Tuesday, June 28, 2016

Warga Palestin Pendamba Syahid


Ini sebuah kisah yang menggetarkan bulu roma setiap kali diperdengarkan. Kisah tentang hati-hati Palestin yang berjiwa besar. Kisah ini diceritakan oleh seorang sukarelawan yang kembali dari Misi ‘Berani Mati’ menghantar bantuan untuk projek-projek di Gaza hasil sumbangan rakyat Malaysia yang berjiwa sang pemberi yang luhur.

Diceritakan sebelum menjejakkan kaki ke bumi Gaza, kotak pemikiran masing-masing memikirkan suasana di Gaza dengan yang apa yang tercermin di media dan internet. Segalanya tentang peperangan, wajah-wajah pilu dan menyentap naluri seorang insani, peminta sedekah yang berkeliaran menagih belas kasih. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bak kata pepatah, ‘indah khabar dari rupa’.

Orang-orang di Gaza menyambut mereka dengan penuh keceriaan. Di wajah mereka, kemanisan sebuah senyuman yang ikhlas tidak menunjukkan mereka sedang dilanda musibah. Sambutan mereka terhadap orang Malaysia memang melangkaui jangkaan asal. Ahli-ahli misi yang bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang buruk yang bakal terjadi terkesima kerana disambut dengan begitu ceria dan gembira oleh mereka. Kami seperti terasa berada di suatu planet lain apabila berhadapan dengan susuk-susuk tubuh berjiwa besar, berhati syurga ini.

Kanak-kanak yang dijumpai, pemalunya bukan kepalang lebih-lebih lagi apabila mengetahui bahawa mereka akan menerima pemberian. Lagaknya seperti seorang anak gadis suci yang menerima pinangan dari lelaki soleh. Maruah mereka cukup tinggi. Tidak meminta-meminta walaupun tidak berpunya.

Ada suatu saat di mana salah seorang ahli misi hanya mempunyai baki beberapa biji gula-gula yang memang disediakan untuk kanak-kanak Gaza. Mereka memanggil salah seorang kanak-kanak yang disangka bersendirian waktu itu. Apabila dipanggil ternyata dia dan kawannya yang seramai lebih kurang 5-6 orang datang kepada ahli misi. Walaupuan agak kaget kerana gula-gula yang hendak diberikan ternyata tidak cukup untuk diberikan, namun memandangkan niat asal untuk memberi, maka diteruskan juga.

Subhanallah, salah seorang budak yang menerima gula-gula itu lantas mematahkan gula-gula kepada beberapa bahagian dan membahagi-bahagikan sesama mereka. Betapa besarnya jiwa mereka serta halusnya akhlak mereka. Sudahlah tidak sekalipun meminta, malah diminda hanya memikirkan tentang orang lain.

Di suatu tempat di sebuah sekolah tahfiz yang menempatkan kanak-kanak dan remaja Palestin yang dididik untuk menghafaz dan menghayati bait-bait cinta daripada Allah. Ketika menziarahi mereka, seorang ahli misi bertanyakan adakah mereka sudah makan kerana sangkaan mereka kemungkinan besar mereka sudah makan tengah hari kerana pada waktu itu sudah lewat petang. Salah seorang remaja yang agak tua sedikit berbanding yang lain memberitahu bahawa mereka sudah makan.

Sedang mereka meninjau-ninjau tempat tersebut, seorang kanak-kanak kecil yang lebih kurang dalam umur 8-9 tahun menarik perlahan-lahan baju ahli misi ini tadi. “Pakcik, abang tu tidak bercakap benar. Sebenarnya kami belum menjamah apa-apa makanan lagi.”

Dengan terkejutnya, ketua misi meminta sahabat-sahabat yang lain mengambil lebihan roti yang tinggal sedikit dan memang tidak cukup untuk semua pelajar sekolah itu. Tiba saat untuk roti-roti itu dibahagikan, dengan cepatnya abang-abang besar ini tadi mengambil roti-roti tersebut. Dalam hati ahli misi ini tadi, “Sebentar tadi, baru cakap sudah makan, ini dia pula yang pantas menyambut roti-roti itu.” Rupa-rupanya apa yang berlaku, abang-abang besar tadi mengambil roti-roti itu dan dibahagi-bahagikan kepada adik-adik kecil.

Apabila ditanya kepada anak-anak Gaza, “Adakah kamu ingin mengikut kami belajar atau bekerja di Malaysia?”

Jawab mereka dengan sopan, “Terima kasih. Syurga sedang merindui kami.”


Apa lagi yang Palestin mahu?? Hanya satu kata melambangkan seribu pengertian…SYAHID.

Sebetulnya, mereka tidak memerlukan sumbangan kita. Tetapi kitalah yang sebenarnya memerlukan mereka kerana kewajipan setiap umat Islam itu mempertahankan Bumi Al-Aqsa dari noda-noda kuasa luar.

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka adalah hidup di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki, mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai orang-orang yang masih tinggal di belakang, yang belum sampai kepada mereka, bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman". Ali Imran (169-171)

Salurkan sumbangan anda atas nama 'Humanitarian Care Malaysia Berhad':

Maybank Islamic : 5515-7500-4299
Bank Islam : 1209-20100-34904
CIMB Islamic: 8602 135 592
JomPAY Biller Code: 6197

"Ibadah Kita, Kegembiraan Mereka."

[Sumber: Aqsa Syarif Negeri Sembilan]

No comments:

Post a Comment