Monday, August 1, 2016

Tertib Itu Separuh Dari Iman


Setiap orang yang menjejakkan kaki ke bumi matahari terbit pasti akan melihat betapa ketertiban warga Jepun. Jika Jepun itu Islam dan Makkah itu di Jepun, mereka akan beratur untuk kucup Hajarulaswad dan pastikan orang lain juga mengikuti peraturan itu. Walaupun sekadar hendak membeli bertih jagung, MEREKA BERATUR. Malah, setiap urusan yang melibatkan ramai orang, mereka tetap beratur, hendak basuh tangan, ke tandas, masuk keretapi, naik bas, masuk stadium, beli tiket bola, semasa hendak melakukan ibadat di Kuil Nikko Shrine juga mereka tetap kekal dengan disiplin ini. Bukan hendak puji Jepun seolah-olah negara itu terbaik. Mereka ada kelemahan juga.

Nabi s.a.w. tidak tunggu sampai seseorang itu sempurna Islamnya baru dijadikan contoh. Jika tidak, tiadalah pelacur yang memberi minum anjing dijadikan contoh teladan. Dalam kes itu, melacur tetap haram tetapi diambil contoh pada bahagian "memberi minum haiwan" itu. Kalau hal itu dilakukan pada hari ini, tentu ada orang pertikaikan kononnya kenyataan itu membenarkan pelacuran. Jangan sempitkan fikiran, baca dengan hati terbuka.

Ketika menunaikan iabadah haji dan umrah, umat Islam berebut-rebut menggunakan kudrat masing-masing untuk mengucup Hajarulaswad, perbuatan siku menyiku, tolak menolak dan macam-macam aksi yang jelek jelas terlihat. Bukankah jika beratur dan bergiliran, lambat ataupun cepat semua dapat merasa? Cara berebut begini perlu diperbaiki kerana pasti yang berbadan kecil, orang tua dan wanita tiada peluang untuk melaksanakan ritual SUNAT ini. Ada yang menyiku sampai berdarah hidung jemaah lain kerana hendak cium Hajarulaswad. Hendak buat perkara sunat, tetapi yang dilakukan pula hal haram.

Mungkin ada orang yang berkata Hajarulaswad ada satu sahaja dan tidak boleh beratur. Cuba pula lihat sikap umat Islam semasa beratur membeli makanan di luar Masjidilharam. Semasa musim haji dan umrah (low season) beli makanan macam kena serbu. Bab beratur memang sudah beratur cuma disiplin beratur pula bagaimana? Beratur sampai 1 jam pun berganjak sedikit sangat kerana ramai yang potong barisan. Orang Islam beratur tidak setertib orang Jepun yang beratur naik keretapi sangat sesak.

Islam bererti SEJAHTERA, TERBAIK. Ia satu agama tersusun dan syumul. Shinto adalah kepercayaan (agama) Jepun rekaan manusia (bukan agama samawi). UMAT ISLAM kelihatan terkebelakang dalam adab sedangkan sepatutnya mendahului agama ciptaan manusia seperti Jepun. Jika ada yang lebih baik itu bermakna sama ada Islam itu tiada pada Muslim atau Islam itu dilaksana oleh bukan muslim.

Jepun seperti kura-kura buta yang terus berjalan, Muslim seperti arnab celik yang pantas tetapi masih tidur dan bermimpi. ARNAB MENDAHULUI PERLUMBAAN. Memang Jepun itu satu bangsa, tetapi orang Islam ini SATU DUNIA. Sepatutnya SATU AGAMA itu lebih mudah untuk ditanamkan disiplin berbanding satu bangsa. Wallahualam.

Allah telah jadikan bumi dan langit beredar mengikut aturannya. ATURANNYA itulah PERATURAN dan kita kena BERATUR dengan TERATUR dan BERPERATURAN. Jangan jadikan alasan kerana kita memang sudah lama beralasan. Perbandingan ini UNTUK KITA INGAT bagi mengambil yang baik meninggalkan yang buruk kerana semua yang baik datang dari Allah walaupun bukan orang Islam yang buat. Yang buruk itu datang dari diri sendiri. Itupun bila bawa kereta laju kemudian kemalangan, ada juga orang cakap "Itu takdir Allah" sedangkan ia adalah kesan kelemahan sendiri, tetapi disalahkan juga pada takdir.

JIKA MALU ITU SEPARUH DARIPADA IMAN, BERATUR DENGAN TERTIB JUGA SEPARUH DARIPADA IMAN....kita patut rasa MALU supaya kita mampu buat pembaikan.



No comments:

Post a Comment