Sunday, June 28, 2015
Rohani Sihat Dalam Ramadhan
Setiap manusia diciptakan dari dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Jasmani dicipta dari tanah, rohani merupakan hembusan dari roh ilahiyyah. Dua unsur ini sangat berbeza.Jika di dalam al-Qur'an penciptaan manusia dari tanah Allah menggunakan kata "Khalaqa", Dia tiupkan roh manusia dengan istilah "Nafakha".Kedua-duanya jauh berbeza, iaitu bentuk fizik dan non-fizik. Kemudian kedua-dua disatupadukan dan diikat dengan kata "Ja'ala" sebagaimana Firman Allah:"Inni ja'ilun fil ardh khalifah". Apabila ini terbentuk maka jadilah makhluk yang bergerak.
Kedua-duanya memerlukan makanan---jasmani perlukan zat protein, mineral dan vitamin, manakala unsur rohiyyah perlukan makanan jiwa saperti zikrullah. Puasa merupakan ibadah terpenting bagi jiwa dan roh manusia. Orang yang meninggalkan puasa tanpa sebab dan uzur sungguh menzalimi dan menyeksa jasad dan roh diri sendiri. Ramai memahami bahawa puasa hanya sebatas menahan makan dari terbit fajar hingga tenggelam matahari. Setelah itu dibolehkan makan.
Ada yang makan dengan memuaskan hawa nafsu sebagai membalas dendam menahan lapar dan haus di siang hari. Berbagai hidangan lazat disediakan dan dibeli untuk dinikmati ketika berbuka. Jika demikian, maka upaya itu sia-sia belaka. Nabi s.a.w. bersabda:"Betapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya, kecuali haus dan lapar." Mereka gagal mencapai tujuan utama berpuasa, iaitu menyehatkan jiwa dan rohaninya. Mungkin dengan berpuasa badannya menjadi sihat, tetapi jiwanya masih sakit kerana gagal memberikan terapi zikrullah selama bulan Ramadhan ini. Sihat atau tidaknya rohani setiap orang di bulan Ramadhan ini akan terlihat sesudah musim Ramadhan.Apabila tidak ada perubahan dalam peningkatan amal kebaikan dan ibadah, maka dia gagal menyihatkan jiwa dan rohnya. ~ Semoga kita tidak termasuk yang demikian ~.
Di dalam Syurga terdapat ruang yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar.Sahabat bertanya:"Untuk siapakah ruang-ruang itu, Ya Rasulullah?" Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab:"Untuk siapa saja yang berkata yang baik-baik, yang memberi makan, yang selalu berpuasa dan yang melakukan solat malam sedang orang-orang lain lena dalam mimpi."
Cinta kepada Allah S.W.T. tidak tersurat di atas lembaran kertas, kerana kertas akan hancur dimakan anai-anai. Cinta kepada Allah S.W.T. tidak terukir di atas batu, kerana satu waktu nanti batu juga akan pecah berderai. Cinta kepada Allah S.W.T. jujur terpahat di hati dan tetap bersemadi selamanya [Ustazah Siti Nurbaya Usman]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment