Sunday, July 2, 2017

Hasil Munajat Kepada Raja Segala Raja




Sebelum penceramah tersohor, Sheikh Muhammad Hassan memulakan ceramah di Masjidil Haram, Makkah, seorang jemaah datang menemuinya dan berkata "Demi Tuhan, anda jangan dulu bercakap sebelum anda dengar kisah saya." 

Sheikh Md Hassan lalu memberinya ruang untuk bercerita. Pada zahirnya dia manusia biasa. Bergiat dalam perniagaan. Rezekinya diluaskan oleh Allah. Apa yang jelas ialah bahawa jemaah ini pernah mengalami stroke total. Beliau berubat ke London, Perancis, malah Amerika, namun Allah belum juga memberinya kesembuhan.

Menurut ceritanya, pada suatu hari dia menyaksikan siaran langsung solat dari Masjidil Haram di televisyen. Airmatanya tiba-tiba bercucuran. Kemudian dia memberitahu anak-anaknya, dia ingin menemui SANG RAJA di rumah-Nya sendiri. Anak itu bertanya, Raja yang mana. Katanya dia ingin menemui Raja Segala Raja, ingin menunaikan umrah dan bercadang menyewa kapal terbang khas. 

‘Wahai anak-anakku, masukkan saja ayah ke dalam Masjidilharam dalam keadaan duduk di atas kerusi, dalam posisi terdekat dengan Kaabah."

Doa yang dipanjatkan di hadapan kaabah cukup sederhana:

»وَاللهِ مَا أَنَا طَالِعٌ مِنْ بَيْتِكَ إِلَّا عَلَى رِجْلَيَّ أَوْ عَلَى الْمَقَابِرِ«
"Demi Keagungan-Mu, ya Allah, saya merayu agar saya hanya akan beredar keluar dari rumah-Mu ini dengan berjalan secara normal. Atau pun Engkau cabut saja rohku. Biarlah jasadku dihantar ke kubur."

"Satu jam saya bermunajat dan merintih dengan membaca doa sederhana ini. Akhirnya saya merasa penat dan kepala saya terasa tak selesa. Saya bertelakan di atas kerusi hingga terlena.Semasa tidur sedemikian rupa saya mendengar suara menggamit ‘Bangunlah, dan berjalan.’ Sebanyak tiga kali.
Setelah terbangun saya terus bangkit dan berjalan beberapa langkah. Kemudian saya teringat saya sebelumnya kena stroke. Lalu saya berteriak:
(يا ملك والله ما خيبت من لجأ إليك)
‘Wahai Raja, tak pernah hampa dan kecewa siapa sahaja yang mencari perlindungan-Mu!"

Semoga peringatan ini bermanfaat

No comments:

Post a Comment