Wednesday, November 9, 2016

Hubungan Ulama-Umara Dalam Urusan Ummah



Perhatikan analogi ini:

Dalam setiap tubuh, yang menjadi ketua pentadbir bagi segala tindak-tanduk anggota tubuh yang lain ialah otak. Dalam tugas mentadbir ini, otak mendapat bantuan dari jantung yang mengalirkan darah yang baik bagi memastikan otak dan anggota tubuh yang lain dapat berfungsi dengan sempurna.

Pentadbiran yang BERPANDUKAN SISTEM DITETAPKAN OLEH PENGUASA YANG MAHA AGUNG AKAN MEMASTIKAN KESEMPURNAAN KESIHATAN seluruh tubuh. Jika baik di sebelah atas, maka baiklah juga yang lainnya.

PENGUASA (iaitu otak/umara) mentadbir negara berpandukan SYARIAT dan nasihat para ILMUAN (iaitu jantung/ulama). Kerana itu, Imam al Ghazali menasihatkan para penguasa supaya mengutamakan akidah tauhid, akhlak, keadilan dan integriti dalam mentadbir negara.

Mereka patut ingat hakikat bahawa kuasa yang mereka pegang adalah amanah yang diberi oleh Penguasa Maha Agung. Setiap nasihat berpandukan syariat yang diutarakan oleh para ulama harus diterima demi keutuhan pentadbiran.

Bila Penguasa lupa diri maka berlakulah penindasan, kezaliman dan kemungkaran ke atas warga negara yang ditadbir. Lebih buruk lagi bila para ulama (iaitu ulama su' atau ulama jahat) mengikut rentaknya dan mengenepikan perintah Penguasa Maha Agung. Bila penguasa dan ulama rosak, maka rosaklah rakyat.

Imam al Ghazali mengungkapkan: "Sesungguhnya kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan CINTA HARTA DAN KEDUDUKAN, dan barang siapa dikuasai oleh cinta duniawi, dia TIDAK MAMPU MENGURUS RAKYAT, apa lagi penguasanya ALLAH sebagai tempat meminta segala persoalan." (Imam al Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin, Juz II halaman 381).

Penguasa dan ulama sejati menjadikan amanah yang mereka pegang sebagai ladang menghasilkan kebaikan buat akhirah. Rakyat yang diurus dalam kerangka syariah pasti akan menjadi kuat dan mampu mendepani fasa Mulkan Jabariyyah ketika ini yang dipenuhi penentangan, kezaliman dan keganasan yang tidak pernah terlintas di fikiran.

Dengan usaha dan kerjasama umara, ulama dan rakyat jelata, semua itu akan dicapai. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment