Monday, June 6, 2016
Untung Dalam Ramadan
10 cara yang terbaik untuk kaut sebanyak mungkin keuntungan yang tidak mungkin dapat diperolehi di bulan selain Ramadhan.
1- SOLAT
Solat di bulan Ramadhan mempunyai nilai dan pahala yang berbeza, solat sunat diberi pahala Fardu dan solat fardu diberi pahala 70 kali ganda.
Solat sunat
Sabda nabi s.a.w., "Sesiapa yang sanggup mendirikan 12 rakaat sunat sehari semalam pasti masuk syurga”.
Sabda nabi s.a.w lagi, "Sesiapa yang solat sehari semalam 12 rakaat yang bukan fardu, dibina baginya satu rumah dalam syurga”.
Solat sunat 12 rakaat ialah 2 rakaat sebelum subuh, 4 rakaat sebelum zohor, 2 rakaat selepas zohor, 2 rakaat selepas maghrib dan 2 rakaat selepas isya’.
Solat tarawih termasuk dalam solat sunat yang perlu diberi perhatian untuk meraih ganjaran terbaik di bulan Ramadan.
Solat fardu
Solat berjamaah di masjid diganda 27 kali ganda pahala, bayangkan kalau anda solat berjamaah di masjid pada bulan Ramadhan, berapa banyak pahala yang kita dapat..
5 waktu solat tambah 70 pahala Ramadan tambah 27 pahala solat jamaah tambah 30 hari Ramadan.
5 x 70 x 27 x 30 = 283,500 hampir suku juta pahala solat fardu berjamaah di masjid di bulan Ramadhan.
2- PUASA
Puasa terbahagi kepada 3 jenis
i) Puasa orang awam - Iaitu menahan diri daripada makan,minum dan seksual sahaja.
ii) Puasa orang khusus - Bukan sekadar berpuasa orang awam bahkan berpuasa segala anggota,mata,telinga,lidah,tangan,kaki dan hati daripada melakukan maksiat.
iii) Puasa orang khusus - khusus
Ditambah rasa cinta kepada Allah, tidak meminta kecuali kepada Allah,benci kepada maksiat dan tidak terfikir ingin melakukannya dan hati tidak sibuk dengan perkara sia-sia kecuali zikir dan ketaatan.
Jenis puasa manakah yang kita lakukan sekarang?
Berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum sahaja, tetapi mengambil pengajaran daripada roh puasa iaitu sesiapa yang boleh menahan diri daripada melakukan perkara halal dalam bulan Ramadhan maka wajib baginya menahan diri daripada melakukan perkara haram sama ada dalam bulan Ramadan atau di luar Ramadan. Puasa sebenar ialah kita dapat melatih diri dan akhlak menjadi yang terbaik dan diteruskan selepas Ramadan, bukan menjadi baik dalam bulan Ramadhan sahaja.
Keuntungan berpuasa
-Sehari berpuasa menjauhkan kita dari api neraka selama 70 tahun dan Allah boleh menambah kepada sesiapa yang dikehendakinya.
-Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah s.w.t
-Orang berpuasa akan masuk syurga melalui pintu khas yang bernama Rayyan.
-al-Quran dan puasa akan memberi syafaat di hari Qiamat dan tidak akan meninggalkan seorang hamba sehingga dia masuk ke syurga.
3- QIYAMULLAIL
Qiyamullail ialah sebaik-baik nikmat selepas nikmat Islam. Ia merupakan nikmat khulwah (berseorangan) dengan Allah, tidak ada yang lebih baik daripada meninggalkan tidur dan bermunajat dengan Allah. Qiyamullail merupakan sekolah yang besar untuk melatih jiwa. Hanya orang-orang yang ikhlas sahaja yang boleh melazimi qiyamullail, oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh supaya kita boleh mengislahkan diri dan dapat bersama-sama menjadi orang yang melazimi qiyamulail.
Keuntungan qiyamullail
-mendapat kemuliaan - Sabda nabi s.a.w, "Qiyamullail adalah kemuliaan bagi mukmin”.
-mendapat 5 kebaikan
i - menjadi orang soleh
ii - hampir kepada Allah
iii- mencegah melakukan dosa
iv - menghapus dosa
v - menghilangkan penyakit dari badan
-doa yang mustajab dan diterima taubat, khususnya dilakukan 1/3 akhir malam.
