden Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menghasilkan barangan elektronik. Menjelang tahun 1960-an, Takahashi mendakwa beliau telah berjumpa secara sedar (yaqazah) dan berkomunikasi dengan roh dan mencapai pencerahan melalui bimbingan roh tersebut. 

Di dalam bukunya Kokoro no Hakken, Genshou-hen (Discovery of the Heart, Volume of Actual Proof) beliau mendakwa roh itu adalah roh Yesus dan Musa. Bermula detik itu, Takahashi kemudian berkhidmat sebagai seorang pemimpin agama dan menulis tentang pengalaman dan lukisan yang berkenaan dengan pengalaman kerohanian yang diperolehi.

Ajarannya memiliki Prinsip Ketuhanan (Shinri) dan Undang-undang Sebenar (Shoho) yang di dakwa diajar oleh roh Yesus, Musa, dan Buddha. Takahashi juga mengajar ‘Jalan Buddha’ iaitu konsep Lapan Sila (Hasshodo) kepada pengikutnya digabungkan dengan bentuk meditasi mereka sendiri. Konsepnya hampir sama dengan pertapaan.[6]

4) Agama Tao

Taoisme pada asalnya adalah sebuah falsafah yang diasaskan oleh Lao Zi. Akan tetapi struktur falsafah itu mula berubah kepada bentuk agama apabila datangnya seorang tokoh terkemudian bernama Zhang Daoling.[7] Nama sebenarnya ialah Zhang Ling. Beliau dilahirkan di selatan China, kawasan yang mana masyarakat kuat beramal dengan shamanisme (kepercayaan dukun dan sihir) pada masa itu.[8] 

Mengikut lagenda, pada usia tujuh tahun, beliau telah berjaya khatam seluruh kitab Dao de Jing.[9] Ketika zaman dewasanya, beliau merantau ke wilayah Sichuan untuk menjalani kehidupan pertapa di samping mempelajari ilmu keagamaan dan spiritual.
Pada tahun 142 M, beliau mendakwa berlaku suatu peristiwa yang mengubah kehidupannya. Seorang dewa menjelma dari langit secara dan bertemu dengannya secara sedar (yaqazah) untuk menganugerahkan kepada beliau kuasa mukjizat dan darjah gelaran Tianshi (Guru Syurga). Dewa itu dikatakan berupa wajah Laozi dan dikenali sebagai Tuan Penatua Tertinggi Agung.[10]

Bertitik tolak daripada peristiwa ini, maka Zhang Daoling mula menubuhkan gerakan Tianshi Dao (Aliran Guru Syurga) di wilayah Sichuan. Ia juga dikenali sebagai Wudoumi Dao (Tarekat atau aliran Lima Dou Beras) kerana syarat kelayakan ahli adalah dengan memberi cukai lima dou (1 dou = 10 kg) beras atau barang yang sama nilainya.

Di samping itu, Tianshi Dao mempunyai struktur organisasi yang begitu tersusun seperti hierarki ketua agama, sistem rekod perkara ghaib dan tangkal, prinsip-prinsip moral, mengaji risalah Dao de Jing, dan sebagainya. Tidak kurang juga, pada zaman awalnya, ia mempunyai dua puluh empat daerah naungannya di wilayah Sichuan. 

Dari situ bermulanya perkembangan Taoisme dalam bentuk pengamalan agama dengan aliran baru yang diperkenalkan oleh Zhang Daoling. Hal yang tidak pernah disebut oleh pengasas Taoisme sendiri. 

Kesimpulan

Malah masih banyak lagi dakwaan seumpama ini di dalam agama lain yang mana mereka mendakwa melihat tokoh-tokoh yang meninggal secara jaga dan tokoh tersebut memberi amamah dan mandat tertentu kepadanya. Dan biasanya mereka akan membawa aliran baru dengan cara tertentu.   

Wallahu’alam.

Nota kaki:
______________________________________
[1] Lihat Syeikh Al Imam Muhammad bin Abi Bakar bin Abdul Qadir Ar Razi, (2010).  مختار الصحاح  Maktabah Al Asriyah, Beirut, hlm 349
[2] Lihat Kisah Rasul-Rasul 9: 1-2
[4] Lihat Douglas J. Davies (kolumnis bahagian Mormonism), (2004). Encyclopedia of New Religions, A Lion Book, England, hlm 32 
[6] Lihat Oka, Kiyoshi (1968). Kokoro no Taiwa "Dialogues of the Heart". Nihonsonosābisusentā. hlm 53–55.
[7] Lihat Herman, J. (2013). Taoism For Dummies. Mississauga, Canada: John Wiley & Sons Canada hlm 75/ Lihat Palmer, M. (2000). T’ung Shu. Kuala Lumpur: Vinpress, hlm 82.
[8] Lihat Eva Wong, (2011). Taoism An Essential Guide, Shambhala Publications, London, hlm 34
[9] Lihat Palmer, M. (2000). T’ung Shu. Kuala Lumpur: Vinpress, hlm 82
[10] Lihat Eva Wong, (2011). Taoism An Essential Guide, Shambhala Publications, London, hlm 34-37

[R&D TEAM MRM]

No comments:

Post a Comment