Wednesday, June 1, 2016

Konsep Minimalis Dalam Ruang



Bila melihat foto ini semua orang boleh mengagak bahawa ini rumah orang Jepun, dengan perabot yang minimum.Disebabkan kawasan rumah sempit, mereka amalkan konsep minimalis. Kalau berlaku bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami, kerugian dapat dikurangkan. Begitu juga kehadiran sampah sarap.Umum pun tahu rakyat Jepun sangat berdisiplin, pembersih dan sukakan kebersihan.

Secara peribadi, saya suka keadaan begini. Semasa tinggal di rumah kampung Melayu dulu pun kami tidak memiliki banyak perabot. Bayangkan rumah luas bertiang tinggi dengan ruang kolong di bawah rumah. Masa zaman kanak-kanak kami main perang-perang berkubukan bantal di atas rumah. Adik beradik lelaki pula boleh main badminton...punyalah lapang!!!

Kalau kami main baik-baik, gelak kuat-kuat, emak tak marah. Dia cuma memekik bila kami berkelahi dan bergumpal. Emak tak perlu jadi garang macam harimau.

Hendak mengemas pun senang, sapu sekali sahaja sudah bersih. Kain baju masing-masing lipat sendiri, jadi emak tidaklah letih sangat. Selain memasak (itu pun kami yang perempuan turut menolong), emak ada masa bercucuk tanam sayuran di keliling rumah.

Tetapi bila sudah berkeluarga, susah juga hendak amalkan konsep minimalis seperti itu, sebab suami jenis "hoarder". Semua benda dia hendak simpan. Katanya, "Manalah tahu ada gunanya nanti!" Pun begitu saya kenakan syarat. Apa yang yang tidak diguna dalam tempoh setahun, ia perlu dihantar ke pusat kitar semula. Saya tidak mahu berhutang membeli perabot untuk jadi bahan pameran kepada tetamu yang datang. Tanpa hutang, hati senang.Cakap-cakap orang masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Hidup ini mudah kan bila kita hidup menurut cara kita sendiri.

[Sumber foto FB Normaliza Mahadi]

No comments:

Post a Comment