Sunday, June 7, 2015
Buat Pahala Hindari Dosa
Bila fokus HIDUP BERPAKSI KEPADA ALLAH DAN AKHIRAT, segala tindak-tanduk pasti dikawal oleh syariat. Diri tidak dibiarkan menjadi hamba dunia, dan tentu sekali bukan hamba gajet seperti kebanyakan orang masa kini. Sebaliknya dunia, orang di sekeliling dan gajet dijadikan ladang bercucuk tanam kebaikan untuk dituai di akhirat. Menyedari umat Islam akhir zaman ini diremehkan oleh pihak bukan Islam, LISAN DIJAGA, AKHLAK DAN KEKUATAN ROHANI BERSUMBERKAN Al-QURAN DAN AS-SUNNAH DIJADIKAN PEGANGAN, malah akhlak itu dijadikan sebagai cara mendakwahi orang-orang belum Islam.
Pada hujung minggu dan cuti sekolah, suami dan anak-anak membuat pahala dengan menolong isteri/ibu MEMBUAT KERJA-KERJA DI RUMAH, MENZIARAHI ORANG TUA DAN ORANG SAKIT (asalkan bukan penyakit berjangkit) dan mewujudkan kecintaan ke atas rumah Allah dengan MENZIARAHI MASJID KE MASJID. Bila ada kemampuan, WANG DIBELANJAKAN UNTUK MEMBAWA KEGEMBIRAAN DAN MENGERATKAN SILATURAHIM di kalangan ibu bapa, keluarga, saudara mara, jiran dan rakan sekerja. HAK JIRAN DIJAGA dengan tidak membiarkan haiwan kesayangan mengotori rumah mereka.
Majlis walimatulurus diadakan untuk MENGHEBAHKAN BERITA PERKAHWINAN, MERAIKAN DAN MENDOAKAN KESEJAHTERAAN MEMPELAI dan MENJAMU TETAMU. Bila tiba waktu solat, pengantin memohon diri kepada hadirin untuk BERSOLAT. Majlis tidak dicemari DOSA SENTUHAN SALAM DI ANTARA BUKAN MAHRAM, termasuk dari kalangan keluarga sendiri, tiada UMPAT MENGUMPAT, tidak MEREMEHKAN PERSEDIAAN TUAN RUMAH yang majlisnya hanya sederhana, tiada GURAU SENDA MENYINGGUNG PERASAAN di kalangan tetamu, sudah tentu tiada ACARA LAGHA seperti joget lambak dan sesi karaoke, tiada PENGHINAAN KE ATAS MAKANAN yang boleh menyebabkan tuan rumah terasa hati.
Sampah dalam kenderaan tidak dilemparkan keluar tingkap. Sebaliknya, DISIMPAN DAN DIBUANGKAN DI TEMPAT YANG BETUL. Jika ketemu SAMPAH DI LALUAN, IA DIKUTIP DAN DIMASUKKAN KE TONG SAMPAH. Jika terdapat sesuatu yang boleh membahayakan pejalan kaki seperti duri atau ranting tajam, BENDA MEMBAHAYAKAN DIALIHKAN bagi mengelakkan kecederaan. Kenderaan yang diparkir TIDAK MENYEKAT LALUAN KENDERAAN LAIN, atau MENGAMBIL PARKIR ORANG KELAINAN UPAYA. Begitu juga halnya dengan TEMPAT KHUSUS DALAM KENDERAAN AWAM. Perasaan prihatinnya cukup besar ke atas penumpang yang tua tidak berdaya, wanita hamil serta orang kelainan upaya.
MEDIA SOSIAL DIGUNA KE ARAH KEBAIKAN. DIELAKKAN DOSA dengan tidak mengetik “Like” “Comment” atau “Share” kata-kata buruk, fitnah ke atas orang yang masih hidup atau sudah mati serta perkara-perkara yang belum pasti kesahihannya. Dieelakkannya mengutuk kerana tidak mahu pahalanya berpindah kepada orang yang dikutuk, dan dosa orang itu dia pula yang tanggung. Juga TIDAK MENGAJUK DAN MENIRU GAYA SERTA SUARA ORANG LAIN untuk dijadikan bahan ketawa. Aisyah yang berbuat demikian pun pernah ditegur oleh Nabi s.a.w. kerana Baginda tidak suka.
Sebagaimana dosa-dosa kecil yang bertimbun menjadi semakin besar dan menjerumuskan pelakunya ke jurang neraka, setiap kebaikan walau sekecil apa pun tidak pernah diremehkan, ia mampu menyelamatkan hamba dari mendapat murka Allah. Berbuat baiklah kepada golongan yang memerlukan seperti orang miskin melarat dan orang kelainan upaya. Bukan mereka yang membalas kebaikan itu tetapi Allah yang mengurniakan BALASAN DI AKHIRAT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment