Thursday, June 11, 2015
Renung Asbab Buat Muhasabah
Ada kala hati diganggu kesedihan, kekecewaan, keluhan berpanjangan hingga menyebabkan putus asa. Jika dibiarkan berterusan dikhuatiri akan hilang keyakinan kepada Allah, nauzubillah min zalik. Jalan terbaik ialah menganalisis sebab-sebab ia berlaku. Ini melibatkan PROSES FIKIR. Pertama sekali, tanggalkan “kasut” sendiri dan cuba pakai “kasut” orang lain. Ertinya jangan melihat masalah hati sendiri, nilaikan situasi itu dari kaca mata orang luar. Dengan merenung diri kita tidak akan menyalahkan orang lain.
Kedua, lakukan refleksi diri secara bersendirian atau berdua. Kupasi “kulit” diri satu persatu, bagai mengupas kulit bawang. Walaupun semakin mengupas, semakin meleleh air mata, namun terus istiqamah mengupasinya demi mendapatkan manfaat yang besar. Firman Allah: "Katakanlah (wahai Muhammad), “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku).” Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh). Dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Surah Saba ayat 46.)
Ketiga, bersihkan jiwa (tazkiyah al Nafs) dengan menghitung-hitung ibadah seharian, bermula dari sekecil pengambilan wuduk hingga ke ibadah umum yang besar seperti pergaulan dan muamalat. Tujuannya ialah untuk memperbaiki ibadah dan amalan serta meletakkan diri di jalan tauhid dan syariah yang benar.
Dalam PROSES TINDAK, gunakan mata untuk memahami orang mengenai segala yang tersirat menerusi gerak-gerinya. Telinga pula diguna untuk mendengar intonasi suara orang lain bagi memahami apa yang disembunyikan di dalam hati. Kadang-kadang, yang diucapkan berbeza dengan kehendak hati dan ini terdedah melalui nada suara. Setelah memahami pihak yang lain itu, rancanglah tindakan yang teliti dan wajar. Jangan takut bertindak dengan cara yang seolah-olah menungkah arus dari pemikiran umum, namun sebenarnya boleh membawa hasil yang jauh lebih bermanfaat. In sya Allah, akan datang pula rasa menyayangi sesama Muslim semata-mata kerana Allah. Pengalaman orang lain yang ditimba itu pula boleh dikumpul untuk dijadikan pengajaran buat diri sendiri pada masa akan datang. Sesungguhnya pengalaman adalah guru yang terbaik. [Dakwah # 27]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment