Tuesday, November 29, 2016

Berada Di Atas Rasa


Bismillahirrahmanirrahim

Cuba lakukan ini dalam 5 minit. Sudah sangat memadai.

1. Duduk santai dan jika dapat bersandar.
2. Berada di atas rasa iaitu sedar apa perasaan diri. Bahagia? Gembira? Sakit hati? Sedih? Geram?. Perhatikan rasa itu dengan sedar.
3. Sedar apa sedang berada dalam fikiran sekarang? Perhatikan dalam sedar. Apa yang sedang kita lakukan ialah menyedari apakah ilham yang sedang dituntun Allah kepada kita. Walaupun kita tidak mampu menangkap sepenuhnya namun apa yang sedang kita alami itu adalah hasil daripada ilham-ilham yang masuk.

Dari sini kita sedar bahawa kita sedang diilhamkan dengan ilham FUJUR (buruk) atau ilham TAQWA (baik) oleh Allah. Ilham fujur dan taqwa bergantung sejauh mana hubungan kita dengan Allah. Kalau sekadar solat, melakukan kebaikan tetapi tidak mampu menyedari Allah setiap saat yakni berzikir, tidak mustahil ilham fujur itu boleh masuk ke hati kita menyebabkan terjananya rasa tidak tenteram juga fikiran negatif.

Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TASBIH dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Subhanallah hingga ke bibir kita.
Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TAHMID dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Alhamdulillah hingga ke bibir kita.
Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TAKBIR dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Allahuakbar hingga ke bibir kita.
Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TAHLIL dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Laillahaillallah hingga ke bibir kita.

Zikir itu bukan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil TETAPI HATI TIDAK BENAR- BENAR MENYEDARI ALLAH. Sekiranya tidak sedar Allah jadilah ia sekadar ungkapan-ungkapan biasa bahkan bimbang menjadi sebuah PUJIAN YANG MENIPU yang bukan datang daripada hati kita. Sekadar di bibir yang diungkapkan hasil daripada minda bawah sedar kita kerana biasa mengungkapkan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil. Sekadar sebuah rutin biasa dan ini sangat membimbangkan.

Solat itu harus dalam keadaan zikir (Sedar Allah / Ihsan). Segala amalan harusnya berada dalam keadaan zikrullah (Sedar Allah / Ihsan). Beriman itu harus dalam keadaan Ihsan. Berislam itu harusnya dalam keadaan Ihsan.

Mari….. sekadar beberapa minit, perhatikan hati kita sedang diilhamkan dengan ilham apa? FUJUR atau TAQWA?

Sekiranya masih ada FUJUR, kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Sedari Allah lalu pasti akan rojiun. Istighfar lah…… istighfar…..

[Fuad Latip]

No comments:

Post a Comment