Tuesday, July 18, 2017

Agar Tenang Semasa Diuji


“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Baqarah 2: 286)

Maknanya, kita memang akan diuji dengan sesuatu yang sebenarnya mampu kita hadapi. Hanya ada ketika terasa berat untuk menanggungnya. Seakan-akan ujian yang sedang kita hadapi paling berat. Bahkan tercetus dalam diri, mengapa aku yang diuji?

Astaghfirullah, jaga-jaga semasa diuji. Jangan sampai merudum iman dalam hati. Bagaimana menghadapi ujian kehidupan, yang dengannya kita terasa tenang walau diuji dengan sesuatu yang berat?

1. UCAPKAN INNALILLAH.
Jangan salah faham dengan ucapan istirja‘; innalillahi wa inna ilaihi raji‘un. Kita biasa mendengarnya ketika mendengar berita tentang kematian.

Walau hanya kesulitan kecil, apatah lagi diuji dengan sesuatu yang terasa berat, lantunkan ucapan ini berkali-kali. Biar tenang dan reda meresap dalam diri. Daripada Allah kita datang kepada
Allah kita kembali. Menyerahkan diri kepada Allah yang mentakdirkan segala-galanya. Akan hadir rasa tenang setelah
menyerahkan diri kepada Allah.

2. ANGGAP UJIAN SEBAGAI ANUGERAH.
Bergembiralah mereka yang diberi ‘anugerah’ ujian. Setiap manusia ditimpakan ujian yang berbeza-beza mengikut tahap keimanannya.

Allah memberikan ujian untuk meningkatkan darjat hamba-hamba-Nya. Siapa yang tidak suka ditinggikan darjat di sisi Allah? “Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya,
ditimpakan penderitaan ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari) Allah tidak akan mempersiakan kehidupan hamba.

Semakin teruji, semakin meningkat darjat seseorang di sisi Allah, asalkan ada iman dalam dirinya.

3. SABAR DAN SOLAT.
Allah berfirman, “Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Al-Baqarah 2: 45) Dua senjata semasa diuji; bersabar dan bersolat. Pada kesabaran ada ganjaran. Bersabar pada
hentakan pertama. Demikian yang sebenarnya. Menerima setiap ujian dengan sabar dan berdoa agar diberikan kebaikan. Sesukar mana, seberat mana ujian, selagi ada dua senjata ini, insya-Allah, dipermudahkan jalan.

4. ISTIGHFAR DAN DOA.
Ujian yang menimpa bukan hanya kerana kita berdosa. Tetapi Allah mahu menghapuskan dosa. Beristighfarlah. Semoga dengannya dosa-dosa kecil yang ada terhapus. Lazimi istighfar
dan berdoa agar kebaikan sentiasa mengiringi ujian. Lazimnya, saat ditimpa ujian, hati makin lurus berdoa. Khusyuknya berganda sebab kita ingin segera melepasi ujian.

No comments:

Post a Comment