Tuesday, June 28, 2016

Bukan Allah Tak Sayang


Ali seorang yang penjual yang tekun. Beliau menjual alat pendidikan kanak-kanak. Setiap hari beliau berdoa agar Allah mempermudahkan urusan hariannya, diharap barangan mudah dijual dan selamat dalam perjalanan. Setiap pagi, Ali perlu melalui berpuluh kilometer untuk menyelesaikan tugasnya. Pemanduannya cukup dijaga kerana jalan yang dilaluinya banyak `roadblock` polis setiap hari demi untuk mengelakkan saman trafik.

Pelanggan Ali pula tidak menentu – ada yang ok, ada yang cerewet, malah ada yang ‘membuli’ beliau. Dengan keyakinan bahawa doa beliau akan dimakbulkan, Ali kuatkan semangat dan terus tekun bekerja mencari rezeki.

Namun, setelah setengah tahun mencuba, prestasi jualan Ali tidak baik. Ada bulan yang prestasi jualannya jatuh merudum, Ali merungut bertanya mengapa Allah tidak membantu menguruskan urusan sehariannya. Ali bertanya mengapa Allah tidak membantunya sedangkan beliau tekun setiap hari berulang-alik sana sini untuk menjual barangannya. Ali seorang yang menjaga tindak-tanduknya berasa beliau seorang yang kurang berdosa – jadi mengapa Allah merumitkan hidup beliau. Ali tidak faham dan terus merungut sendiri dan merasakan dirinya malang… Pun begitu, beliau meneruskan kariernya sebagai penjual dengan tekun…

Suatu hari beliau bertemu dengan taukeh pemborong alat pendidikan kanak-kanak brand A yang kagum dengan ketekunan dan keazaman Ali cuba menjual produk brand B…

“Berminat ke Ali nak join company saya? Saya tawarkan dua kali ganda gaji untuk Ali,” tanya pemborong itu.

Ali seronok, tetapi berfikir, prestasi jualannya bukanlah baik sangat, mengapa pemborong ini berminat padanya…

“Saya penjual yang tak seberapa… mengapa tuan berminat pada saya?” tanya Ali yang gembira, tetapi seolah-olah tidak percaya pada nasibnya.

“Ali tahu produk syarikat yang Ali sedang jual ini – namanya tidak berapa baik di pasaran, tapi Ali masih cuba dengan tekun dan berhemah sehinggakan kedai-kedai yang Ali cuba menjual produk Ali menyuruh saya mengambil Ali. Mereka rasa Ali ada potensi untuk cemerlang bekerja dengan saya…” kata pemborong tersebut.

Ali menerima dengan gembira pujiannya – ketekunannya akhirnya berhasil – Ali seterusnya bertanya, "Apa dokumen yang diperlukan untuk permohonan kerja baru ini?"

“IC dan lesen kereta cukup… dan boleh join bulan depan, tak perlu interview,” kata pemborong itu.

Ketika Ali mengeluarkan IC dan lesen memandunya, Ali terkejut. Ali tersentak melihat tarikh 05/04/12. Rupa-rupanya lesen memandunya dah tamat tempoh 6 bulan yang lepas. Ali mengimbas kembali nasibnya 6 bulan. Dalam perjalanan untuk menjual produk, sudah beberapa kali Ali melalui perangkap polis tanpa disiasat lesen memandu yang telah mati.

Ali teringat bagaimana satu hari, ketika kereta Ali yang sedang berada di lebuh raya, tingkap belakangnya tidak dapat ditutup. Tetapi tetiba hujan lebat turun. Disebabkan takut produknya basah kuyup Ali memandu secara cepat sehingga ditahan polis. Apabila polis itu hendak menyoal Ali dan suruh mengeluarkan lesen kereta, tetiba polis itu menerima telefon kecemasan dan bergegas ke tempat yang lain.

Tetiba, Ali berasa bersalah. Ali teringat segala rungutan dirinya terhadap Allah yang dia tuduh tidak menyayangi beliau. Hati Ali sayu – sedih memikirkan sikapnya yang bersangka buruk pada Allah. Ali tersedar rupa-rupanya Allah menjaganya setiap hari sepanjang 6 bulan lepas ketika lesen memandu dia mati. Tiada satu hari pun yang Allah tidak menjaga hambanya, walaupun dia yang bersangka buruk pada-Nya.

“Rupa-rupanya Allah menjaga dan sayang saya selama ini… segala doa saya didengari… sehinggalah saya kini bertemu dengan taukeh yang lebih baik dan Allah melalui taukeh ini memberitahu saya lesen memandu dah mati dan saya silap bersangka buruk kepada-Nya selama ini…. Ya Allah. Maafkan saya,” bisik Ali di hatinya.

Semoga kisah ini membawa sedikit keinsafan kepada kita semua yang pernah bersangka buruk kepada Allah ketika melalui liku-liku kehidupan yang mencabar.

[Dipetik dari FB Tuan Ibrahim Tuan Man]


1. Sentiasa berniat baik
Segala urusan bermula dengan niat. Biat yang baik, maka urusan juga akan dipermudahkan. Niat yang tidak baik, keberkatan usaha pula akan hilang.

2. Sentiasa bercakap benar
Kepercayaan orang lain kepada kita berasal dari diri kita sendiri apabila sentiasa bercakap yang benar-benar sahaja. Membina kepercayaan orang itu sukar, namun menghilang kepercayaan orang amat mudah.

3. Sentiasa berakhlak mulia
Mereka berakhlak mulia bukan sahaja disukai oleh orang di keliling, tetapi dicintai oleh Allah S.W.T.. Tidak perlu memuaskan hati orang sahaja, cinta teragung ialah dengan Allah S.W.T. dan akhlak mulia adalah jambatan untuk mencapainya.

4. Sentiasa menepati masa
Buangkan tabiat melengahkan masa, atau tidak menepati masa. Usah lagi beri alasan “on the way” bila terlewat di mana kita baru sahaja melangkah keluar rumah

5. Sentiasa amanah dan dipercayai
Bina kepercayaan dengan menjadi seorang yang beramanah.

6. Sentiasa bertutur dengan bahasa dan cara yang baik
Jaga pertuturan. Apa yang kita kata mencerminkan peribadi sendiri. Bercakap dengan lemah lembut dan dan bahasa yang baik. Anda sentiasa akan dihormati.

7. Sentiasa berketerampilan kemas
Berpakaian dan berketerampilan kemas bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar bersederhana dan tidak pula dilihat selekeh. Pakaian yang tidak terurus, rezeki juga tidak akan datang.

8. Sentiasa jaga perbualan perkara yang baik sahaja
Sentiasa berkata-kata yang positif sahaja. Apa yang kita kata, akan menjadi doa. Doakan yang terbaik sahaja untuk diri, keluarga dan juga kenalan yang kita berbual bersama

{Ustaz Hasnan Fan Club]

No comments:

Post a Comment