Friday, November 4, 2016

Saat Diturunkan Ke Liang Lahad



Sedikit perkongsian daripada Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Saat diturunkan ke liang lahad akan berlaku himpitan kubur. Semua orang akan merasai himpitan kubur kecuali nabi. Rasulullah s.a.w.bersabda, "Jika ada yang terselamat daripada himpitan kubur, dia ialah Saad bin Muaz." Namun diriwayatkan Saad bin Muaz turut tidak terlepas daripada mendapat siksaan kubur. Allahuakbar..

APA ITU HIMPITAN KUBUR?

KEADAAN PERTAMA yang dirasai semua orang apabila memasuki liang lahad. Bagaimana keadaan himpitan kubur itu? Ia seperti himpitan seorang ibu kepada anaknya. Himpitan ini berbeza berdasarkan amalan. Siapa yang taat pada Allah, himpitan kubur berlaku dalam kelembutan. Jika mati dalam maksiat kepada Allah, himpitan kubur keras kerana bencinya Allah kepadanya. Bagi orang kafir, himpitan kubur itu berterusan sampai bila-bila. Bagi orang mukmin himpitan itu pada mula-mula dia dimasukkan ke dalam kubur.

Antara sebab mendapat himpitan kubur:

Cuai ketika membuang air kecil. Di dalam ilmu fiqh ini dinamakan sebagai istibra'. Istibra' ini ialah kaedah menghabiskan sisa-sisa najis yang ada seperti air kencing agar hilang rasa was-was ia masih ada.

Akibat kita pernah melakukan kesalahan tetapi kita biarkan kesalahan itu terus berlaku.

Kurangnya rasa syukur dalam hidup. Tidak ramai orang yang bangun dari tidur mengucapkan Alhamdulillah. ...Allahuakbar..

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya".
(Riwayat Muslim)

Himpitan kubur berbeza daripada seksaan kubur. Himpitan kubur berlaku sebelum kubur ditutup manakala seksaan kubur selepas kubur ditutup.

KEADAAN KEDUA yang dirasakan oleh mayat ketika diturunkan ke liang lahad ialah gerakan 2 kaki. Itu ialah amalan yang pernah kita lakukan di dunia. Amalan itu dapat berbicara, "Duhai manusia, ketika ini sudah terpisah kamu dengan keluarga dan teman kamu. Hanya aku amal kamu yang ada menemani kamu."

KEADAAN KETIGA. Amal itu akan memukul paha kiri kita. Kata mayat, "Kalau aku tahu hanya kamu yang akan mengikuti aku, akan aku utamakan kamu melebihi segalanya."

KEADAAN KEEMPAT. Perasaan takut yang amat sangat iaitu apabila berdiri 2 malaikat Munkar dan Nakir. Apabila hidup kita di dunia tidak punya rasa takut kepada Allah, perasaan takut apabila berhadapan dengan 2 malaikat Allah ini sangat luar biasa, teramat takut. Allahuakbar..

Apakah roh kita akan bertemu dengan roh orang yang telah meninggal dunia sebelum kita?

Sekiranya kita mampu menjawab soalan Munkar dan Nakir, pada malam pertama di alam barzakh roh kita akan berjumpa dengan roh orang yang telah meninggal dunia sebelum kita.

Antara amalan yang dapat mengelakkan kita mendapat himpitan kubur ialah membaca Surah Al-Ikhlas. Rasulullah bersabda, "Sesiapa yang membaca Surah Al-Ikhlas dan mati, dia akan diamankan dari himpitan kubur."

Pesan Ustaz, sentiasa baca Al-Qur’an. Al-Qur’an ialah makanan roh kita. Kalau tidak boleh baca Al-Qur’an, riba Al-Qur’an. Gerakkan jari-jari di atas ayat-ayat suci Al-Qur’an. Kenapa susah benar manusia hendak minta keampunan dengan Allah sedangkan Allah menegaskan,"Berlarilah kamu dalam meminta ampun dengan Allah." Setiap malam sebelum tidur bacalah Surah Al-Mulk yang boleh menyebabkan seseorang itu terlepas seksa kubur. Kata Ustaz, kalau lagu boleh hafal takkanlah Surah Al-Mulk tak boleh hafal.

Dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda:“Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”
(An-Nasa’i).

Akhir kalam Ustaz berpesan, beramallah semasa kita masih hidup ini sebelum malaikatul maut menjemput kita. Renungkan sebuah kubur,dahulunya penghuni kubur juga pernah hidup seperti kita. Allahu akbar.

No comments:

Post a Comment