Tuesday, July 18, 2017

Nasihati Dengan Lembut





KH. Ali Yahya Lasem terkenal tampan, berbadan tegap persis atlet. Bila sarung, serban, dan kopiahnya dibuka beliau mirip lelaki Caucasian.  Tidak menghairankan kalau ramai wanita terpesona.

Suatu hari beliau dijemput mengajar mengaji di Jepara. Dalam keadaan belum berkopiah dan serban beliau duduk di sebelah pemandu kereta yang dinaikinya. 

Ketika berhenti di sebuah lampu isyarat merah, tiba-tiba seorang wanita muda dan seksi menghampiri mereka.
Wanita itu menyangka lelaki mirip lelaki Caucasian dalam kereta itu seorang pelancong banyak duit yang sedang mencari hiburan di Indonesia.

“Malam, Om.”
“Malam.”
“Boleh ikut  ya?”
“Oh, boleh. Silakan masuk.”

Wanita muda itu bergegas masuk, pintu ditutup dan kereta mula bergerak.

“Mau ke mana, Om? Perlukan saya tak? Saya lapang sampai pagi, Om.”

Sambil memakai kopiah dan serban Kiyai Ali santai menjawab, “Saya ada pengajian di Jepara. Tak apa-apa, sila ikut aja.”

Wanita itu terkejut dan jadi kelamkabut. “Oh, ini Pak Kiyai, ya?”

Tadi panggil om sekarang panggil pak kiyai. Lucu. Kiyai tersenyum geli hati.

“Maaf, Kiyai, saya benar-benar tidak tahu. Sekali lagi maaf.”

Wanita itu kian tegang dan raut wajahnya pucat ketakutan. Tapi Kiyai Ali selamba saja berkata, “Oh, tak apa. Santai saja. Sekali-kali ikut pengajian bagus tu.”

“Tak payahlah Kiyai, saya turun di sini aja.”
“Tak boleh. Tadi awak kata mau ikut, jadi ikut aja.”
“Tapi saya tak pakai telekung.”
“Tak apa, boleh pinjam jemaah punya.”
“Tapi saya malu Kiyai?”
“Hai, jadi pelacur tak malu, tapi pergi  pengajian malu pula. Macam mana tu?”
“Saya takut, Kiyai?” 

Tadi kata malu sekarang katanya takut pula. Dengan bijak Kiyai Ali menenangkan, “Sudahlah, santai aja.”

Kereta pun akhirnya sampai ke Jepara. Suasana tempat acara pengajian sudah sesak dengan jemaah lelaki dan wanita. Ahli-ahli jawata kuasa menanti ketibaan Kiyai Ali.

Ketika turun dari kereta Kiyai Ali menghampiri jemaah wanita, “Maaf ya, boleh pinjam telekung. Ini Bu Nyai terlupa bawa telekung.”

Bu Nyai adalah panggilan kehormatan yang biasa diberi kepada isteri kiyai. Masakan isteri kiyai lupa bertelekung.
Dengan sedikit bingung wanita  itu menjawab tergesa-gesa, “Oh, boleh  Kiyai. Nanti saya ambilkan.”

Dia bergegas pergi mengambil telekung itu dan kembali ke kereta. Telekung itu di sorongkan ke dalam kereta dan terus dipakai oleh si pelacur. Setelah rapi dia turun dari kereta dan masyaAllah… diserbu oleh jemaah wanita yang hendak mencium tangannya. “Hendakkan berkat,” katanya.

Mendapat sambutan hormat seperti itu, pelacur yang kini dianggap sebagai Bu Nyai Dadakan menjadi pucat. Dia dijamu dan dilayani bagaikan seorang ratu. Ada rasa haru campur malu menyelinap di hatinya.

Pengajian berjalan lancar.  Penyampaian ceramah Kiyai Ali kelihatan ringan tapi dalam makna kandungannya.

Usai acara, Bu Nyai Dadakan dipersilakan menikmati jamuan berupa hidangan yang berat.

Tapi sebelum makan jemaah wanita mohon didoakan keberkatan dari Bu Nyai Dadakan. Pelacur itu kecut perut setengah mati. Sudah lama tifk berdoa, sudah lupa doa yang dulu dihafal waktu kecil mengaji di kampung. Untung masih ingat Rabbana Atina Fi Dunya Hasanah, Wa Fil Akhirati Hasanah..

Sebelum pulang, jemaah wanita saling berganti mencium tangannya dan dihantar dengan hormat sampai masuk kereta.

Selama perjalanan pelacur itu menangis sedu sedan. Kiyai Ali dan pemandu kereta membiarkannya hingga reda..

Setelah suasana agak tenang, Kiyai Ali menasihati, “Tidakkah nampak hal tadi dan berfikir bagaimana mereka menghormati awak, dan rela mencium tangan awak bahkan meminta berkat doa awak sedangkan awak sendiri tahu awak itu siapa?”

Terasa hina dan sedih mengingatkan perbuatan dosa yang selama ini dilakukannya. Teyapi Allah menutup aibnya, Allah sangat menyayanginya.

Lanjut Kiyai Alilsgi, “Segeralah taubat dan mohon ampun pada Allah. Jangan sampai nyawa direnggut baru nak taubat.”

Sambil teresak pelacur itu berkata, “Terimakasih Kiyai atas nasihatnya, dan berkat dari kejadian tadi. Mulai hari ini saya bertaubat dan berhenti dari kerja kotor ni.”

Ibrah:

Para ulama, daie dan guru harus berdakwah dengan baik dan bijak, mengajak tanpa menginjak, menasihati tanpa menyakiti, dan menunjukkan kebenaran tanpa merendahkan darjat kemanusiaan.

Inilah salah satu telaga yang indah dan menyejukkan, yang menjadikan ramai orang tertarik dengan Islam. Semoga jadi pelajaran bagi kita untuk menyampaikan kebenaran dengan baik, Bil Hikmah Wal Mau Idatil Hasanah.

No comments:

Post a Comment