Wednesday, August 3, 2016
Utamakan Ucapan Bukan Yang Berucap
Seekor tikus terlihat Si Petani meletakkan sebuah perangkap tikus di suatu sudut jelapang padinya. Dengan rasa terkejut tikus segera memberitahu haiwan lain mengenai bahaya perangkap tersebut.
Ayam dan lembu buat acuh tak acuh. Hal itu tidak ada kena mengena dengan mereka. Yang hendak diperangkap itu tikus, bukan mereka. Tikus terasa sedih bila peringatannya menjadi bahan ketawa dan ejekan.
Keesokan paginya isteri petani pergi menjenguk perangkap. Kerana terlalu teruja, perangkap itu terus dipegangnya. Kemudian terdengar suatu jeritan yang kuat. Tangan wanita tersebut telah dipatuk ular senduk yang terjerat di dalam perangkap.
Dia segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Pada hari berikutnya dia dibenarkan pulang namun masih dalam pantauan pihak hospital kerana keadaannya yang lemah tidak berdaya.
Setiba di rumah, wanita itu meminta suaminya menyediakan sup AYAM bagi menghilangkan rasa pahit di kerongkongnya. Kerana sayang, si petani mengikut saja kemahuan si isteri.
Petani berusaha keras merawat isterinya namun keadaannya semakin melarat dan akhirnya meninggal dunia. Penduduk kampung datang silih berganti mengucapkan takziah. Bersama-sama mereka menguruskan jenazah allahyarhamah.
Malam itu diadakan majlis tahlil. Seluruh kampung dipanggil. Mereka dijamu dengan kari daging LEMBU.
PENGAJARAN DARI ANALOGI
Kita akan rugi dan kehilangan banyak hikmah jika nasihat, teguran, petua, peringatan, panduan, pengalaman dan ilmu hanya diambil dari orang-orang ternama, berkedudukan tinggi dan berharta.
Yang terzahir dari mulut orang biasa (marhaen) diremeh malah dibuang begitu saja. Walhal pada itu semua tentu ada hikmah yang tersurat dan tersirat yang dapat diambil manfaat bagi orang-orang yang berfikir.
Jangan membeza-bezakan manusia untuk kita dengar dan beri perhatian. Pasanglah pancaindera untuk mendengar, melihat, menghidu, merasa dan berfikir. Utamakan inti, bukan pada rupa dan warna kulit. UTAMAKAN APA YANG DIUCAP. BUKAN SIAPA YANG BERUCAP.
Jangan pernah bersikap tidak peduli dengan kesusahan orang lain. Manusia hidup saling bergantungan. Masalah orang yang dianggap jauh dan tidak ada kaitan, mudah saja sampai ke pintu rumah kita sendiri.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Barangsiapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam, maka ia bukan dari golongan mereka." (HR al Baihaqi, at Tabari, Abu Nua'im, dan al Hakim)
(DAKWAH # 30)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment