Thursday, June 9, 2016
Poligami - Sunnah Tidak Fitrah
Dari segi feqah, perkahwinan poligami memang sah tetapi tidak begitu fitrah dan kurang tepat dari sudut sunnah.
Pertamanya, Sunnah Rasulullah s.a.w. ialah amat menyayangi isteri pertamanya walaupun Siti Khadijah r.a.h jauh lebih tua dari usia baginda. Baginda hanya berkahwin lain setelah isteri pertamanya wafat.
Keduanya Baginda berkahwin atas nama Allah, iaitu ada misi kemanusiaan yang khusus seperti melindungi balu dan anak-anak yatim yang ditinggalkan oleh para mujahid yang gugur syahid.
Ketiganya Baginda amat berlaku adil dan saksama dalam segala sudut terhadap kesemua isteri-isteri baginda. Cukup sempurna pula ilmu baginda untuk mendidik kesemua isterinya.
Banyak sekali kes rumahtangga dan kecelaruan anak-anak berkaitan dengan kes poligami dan perceraian. Ironinya, banyak kes poligami melibatkan suami yang tidak berkemampuan. Sara hidupnya sendiri banyak ditanggung oleh isteri. Sebahagiannya malah membebankan isteri dengan menghimpun pelbagai hobi dan suka berhutang di sana sini menggunakan nama isteri.
Ramai suami yang berpoligami bukan sahaja lebih cenderung kepada wanita muda, malah tidak berlaku adil kepada isteri tua. Harta sepencarian dengan isteri tua digunakan sewenang-wenangnya untuk menambat hati isteri muda. Isteri tua dan anak-anak ramai sekali yang terabai sehingga hidup mereka menjadi porak peranda.
Kita hanya suka ambil sunnah rasul dan titah perintah Allah pada sebahagiannya sahaja. Kuat sekali berpegang pada anjuran berpoligami sebagai sunnah, tetapi kita tidak ambil berat langsung tentang perintah Allah dan sunnah rasul untuk berlaku adil serta tidak menzalimi. Yang sudah terlanjur berpoligami dan telah melakukan khilaf harus segera beristighfar dan berlaku adil. Muhasabah diri sedalam-dalamnya sama ada kita berpoligami kerana Allah dan sunnah Rasulullah atau kerana nafsu semata-mata.
[WargaPrihatin]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment