Wednesday, November 30, 2016
Solatlah Di Awal Waktu
Perkongsian dari Nor Sahidah Hamid. Semoga beroleh manfaat dan jadi inspirasi untuk istiqomah solat awal waktu.
""""""""""""""""""""""""""""""""""
Sedikit pengalaman saya ingin kongsikan. Cerita saya semasa menunaikan haji 2014. Lagi empat hari menantikan hari wukuf. Makkah sudah sesak kerana jemaah dari semua penerbangan sudah tiba.
Pada hari itu saya menelefon anak-anak di Malaysia pada pukul 3.00 petang kerana ia bersamaan pukul 8 malam di Malaysia. Masa yang sangat sesuai.
Oleh kerana leka berbual, kami agak lewat memulakan perjalanan ke masjid untuk solat asar hari itu. (Masuknya waktu Asar ialah pada 3.30 petang. Kami memerlukan 20 minit untuk berjalan kaki dari hotel ke masjid).
Sampai di masjid, keadaan sudah sesak. Laluan ke tempat kegemaran kami yang berhadapan Multazam di tingkat 1 telah pun ditutup. Lalu saya dan suami memutuskan untuk berpisah di situ dan bertemu semula di tempat yang dijanjikan sesudah solat. Kami pun mencari saf masing masing.
Ruang sudah dipenuhi oleh jemaah. Saya ke kelompok jemaah wanita yang telah penuh dengan jemaah pelbagai bangsa dan warna kulit. Saya meninjau dengan 'muka kesian' memohon simpati agar dapat sedikit ruang untuk solat. Akhirnya saya terpandang seorang wanita Arab yang cantik. Dia seakan faham hasrat saya untuk menumpang saf di sebelahnya, tetapi dia menggeleng kepala mengisyaratkan tiada ruang boleh dikongsikan. Saya faham, walaupun sejadahnya lebar tetapi badannya agak gempal. Dia mungkin khuatir nanti dia tidak selesa.
Seketika kemudian azan asar pun berkumandang. Hati saya semakin cemas kerana saya belum dapat ruang solat sedangkan ketika itu saya sudah terperangkap di tengah tengah kelompok jemaah yang ramai. Semua jemaah duduk di sejadah masing masing menunggu azan tamat. Saya sukar untuk keluar dan tidak juga dapat duduk.
Akhirnya ada sedikit ruangan kosong di bahagian hadapan. Betul-betul berdepan dengan saf wanita Arab yang cantik tadi. Namun agak mengecewakan kerana di situlah jemaah melonggokkan selipar mereka. Ada antara selipar itu yang berdebu dan tidak berbungkus. Ia bersebelahan dengan tiang.
Saya tiada pilihan. Sambil azan masih bergema, saya kais selipar-selipar itu untuk ruang saya solat. Ia bukanlah lantai yang rata, malahan ia merupakan dua anak tangga untuk ke ruang hadapan yang lebih tinggi paras lantainya. Kesimpulannya, saya akan solat di anak tangga yang penuh dengan selipar, di tepi sebatang tiang. Lebih malang lagi, kerana hendak cepat tadi, saya lupa membawa sejadah.
Azan selesai. Saya berdiri sambil meninjau lagi kalau ada ruang yang lebih baik. Seorang lagi jemaah lalu berhampiran dengan saya. Saya lihat wajahnya memohon saf daripada wanita Arab cantik itu. Saya menunggu reaksinya.
Wanita arab itu menggeleng sambil matanya memandang saya. Saya tahu dia menyedari apa yang ada dalam hati saya. Saya kasihan melihat jemaah yang senasib dengan saya itu. Dalam kesuntukan masa saya lihat wanita itu melangkah langkah di celah-celah jemaah dengan susah payah untuk mencuba nasib di ruang lain. Saya amat faham perasaan yang dia lalui.
Saya tiba-tba merasa sebak. Terutama bila terpandang kembali ruang di celahan selipar yang bakal saya sujud kelak. Ia hanya memuatkan muka dan tangan saya sahaja. Kaki dan lutut saya nanti pula akan berada di anak tangga.
Sambil memandang wanita Arab itu. Dalam keadaan senyum yang tawar, terkeluar kata-kata dari mulut saya. "Here in masjidilharam sometimes we have to beg for a space. Just to see God." Saya menyambung lagi dalam bahasa Inggeris, " Saya pun tadi jadi pengemis juga. Syukurlah saya dapat juga tempat. Tapi.. " airmata saya mula bergenang. "Lihatlah tempat saya.." Saya tidak mampu lagi terus berkata-kata.
Tiba-tiba seorang jemaah yang berhampiran menyampuk. "Itulah.. awak sebenarnya cuma lewat sikit saja. Sebelum tadi masih banyak tempat".
Mendengar ucapannya saya terus menangis kuat. Tiada lagi rasa malu ketika itu. Saya sebenarnya terusik dengan perkataan 'Lewat'. Dalam fikiran saya penuh penyesalan. Ada banyak lintasan datang dalam hati saya.
Oleh kerana saya dalam keadaan berdiri di anak tangga dan sebahagian besar jemaah lain duduk (kebanyakannya baru selesai solat sunat qabliyah), maka saya kelihatan jadi tumpuan. Seperti di atas pentas dengan jemaah itu selaku penontonnya.
Wanita Arab tadi datang dengan rasa bersalah lalu memeluk saya yang sedang menangis. " I am sorry.. bukan saya tak nak beri ruang, tapi saya pun tak cukup." Perbualan kami didengari oleh semua orang kerana jemaah hanya beberapa ketika saja lagi akan memulakan solat.
Sambil mengesat air mata saya mengeluarkan apa yang terbuku di dada tanpa segan silu. "Saya bukan marahkan kamu. I just missed my hometown. In my country, I got a lot of space, I can pray wherever I want, we have a lot of mosques."
Tapi di sana saya tidak hargai ruang yang Allah beri. Saya selalu lewatkan solat dengan sengaja. Tetapi Allah tidak pernah menghina saya atau membalasnya serta-merta. Di sini, disebabkan lewat sedikit saya terpaksa terima hukuman, lihat sajalah ruang solat saya. Saya rasa terhina di hadapan Tuhan".
Kami kelihatan seperti pelakon drama. Semua jemaah lain yang faham bahasa Inggeris menunjukkan muka yang sayu. Jemaah yang tidak faham kelihatan bertanya tanya rakan di sebelah. Salah seorang menyampuk "where is your hometown?".
" I am from Malaysia. Its a beautiful muslim country. When I got back to Malaysia, I don't want to pray late anymore. I dont want Allah to embarrass me in Mahsyar".
Wanita Arab tadi memegang tangan saya sambil berkata, "Terima kasih, hari ini saya belajar sesuatu dari kamu. Allah menegur hamba-Nya dengan pelbagai cara. Saya pun akan hargai ruang dan masa yang saya ada bila saya balik nanti. Semoga kamu mendapat haji yang mabrur".
Bilal pun qamat, imam pun memberi isyarat memulakan solat. Saya kembali ke ruang saya tadi dan berusaha menyesuaikan diri. Tiba-tiba dari barisan belakang, kedengaran suara jemaah lain memanggil. "Hajjah, here is space for you". Rupa rupanya mereka tadi memahami dan berganjak-ganjak sehingga terhasil satu ruang yang cukup-cukup untuk saiz badan saya. I feel blessed.
Seusai solat fardhu dan solat jenazah, jemaah pun mula bersurai. Tanpa disangka beberapa jemaah lain yang tidak dikenali datang memeluk saya dan berkata, "Thank you Hajjah, haji mabrur inshaallah".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment