Monday, June 13, 2016

Wuduk - Batalkah Bila Sentuh Isteri?


Di bahas secara ilmu , tidak ada dalil khusus dari hadis yg ada menyatakan batal wuduk jika bersentuh suami isteri, namun ia menjadi khilaf di kalangan para imam mazhab yang mengkaji masalah fiqah ini lalu ia menjurus kepada 3 perkara iaitu:

1) Pendapat mana yang kata batal serta alasan hujjah
2) Pendapat mana yang kata tak batal serta alasan hujjah
3) Kesimpulan, pendapat mana yang TERKUAT, RAJIH, MAHSYUR, JUMHUR

Yang pertama, pendapat yang mengatakan batal adalah dari Mazhab Imam Asy Syafie. Hujjah Imam Asy Syafie berdasarkan dalil dari ayat 43 Surah An-Nisa’ أَوْ لاَمَسْتُم النِّسَآءَ ".....atau kamu telah bersentuh dengan isteri kamu".

Yang kedua, pekataan لاَمَسْتُم menjadi perselisihan pendapat yang muktabar dan pendapat yang terkuat mengatakan bahawa maksud ayat itu BUKAN merujuk kepada sentuh tetapi ia adalah "JIMAK" . Pendapat ini di sokong oleh MAJORITI para pakar ahli tafsir. Di antaranya penafsir ulung yang didoakan Nabi, Abdullah bin Abbas. Demikian juga Ali bin Abi Thalib, Ubai bin Ka’ab, Mujahid, Thawus, Hasan Al-Bashri, Ubaid bin Umair, Said bin Jubair, Sya’bi, Qotadah, Muqatil bi Hayyan dan lainnya. (Lihat Tafsir Ibnu Katsir 1/550). Pendapat ini juga dikuatkan Syaikh ahli tafsir, Ibnu Jarir dalam Tafsirnya 5/102-103 dan Imam Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid). Diusuli lagi dengan sandaran-sandaran hadis soheh iaitu:-

Hadis Pertama dari Aisyah meriwayatkan bahawa, Nabi s.a.w pernah mencium sebahagian isterinya kemudian keluar menuju solat dan tidak berwuduk lagi. Saya (Urwah) berkata: Tidaklah dia kecuali anda, kan? Lalu Aisyah tertawa. (Shahih. Riwayat Tirmidzi: 86, Abu Dawud: 178, Nasa’i: 170, Ibnu Majah: 502 dan dishahihkan Al-Albani dalam Al-Misykah: 323. Lihat pembelaan hadis ini secara luas dalam At-Tamhid 8/504 Ibnu Abdil Barr dan Syarh Tirmidzi 1/135-138 Syaikh Ahmad Syakir).

Hadis ini menunjukkan bahawa menyentuh isteri tidaklah membatalkan wuduk sekalipun dengan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Syaikh Al-Allamah As-Sindi dalam Hasyiyah Sunan Nasa’i 1/104.

Hadis kedua juga dari dari Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Pada suatu malam saya pernah kehilangan Rasulullah dari tempat tidur maka saya mencarinya lalu tanganku mengenai pada kedua punggung kakinya yang tegak, beliau solat di masjid seraya berdoa: “Ya Allah saya berlindung dengan ridha-Mu dari kemurkaan-Mu…”. (HR. Muslim: 486).

Hadis ini menunjukkan bahawa isteri menyentuh suami tidaklah membatalkan wuduk. Adapun takwil Imam Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim 4/152 bahawa kejadian tersebut boleh jadi kerana ada pembatas kainnya, maka menyelisihi zahir hadis. Namun pendapat yang lain menafikan kerana sudah tentu Nabi s.a.w solat bukan secara isbal. (Lihat At-Tamhid 8/501 Ibnu Abdil Barr dan Tafsir Al-Qurthubi 5/146).

KESIMPULAN

Pendapat yang pertama melalui sandaran Imam Asy Syafie adalah lemah. Asal hukum wuduk seorang adalah suci dan tidak batal sehingga ada dalil yang mengeluarkan dari hukum asalnya, sedangkan hal itu tidak ada, padahal kita ketahui bahawa menyentuh isteri adalah suatu hal yang amat sering berlaku. Seandainya itu membatalkan wuduk, tentu Nabi s.a.w akan menjelaskan kepada umatnya dan masyhur di kalangan sahabat, tetapi tidak ada seorangpun dari kalangan sahabat yang berwuduk hanya kerana sekedar menyentuh isteri. Inilah yang dinukilkan oleh Ibnu Taimiyyah di dalam kitab Majmu’ Fatawa. yang TERKUAT, RAJIH, MAHSYUR, JUMHUR adalah TIDAK BATAL.

No comments:

Post a Comment