Monday, August 1, 2016

Jangan Sangka Allah Tak Dengar!


Ahmad menunggang motosikal tanpa topi keledar sedang bergegas hendak pulang ke rumah. Dia terpaksa melalui satu selekoh yang menjadi tempat anggota polis memerangkap kenderaan yang melakukan kesalahan trafik. Sepanjang perjalanan, Ahmad berdoa dalam hati agar hujan lebat turun dan anggota polis itu berhenti bertugas sementara menunggu hujan teduh dan Ahmad dapat menyusuri selekoh tersebut tanpa ditahan.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi guruh yang berdetum dan cahaya matahari kehilangan di sebalik awan hitam yang tebal. Hati Ahmad mulai riang kerana merasakan Tuhan mendengar doanya. Angin yang kuat meninggikan lagi semangatnya bahawa hujan akan turun. "Hujan pasti turun. Doaku dah dimakbulkan," bisiknya di hati lalu memecut motasikalnya.

Hanya tinggal beberapa kilimeter lagi, namun hujan tetap tidak turun. Tetiba langit menjadi cerah. Bunyi petir tidak lagi kedengaran. Awan hitam seolah-olah ditiupkan ke arah yang lain.

Nasib Ahmad malang.Dia menerima saman daripada anggota polis dengan hati yang marah. Tanpa membaca apa yang tercatat di saman itu, dia terus memasukkannya di dalam poket lalu memecut beredar dari situ. "Dah memang nak hujan. Mengapa tarik balik? Teruk betul. Bulan ini kena makan roti sahaja," bisik hatinya.

Dia kemudian melewati tanah perkuburan yang dipenuhi sesak orang ramai. "Siapa yang meninggal dunia?" tanya hatinya. Dia pun menghentikan motosikal lalu pergi bertanya orang di tepi jalan.

"Tok Guru kampung yang mengajar kami selama ini dah tiada," kata seorang penduduk.

"Mengapa ramai yang sujud syukur?" tanya Ahmad.

"Tadi macam nak hujan. Tapi kami semua berdoa minta jangan hujan agar perjalanan terakhir Tok Guru lancar. Tetiba langit menjadi cerah," jawab penduduk itu.

Perasaan marah Ahmad segera hilang. "Rupa-rupanya bukan Tuhan tak jawab doa aku yang hanya pentingkan keselesaan diri sendiri. Tuhan cuma bersikap adil dan ada doa yang lebih penting untuk dimakbulkan pada masa yang sama. Saman itu aku anggap pengorbanan aku demi keselesaan penduduk yang menghantar Tok Guru mereka buat kali terakhir."

Ahmad mengeluarkan saman yang diterimanya dari anggota polis tadi. Apa yang tercatat di situ mengejutkannya, "Lain kali, ingat pakai topi keledar! Kalau tidak, betul-betul akan kena saman!!!"

Ahmad terus sujud syukur. "Ampunkan aku, wahai Allah kerana buruk sangka pada-Mu!!!"

No comments:

Post a Comment