4- ZIKRULLAH
Zikrullah adalah nyawa bagi hati, kelazatan bagi roh dan kenikmatan bagi jiwa. Kata ulama: Sesungguhnya di dunia ada syurga, sesiapa yang tidak memasukinya maka tidak akan masuk syurga di akhirat, syurga dunia ialah zikrullah. Zikrullah pada setiap tempat dan masa.
Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 191: "“(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring”.
Peliharalah zikir pada 3 keadaan
i - zikir pagi dan petang, sekurang-kurangnya ma’thurat hanya lebih kurang 10 minit.
ii - Zikir dalam keadaan tertentu; bangun tidur, masuk tandas,keluar rumah,masuk rumah dan lain-lain.
iii- Zikir hati atau yang disebut sebagi tafakkur – berfikir melihat kebesaran kejadian makhluk Allah
Kata Imam an-Nawawi, "Tidak akan menjaga zikir pagi dan petang, kecuali orang yang bertaqwa." Kata ulama, "zikir bagi orang mukmin seperti air bagi ikan."
Keuntungan zikrullah
- menghapuskan dosa dan memberatkan timbangan amal
- sebagai benteng diri anugerah Allah s.w.t
- ketenangan hati dan jiwa "أَلا بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ الْقَلُوب". Maksudnya; ingatlah dengan zikrullah dapat menenangkan hati.
5- SEDEKAH
Sesiapa yang ingin hampir kepada Allah dengan ibadahnya, yang inginkan darjat yang tinggi, yang ingin duduk bersama nabi di dalam syurga, yang ingin sihat tubuh badan, yang inginkan kebaikan untuk anak isteri selepas kematiannya, maka bersedekahlah, jangan sekali-kali merasakan sedekah anda akan mengurangkan harta anda.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 245: " Siapakah orangnya Yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya Dengan berganda-ganda banyaknya? dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan."
Sabda nabi s.a.w: "Ubatilah orang sakit di kalangan kamu dengan bersedekah.
Sabda nabi s.a.w lagi: "Aku dan penjamin anak yatim seperti ini, sambil nabi menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya(menunjukkan hampirnya orang yang bersedekah membantu anak yatim dengan nabi s.a.w di dalam syurga)
Doa Malaikat: "Ya Allah ! berikan kepada orang yang bersedekah gantian hartanya, Ya Allah ! berikan kepada orang bakhil kerosakan hartanya.
Keuntungan sedekah."
-khazanah kebajikan yang banyak di sisi Allah
-duduk hampir dengan nabi di dalam syurga
-rezeki bertambah di dunia
-segala hajat terlaksana
6- TILAWAH AL QURAN
Merupakan ibadah terbaik dalam bulan Ramadhan, berusahalah untuk khatam al-Quran lebih dari sekali.Cara mudah khatam al-Quran
-membaca dua helaian al-Quran bersamaan empat muka surat pada setiap kali solat fardu, sehari semalam anda akan dapat habiskan satu juzuk, sebulan Ramadhan anda akan dapat sekali khatam al-Quran, untuk dua kali khatam gandakan sahaja kepada empat helaian al-Quran, begitulah seterusnya.
Untuk menjadi yang terbaik, maka bukan sahaja kita mengkhatamkan al-Quran sekali atau dua kali tetapi menghayati tafsirnya dan beramal dengan hukum hakam al-quran.Tidak bermakna jika kita boleh khatam 10 kali pun dalam bulan Ramadan tetapi tidak beramal dengannya.
Keuntungan tilawah al-Quran
-setiap huruf yang dibaca diberi ganjaran 10 pahala dan Allah akan menambahkan lagi bagi sesiapa yang dikehendaki.(huruf dalam al-Quran hampir 300 ribu x 10 = 3 juta pahala sekali khatam)
-darjat kedudukan dalam syurga berdasarkan berapa banyak tilawah di dunia.
-doa yang makbul sewaktu khatam al-Quran.
7- TAUBAT
Merupakan penyesalan atas maksiat yang telah dilakukan, menjauhkan diri dari mengulanginya dan berazam tidak akan kembali melakukannya. Setiap muslim perlu bertaubat setiap hari dari dosa yang dilakukan, kerana sebaik-baik manusia iaitu nabi s.a.w beristighfar dan bertaubat kepada Allah lebih 70 kali sehari. Adakah kita lebih baik daripada nabi s.a.w, maka kita tidak perlu beristighfar lebih banyak daripadanya.
Firman Allah Surah At-Tahrim ayat8: "Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan TAUBAT NASUHA. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Keadaan orang yang bertaubat :
Hancur luluh hatinya mengenangkan dosa yang dilakukan, bercucuran air matanya, hidup jiwanya, bimbang dosa tidak diampun, merasa manis dengan melakukan ketaatan dan keimanan.
Keuntungan Taubat
-murah rezeki
-taubat faktor mandapat zuriat
8- IKTIKAF
Iktikaf sunnah yang dilazimi oleh nabi s.a.w pada 10 akhir Ramadan, pada tahun terakhir kehidupan nabi , beliau beriktikaf 20 hari.
Apa itu iktikaf?
Iaitu tinggal diam dalam masjid untuk beribadah dan meninggalkan kesibukan dunia, tidak keluar dari masjid kecuali darurat.
Tujuan Iktikaf
-mengfokuskan ibadah dan meninggalkan kesibukan dunia sambil bermunajat kepada Allah
-mencari Lailatul qadar dan menghidupkan malamnya untuk mendapatkan kelebihannya.
-mengurangkan percakapan dengan memelihara lidah sambil menyibukkan diri dengan zikrullah.
-bermunajat dengan Allah dan bermanja dengannya serta bertadarus al-Quran.
Kata imam az-Zuhri, “Pelik bagi orang Islam, mereka meninggalkan Iktikaf sedangkan nabi tidak pernah meninggalkannya sejak berhijrah ke Madinah sehinggalah beliau wafat”.
Keuntungan Iktikaf
-timbunan pahala sejak masuk ke masjid hinggalah keluar daripadanya.
-mengetahui bagaimana cara berhubung dengan Allah dan bermanja dengannya.
9- LAILATUL QADAR
Malam terbaik dalam setahun, malam yang dinanti oleh orang yang beriman setiap tahun untuk maraih keuntungan besar padanya.
Kelebihannya - Tidak ada kelebihan sepertinya, beribadah padanya mendapat pahala seribu bulan atau 83 tahun beribadah.
Bila waktunya? - Carilah ia di sepuluh terakhir Ramadan, lebih lebih lagi pada malam-malam yang ganjil.
Cara mendapatkannya - Tidur secukupnya sebelum berbuka, berbuka dengan makanan yang sedikit sahaja, kemas kini jadual supaya dapat berqiyamullail, penuhkan separuh akhir malam dengan zikrullah, istighfar dan tilawah al-Quran.
Peringatan
Awasi tidur anda supaya tidak terlepas beribadah, jauhi percakapan dan perbuatan yang tidak berfaedah. Doa yang diajar oleh nabi untuk dibaca pada malam lailatul Qadar "اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني"
Maksudnya;Ya Allah! Sesungguhnya engkau maha pengampun, suka kepada keampunan maka ampunkan dosaku Ya Allah!.
Sabda nabi s.a.w, "“sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perkiraan dosa dan pahala, diampun dosanya yang telah lalu”.
Keuntungan dapat Lailatul Qadar
-diampun segala dosa yang lalu
-boleh mendapatkan apa yang dihajati seperti rezeki dan isteri yang solehah.
10- BUAT BAIK KEPADA DUA IBUBAPA
Semua manusia dan muslim perlu mengetahui bagaimana cara melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa, bagaimana cara mencium tangan mereka, bagaimana cara berkhidmat kepada mereka, sesungguhnya ramai dari kalangan kita telah mengabaikan hak kedua ibubapa.
Peringatan
Rugilah orang yang mempunyai dua ibubapa tetapi oleh kerana tidak menjaga hak kedua-duanya maka dia tidak dapat masuk syurga. Jauhi dari mengeluarkan kata-kata yang menyakiti mereka, kerana Allah telah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 23: "“dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun)”.
Keuntungan berbuat baik kepada ibubapa
-syurga di bawah telapak kaki ibu
-mendapat redha Allah kerana redha Allah terletak pada redha kedua ibubapa.
KESIMPULAN
Inilah sepuluh amalan terbaik yang perlu diberi perhatian oleh orang yang beriman, supaya Ramadan pada tahun ini dapat menambahkan bonus pahala sebelum kita bertemu dengan Allah. Ingatlah apabila kita bertemu dengan Allah, kita tidak membawa bersama kita wang dan harta, kalau dibawa pun tidak boleh membantu apa-apa, Cuma yang dapat membantu kita ialah amalan-amalan kebajikan yang dilakukan di dunia. Sama-sama kita memperbanyakkan harta akhirat.
Mudah-mudahan dapat manfaat.
[Sumber Hairul Nizam Ijam]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment