Wednesday, November 9, 2016

Bagai Garfu Dalam Ais Kacang


Sebuah perkongsian dari FB Cikgu Abdul Ghani Haron, seorang sukarelawan dan agamawan di utara Malaysia:

Saya pernah menegur seorang imam qariah kerana tidak mematuhi arahan jabatan agama dan tidak melaksana janji dalam khairat kematian. Akibatnya saya disaman di mahkamah, perbelanjaan yang banyak untuk peguam, masa yang panjang, tetapi akhirnya kebenaran tetap tertegak.

Hikmahnya Allah beri saya nikmat lebih besar, jalan berbuat kebaikan lebih luas walau tidak boleh bergiat di masjid, kerana mereka tidak mahu berbuat apa-apa, berpegang kepada prinsip bacul 'Aku tak suka kaCau orang lain', tetap ditakuk lama, makan tidur hanya menunggu mati. Mereka tidak memberi manfaat dan tidak menerima manfaat, bagai melukut di tepi gantang,bagai garfu dalam ais kacang. Ada tidak menambah, tidak ada pun tidak mengurang.

Kita selalu berpesan kepada orang lain bahawa kebenaran itu pahit. Ia adalah dari pesan nabi s.a.w.: Abudzar berkata, "Tambahkanlah wasiatnya wahai rasulullah." Rasulullah s.a.w. bersabda, " Katakanlah yang benar walaupun kebenaran itu pahit ".(HR. Ahmad, At T abrani, Ibnu Hibban dan Al Hakim ),Al Hakim berkata : "Sanadnya sahih.

Memang yang baik itu pahit. Ibadat itu berat, sedekah jariah itu menyebab kebimbangan, menegah mungkar itu menakutkan, mengajak kebaikan itu terasa malu hinggalah ubat untuk menyembuh penyakit pun terasa pahit. Jalan ke syurga tidak ditaburi bunga-bungaan, karpet merah, atau dihiasi siulan burung di jalanan dalam taman firdausi. Sebaliknya jalan ke syurga penuh duri dan ranjau yang mengait dan mengoyak isi tubuh setiap yang melaluinya. Tidak ada siapapun yang tiba di pintu syurga segak tampan, putih gebu,segar bugar. Sebaliknya semua yang tiba di sana penuh luka,membawa sejarah duka lara. Mana ada para rasul yang sejarah hidupnya hanya kebahagiaan. Para sahabat yang dijanjikan syurga oleh nabi, semua membawa sejarah duka lara dalam perjuangan menegak agama.

Jadi apakah kita hendak berpendirian 'aku tak mau cari pasal, tak mau tegur kesalahan orang'. Sabda nabi s.a.w.lagi dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.”(Riwayat Muslim). Hadis ini jelas menyuruh menegah mungkar dengan kuasa yang ada atau dengan perkataan.

Sampai bila kita hendak jadi lemah iman? Hingga ke tua renta, berpuluh tahun jadi Islam, masih lemah iman. Mereka sebenarnya bacul,penakut, mementing diri. Mereka hanya fikir kesenangan diri, hanya berpegang kepada prinsip, "Siapa gatal dialah yang garu." Tangan mereka seolah terikat untuk diri mereka sahaja. Usah bersembunyi di sebalik tegur dengan hikmah,tetapi hingga ke akhir tidak menegur langsung!

Kita wajib menegur pemimpin yang menyeleweng dengan apa daya yang kita ada. Jangan kerana disuap sedikit ganjaran keduniaan, maka pemimpin dianggap ibarat manusia yang tidak pernah berdosa,tidak buat salah,bahkan yang salah pun tetap dikata betul. Ditanam pembohongannya sedalam tujuh petala bumi,sanggup mempertahankan pemimpin yang korup dan istilah agama pun disarungkan kepada rakyat dengan kata-kata 'Bersyukurlah negara kita aman, nak jadi Syria,Libya, Mesir,Iran?' Jangan kerana menyokong satu parti, maka apa yang dibuat pemimpinnya dikira betul semua,mengata dihukum Allah. Sesungguhnya mereka telah menukar perintah Allah dengan ganjaran yang sedikit dan sementara.

Sabda nabi s.a.w., "Wahai sekalian manusia, hanyasanya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah, ketika orang-orang bangsawan(pemimpin) mereka mencuri, mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang-orang yang rendah dari mereka mencuri, mereka menegakkan hukuman tanpa had. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sungguh aku sendiri yang akan memotong tangannya. Dan dalam hadis Ibnu Rumh disebutkan, "Hanyasanya yang menyebabkan kebinasaan orang-orang sebelum kalian." [HR. Muslim No.3196].

Berkata benarlah walau pahit tidak kira kepada siapapun,di peringkat mana kita berada, siapapun kita, nescaya Allah ganjarkan kepahitan dengan kenikmatan,ibarat ubat pahit yang ditelan akhirnya menyembuhkan sakit. Jika tidak diganjar nikmat di dunia ini, di akhirat nanti akan diganti. Kepahitan di dunia hanya sementara. Jika bimbang menegak kebenaran di dunia, nescaya kita akan mengharungi kepahitan yang berkekalan di akhirat. Wallahua'lam



No comments:

Post a Comment