Thursday, July 6, 2017

Tanda Amalan Diterima



Berkata Imam Ibnu Atha'illah as-Sakandari(rah) didalam al-Hikam;

مَنْ وَجَدَ ثَمْرَةَ عَمَلِهِ عَاجِلاً، فَهُوَ دَلِيْلٌ عَلىَ وُجُوْدِ القَبُوْلِ آجِلاً
"Barangsiapa yang menerima buah dari amalnya semasa di dunia ini maka ia menunjukkan penerimaannya di akhirat nanti."

Kalam hikam sebelum ini memberi rasional kenapa dunia ini tiada menjadi medan ganjaran Allah ke atas segala kebajikan hamba-hambaNya; iaitu kerana dunia tiada dapat meluasi segala kurniaan yang disediakan itu.

Hal ini kerana tabiat dunia yang merupakan negeri yang fana serta tiada kekal sedang kurniaan Allah adalah sebaliknya.

Namun ada ketikanya Allah mengurniakan sedikit ganjaran tersebut sebagai tanda penerimaannya ke atas amal itu.

Di antara tanda penerimaan sesuatu kebaikan yang dilakukan oleh seseorang ialah berlaku perubahan pegangan tauhid seseorang, juga perubahan adab dan akhlaknya.

Hal ini adalah kerana amal itu hanyalah jalan sedang destinasinya ialah tauhid dan akhlak.

Juga termasuk bentuk penerimaan amalan tersebut di dunia ini ialah kemanisan dan kenikmatan taat yang dilakukan.

Tsabit al Bannani berkata: "daku bersusah payah membaca dan mentadabbur al Quran selama 20 tahun dan daku dapat merasai kenikmatan tersebut 20 tahun juga."

Sebahagian ulama berkata: "Daku seringkali membaca Al Quran tetapi daku tiada dapat merasai kelazatannya sehingga daku membacanya seolah-olah daku mendengarnya dari RasuluLLah s.a.w yang membacanya kepada para sahabat baginda r.a. Kemudian daku disingkapkan lagi sehingga daku membacanya seolah-olah daku mendengarnya dari Jibrail a.s yang menyampaikannya kepada RasuluLLah s.a.w, seterusnya daku membacanya seolah-olah mendengarnya dari Allah. Justeru daku merasai kelazatan dan kenikmatan tersebut sehingga daku tiada dapat menahan kesabaranku"

Perlu diingat amal yang membuahkan kemanisan dan kenikmatan itu ialah amal yang benar dan sejahtera dari ujub dan riya'. Justeru mereka yang merasa kelazatan  dan kemanisan dalam taatnya sedang mereka berbangga-bangga dan menunjuk-nunjukkannya adalah golongan tertipu dan perasaan itu hanyalah khayalan akal semata-semata.

Hal ini kerana amal yang benar dan ikhlas akan menatijahkan kehambaan pada Allah dan ciri khusus sifat kehambaan itu ialah "tiada diri".

Berkata Abu Turab r.a : "apabila seorang hamba itu benar pada amalnya dia pasti akan merasai kemanisannya sebelum mengamalkannya dan apabila dia benar-benar ikhlas pada amal tersebut dia pasti akan dapat merasainya ketika melakukannya."

Firman Allah : 
(وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ)
[Surat Al-Ma'idah 27]

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;

Berkata Abu Sulaiman Ad Darani r.a: "setiap amalan yang tiada mendatangkan natijahnya di dunia ini tiada baginya ganjaran di akhirat nanti."

Justeru barangsiapa yang dapat merasai kemanisan amalnya sesungguhnya ia adalah sebahagian tanda ianya diterima oleh Allah dan diredhai serta akan diganjari.

Dari kerana itu, Al Hasan r.a berkata: "carilah kemanisan itu pada tiga perkara, jika kamu mendapatinya maka bergembiralah dan teruskan niat kamu. Sementara jika kamu tiada mendapatinya maka ketahuilah oleh mu bahawa pintu telah tertutup. Iaitu ketika membaca Al Quran,  berzikir dan bersujud."

Ada ulama yang berpendapat bahawa maksud syurga yang disegerakan pada ayat di bawah ialah kemanisan taat dan kelazatan munajat.

(وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ)
[Surat Ar-Rahman 46]

Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga.

Begitu juga sebaliknya, apabila dia melakukan kesalahan dan dosa dia akan merasakan kepahitan dan keperitan jiwa.

Kemanisan dan kelazatan taat mesti disertai dengan rasa kepahitan maksiat dan dosa kerana jika tidak perasaan lazat dan manis mengerjakan taat itu adalah tipudaya.

Namun tiada sayugia kita mengejar rasa lazat dan manis dalam melakukan ketaatan kerana perbuatan tersebut adalah menunjukkan kita tiada benar-benar ikhlas dan siddiq dalam amalan kita.

Kewajipan kita sebagai hamba hanya melaksanakan dengan sebaik mungkin adapun natijahnya terserah pada Allah kerana apa yang ada di sisi Nya adalah anugerah yang dititipkan di sisi khazanahNya.

Dia mengurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan menghalang daripada sesiapa sahaja...

Ada baiknya kita mengambil iktibar dari kalam Al Wasiti berikut:- "meminta dirasakan kelazatan taat adalah racun yang membunuh".

Syeikh Ibnu AthoiLLah dalam kitabnya lataif al minan memberikan komentarnya tentang perkataan ini dengan katanya:

"Sungguh benarlah Al Wasiti;sesungguhnya apabila engkau dibukakan pintu kelazatan taat nescaya engkau akan memintanya kekal bersamamu justeru tiada sempurna ikhlas mu pada melakukannya. Hal ini kerana engkau melakukannya bukan kerana menunaikan hak Allah padanya tetapi oleh kerana engkau pernah merasai kemanisan dan kelazatannya maka engkau menghendakinya kekal bersama mu.

Oleh itu pada zahirnya engkau dilihat melaksanakan amanah Nya tetapi pada hakikat engkau melaksanakannya menurut keinginan hawa nafsumu.

Justeru dibimbangi kelazatan dan kemanisan taat yang engkau kecapi itu adalah ganjaran yang Allah percepatkan di dunia ini tetapi pada hari akhirat nanti tiada lagi ganjaran tersebut."

والله ورسوله أعلم بالصواب

Oleh Pak Chu Dazz

(Sumber: Fb ustaz Iqbal Zain)

No comments:

Post a Comment