Thursday, June 2, 2016

Bila Lidah Suka Bercakap Hal Orang


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang-orang yang mengutuk tidak dapat memberi syafaat dan memberi keaksian pada hari kiamat." (HR Muslim)

Hendaklah kita sentiasa mengingatkan diri sendiri semasa bersembang dengan ahli keluarga atau rakan, sama ada sebagai tukang cerita atau tukang dengar supaya berhati-hati dengan cerita yang diperbualkan. Tapis dahulu kesahihannya kerana jika cerita itu tidak benar, ia menjadi fitnah. Jika benar ia menjadi umpatan.


Lazimnya ketika berbual secara tidak langsung wujud elemen positif dan negatif. Yang positif jadi teladan dan negatif jadi sempadan. Bersembang di media sosial dan bersembang secara bersemuka punya cabaran tersendiri. Sifat manusia yang lemah mudah menghadam gosip berbanding hakikat, yang mana berkesudahan dengan celaan. Bila lidah sudah berulang-ulang mencela, menghina, berkata lucah dan sebagainya, ia akan menjadi keterbiasaan. Lidah mudah sahaja mengutuk sama ada orang yang diumpat itu dikenali atau tidak. Lantas hati menjadi gelap serta sukar menerima nasihat yang baik.Umum sedia maklum, di akhirat nanti, ke mana tempat penghunian orang-orang yang bersikap demikian.

Hakikat hidup ini, kita memang mustahil dapat memuaskan hati semua orang. Setiap sesuatu ada sahaja cacat celanya. Jika kita rasa keperibadian kita cukup kuat untuk mengubah sikap individu yang sedemikian tanpa diri kita dipengaruhi oleh sikap buruknya, maka teruslah menasihati dia. Kita tidak akan pernah tahu bila Allah akan memberi hidayah kepadanya untuk berubah.

Namun, jika iman kita belum mencapai tahap kukuh, maka jauhilah dia, tetapi jangan putuskan hubungan. Sementara itu carilah rakan sembang lain yang menyebarkan wangian dan berharap harumannya turut terpalit pada kita. Semoga kita tetap menjadi hamba Allah yang mematuhi perintah Pencipta.



No comments:

Post a Comment