Monday, June 1, 2015

Bersedekahlah

Dari Adiyie bin Hatim r.a berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan separuh biji kurma." (HR : Al-Bukhari). Amalan bersedekah dengan hati ikhlas kerana Allah, walaupun hanya sedikit dengan separuh buah kurma boleh menyelamatkan daripada api neraka. Barang yang disedekahkan itu hendaklah baik dan elok, bukan barang yang kita sendiri tidak suka dan tidak rela menerimanya. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji." (Surah Al-Baqarah ayat 267)
Antara adab-adab lain dalam bersedekah ialah --- Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (menerima) --- Wajib mengikhlaskan sedekah hanya kerana Allah dan demi untuk mendapatkan keredaan-Nya bukan untuk menunjuk-nunjuk (siap tampal gambar poster si pemberi lagi, besar pulak tu!)--- Mendahulukan sedekah yang wajib (zakat) sebagaimana yang disebut dalam hadis qudsi yang bermaksud: "Dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa-apa yang telah Aku wajibkan atasnya." (HR : Bukhari) ---Tidak boleh menunda untuk membayar sedekah (zakat) yang wajib tanpa ada keuzuran ---Sedekah yang dikeluarkan hendaklah dipastikan diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti orang miskin, anak-anak yatim, mangsa banjir dan seumpamanya ---Bersedekah dengan harta yang halal antara sebab sedekah tersebut diterima Allah dan membuahkan pahala ---7) Tidak mengungkit-ungkit sedekahnya sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)." (Surah Al-Baqarah ayat 264) Contoh ayat sentap, "Dah beri mesti undi kami kalau tak, jadi haram!"
Wajib ke atas pemberi sedekah merenung nikmat Allah SWT ke atas dirinya kerana Allah memberikan rezeki yang lebih banyak --- Mendahulukan sedekah kepada waris terdekat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Sedekah kepada orang miskin (mendapat satu pahala), sedangkan sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan silaturrahim". (HR : Bukhari dan Muslim). Jangan buruk siku. Tidak harus seseorang mengambil kembali sedekah daripada orang yang menerimanya. Sabda Rasulullah SAW, "Perumpamaan orang yang bersedekah kemudian dia mengambil kembali sedekahnya, seperti anjing yang memuntahkan sesuatu kemudian ia menjilat muntahnya untuk memakannya kembali." (HR : Muslim).
Tanpa adab di dalam melaksanakan amal sedekah, dikhuatiri akan terjerumus dengan dosa riyak iaitu mencari kedudukan di hati orang lain agar dihormati, disegani dan dipuji. Mereka lupa bahawa apa yang mereka ada itu adalah kerana izin Allah SWT jua. Jika Allah tidak memberikannya, maka tiada satu pun pada mereka. Sedekah biar hanya dilihat Allah, itu pasti lebih baik. Tidak perlu bergambar dan muat naik pula ke instagram, whatsapp, telegram, facebook dan sebagainya. Kecuali dengan niat hendak tunjukkan kepada para penyumbang dana bahawa wang atau barang sumbangan telah disampaikan. "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah Al Baqarah ayat 271)--- الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرّاً وَعَلاَنِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ ---"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita." (Surah Al Baqarah ayat 274)
Firman Allah Taala, “Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (QS As-Syura : 20). Sedekah bukan untuk bermegah!!! [ Syed Abdul Rahim ]

No comments:

Post a Comment