Friday, November 11, 2016
AS-SYAHID SYEIKH AHMAD YASSIN
Dilahirkan pada 1938 dan dibesarkan di Kampung Al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) sehingga 1948, Syeikh Ahmad Yassin dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza ketika pendudukan pengganas Yahudi di bumi Palestin. Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang dan ahli sukan yang aktif, beliau terjatuh ketika beriadah, menyebabkan beliau mengalami lumpuh di bahagian kakinya.
Keadaan lumpuh tidak menghalang beliau meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan aktiviti Islam. Pada 1964 beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams, Kaherah. Ketika di universiti, beliau dipenjarakan sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada 1966. Beliau dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya.
Di Gaza beliau aktif sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di Masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967. Ahmad Yassin turut bertugas sebagai pekerja kebajikan dan pendakwah yang gigih mendidik remaja. Hasil dari usaha tersebut, pada 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hingga ke Gaza. Pada 1973, dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin menubuhkan sebuah pertubuhan yang menjaga kebajikan pelarian Palestin dinamakan ‘Mujamma al-Islam’.
Keadaan di Palestin memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, lalu beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan jihad dinamakan ‘al-Mujahidun al-Filastiniyun’ pada 1982 sebagai kesinambungan perjuangan ‘Kataib Syuyukh’ yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan. Kelumpuhan dirinya tidak menghalang dia mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan zionis yang menjajah bumi mereka dan Masjid al-Aqsa.
Pada 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis atas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.
Melihatkan Negara-Negara Arab tidak lagi berminat untuk memerdekan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, gerakan PLO pula semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam dikenali sebagai HAMAS pada 1987. HAMAS memulakan penentangan cara baru, iaitu menerusi demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dan kalangan orang muda yang dikenali dengan nama ‘Atfal Hijarah’ (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai ‘Intifadah’. Kesan dari ‘Intifadah’ ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.
Sebagai natijahnya, pada Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Pada 18 Mei 1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS lain telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi yang dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera dan komando Israel. Pada 16 Oktober 1991 beliau dijatuhi hukuman 15 tahun penjara di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera Zionis.
Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepala sahaja. Beliau juga kehilangan daya penglihatan mata kanan dan kekaburan penglihatan mata kirinya dan masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu beliau mengidap jangkitan pada paru-paru dan abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pada 13 Disember 1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh beserta dua tentera Zionis lain. Tiga pejuang Palestin turut mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.
Pada 1 Oktober 1997, terdapat rundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis. Kerajaan Jordan berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka cuba membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis terpaksa bersetuju dengan tawaran mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.
Sejurus pembebasannya Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin berjaya membangkitkan rakyat PAlestin untuk berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Pelbagai usaha dilakukan oleh rejim untuk mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar -bandar, membunuh orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang Palestin dan pemimpin mereka.
Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah syahid akibat serangan udara dan kereta kebal rejim Zionis. Antaranya Salah Shahadah dan Ismail Abu Shanab. Pada 6 September 2003, rumah Syeikh Ahmad Yassin dibedil oleh helikopter Apache tentera Zionis. Mujur beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang keretanya telah dibedil ketika dia dalam perjalanan.
Namun, pada 22 Mac 2004, sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin diserang ketika dalam perjalanan pulang dari mesjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket yang dilancarkan ke atas Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya mengorbankannya beserta empat yang lain termasuk anaknya. Semoga mereka semua berada di dalam jagaan Allah. Aamiin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment