Monday, June 13, 2016

HUSNUL ZON - Bersangka Baik


Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Allah S.W.T. berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku." (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaaan kamu berbaik sangka dengan Allah." (Hadis Riwayat Muslim).

Maksud bersangka baik dengan Allah ialah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap.Ciri-ciri seorang hamba yang BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH:

1. Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah S.W.T. akan menerima ibadahnya itu dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran pahala.
2. Apabila berdoa dia tahu bahawa Allah S.W.T. akan memakbulkan doanya.
3. Apabila dia berdosa, segera bertaubat dan bersangka baik bahawa Allah S.W.T. akan menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.
4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmahnya.

Cara BERSANGKA BAIK SESAMA MANUSIA.

1. Tidak menyebarkan keburukan saudara seIslam yang lain. Apabila mendapat berita daripada orang fasik untuk aibkan saudaranya dia siasat dahulu dan tidak akan mudah mempercayainya.
2. Nasihat-menasihati dan lengkap melengkapi andai ada kekurangan yang terserlah pada saudaranya.
3. Saling mendoakan kesejahteraan saudaranya tanpa diketahuinya.
4. Mudah memaafkan kesalahan saudaranya.

Secara mudahnya, bersangka baik (husnul zon) ini sama maksudnya dengan berfikiran positif. Sikap seperti ini dituntut Islam kerana ia dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat keburukan. Jika tidak mempunyai bukti kukuh kita menjadi pemfitnah.

Firman Allah S.W.T.bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka kerana sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain; dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

[Budu Ops Frenz]

No comments:

Post a Comment