Friday, June 19, 2015
Kapal Bertukar Warna Dan Nama Diselamatkan
ALHAMDULILLAH... Dengan kerja keras semua pasukan pencari dan penyelamat, kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya diselamatkan kira-kira 2.30 pagi tadi ketika dalam perjalanan menuju kepulauan Natuna, Indonesia. Turut terselamat ialah kesemua anak kapal berkenaan. Pun begitu, tukang masak berketurunan Indonesia cedera ringan akibat ditembak di tangan dan dia akan dihantar ke hospital. Tahniah buat semua yang terlibat. Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, pembebasan anak kapal itu adalah menerusi rundingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan yang bertutur dalam loghat Indonesia.
Kapal MT Orkim Harmony ditukar dengan warna hitam daripada warna biru yang asal bagi mengabui mata pencari. Namanya juga ditukar menjadi Kim Harmon. Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol Ron 95 bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lalu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.Dikhabarkan lanun berkenaan tersilap rampas kerana menyangka kapal itu membawa disel yang mudah dijual di pasar gelap. Tatkala memikir-mikir kepada siapa minyak petrol itu hendak dijualkan, akhirnya kedudukan mereka dapat dikesan oleh pasukan pencari.
Kapten kapal tangki MT Orkim Harmony, Nor Fazly Sahat mendedahkan ketua lanun telah mengugut dia bahawa dia dan keluarganya akan diancam sekiranya mendedahkan rancangan lanun untuk melarikan diri. Kapal pengiring KD Terengganu turut diugut oleh ketua lanun supaya menjarakkan kedudukan kapal itu tidak kurang dari lima batu nautika dan sekiranya tidak, anak kapal akan dicederakan.Butiran peribadi kapten kapal turut mereka ambil sebelum melarikan diri menggunakan bot penyelamat MT Orkim Harmony kira-kira jam 8.30 malam Khamis.
Demi keselamatan keluarganya, kapten kapal hanya memaklumkan kepada KD Terengganu pada jam 12.55 tengah malam iaitu hampir lima jam setelah kesemua lanun melarikan diri. Kelapan-lapan mereka kemudiannya ditemui dan ditahan oleh pasukan tentera laut Vietnam. Mereka mendakwa kononnya bot nelayan mereka karam.Kini MT Orkim Harmony dalam pelayaran pulang diiringi oleh KD Handalan menuju ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka tiba di pelabuhan pada jam 2 pagi Sabtu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment