Sunday, October 1, 2017

Tips Berurusan dengan Orang Arab




Tips Berurusan dengan Orang Arab #1

Bagi sesiapa yang berada di tanah Arab iaitu di Mesir, Arab Saudi, Jordan ataupun di negara Arab yang lainnya. Sebagai pelajarkah dia mahupun pekerja. Sudah pasti tidak dapat lari daripada berurusan dengan orang Arab.

Berurusan dengan orang Arab bukanlah seperti berurusan dengan orang kita. Bahkan banyak perkara yang perlu diambil perhatian supaya apa yang kita inginkan terpenuhi. Jika tersalah langkah boleh menyebabkan kita sendiri yang rugi ataupun paling teruk kita akan dihalau oleh mereka yang berkenaan.

Berikut adalah tips pertama yang ingin saya kongsikan kepada para pembaca.

SENYUM, BERI SALAM DAN BERTANYA KABAR

Permulaan yang baik adalah separuh daripada kejayaan. Begitulah juga dalam berurusan dengan orang Arab. 

Sebelum memulakan pertanyaan atau permohonan, senyumlah dengan panjang lebar dan berilah salam. Walaupun fikiran mereka sedang serabut setelah melayan bermacam-macam jenis orang, senyumanmu yang ikhlas pasti akan disambut juga dengan senyuman mereka yang ikhlas. 

Adapun salam, sudah menjadi kebiasaan mereka untuk saling memberi salam walaupun kepada orang yang mereka tidak kenal. Mereka tidak akan jemu untuk memberi dan juga menjawap salam walaupun berkali-kali diberi salam. Kerana memberi salam hakikatnya adalah doa kita kepada orang yang diberi salam. 

Setelah itu bertanyalah kabar walaupun seringkas mungkin dan tidak terlalu panjang. Jangan lupa juga untuk senyum lebar seakan-akan kita sudah lama kenal dengan yang berkenaan. Contohnya

كَيفَ الأَخْبَارُ يَا شَيخُ؟
(Kaifal Ahbar ya syeikh?) 
"apa kabar wahai syeikh" 

كَيفَ الصِّحَةُ يَا شَيخُ؟ طَيِّبَة؟ 
(Kaifassihhah ya syeikh? Toyyibah?) 
"Bagaimana kesihatan kamu wahai syeikh? Baik-baik saja?

Kemudian disusuli dengan kata:
عَسَاكَ طَيِّب (a'saaka toyyib)
"Semoga kamu dlm keadaan baik"

عَسَاكَ مُرْتَاح (a'saaka murtahh) 
"Semoga kamu dlm keadaan selesa" 

Setelah itu barulah mula dengan apa yang ingin kita sampaikan, sama ada ingin bertanya atau membuat permohonan. 

Tips pertama ini walaupun ianya perkara kecil, jika langkah pertama ini diambil perhatian dapat memberikan hasil yang baik dan memuaskan seperti yang kita inginkan. Ramai orang kita yang tidak tahu dan abaikan. Mereka ingat berurusan dengan orang Arab sama sahaja dengan orang kita. Angin orang Arab berbeza dengan angin orang kita. Jawapan mereka boleh jadi berbeza ataupun selalu berbeza mengikut angin mereka sama ada baik ataupun tidak. 




Tips Berurusan dengan Orang Arab #2

Hidup di tanah Arab merupakan nikmat yang perlu disyukuri. Banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh kita perolehi ketika berada di negara padang pasir ini. 

Sudah pasti di samping kelebihan yang ada, pasti ada kekurangan ataupun cabaran yang perlu kita hadapi dan tangani. Perkara inilah yang dapat menjadi asam garam kehidupan dan akan menjadi kisah manis untuk kita di masa akan datang nanti. 

Dalam berurusan dengan orang Arab, kesabaran adalah perkara yang asas dan sangat diperlukan. Ini menepati syariat islam yang menuntut kita untuk bersabar sepertimana yang jelas tertera dalam al-Quran. Antaranya firman Allah s.w.t.:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ 
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang" -Sura Al-Baqarah, Ayah 45

Bersabar tidaklah bermaksud rela untuk dipermainkan atau diperbodohkan. Banyak perkara yang perlu kita faham agar kita dapat sabar dan terus bersabar. Kita sekarang berurusan di negara yang mana perangai orangnya sedikit keras, berbeza dengan orang kita yang sifatnya lemah lembut. Walaupun terlihat keras tetapi tidak semestinya hati mereka juga keras. Sebab itu tidak jarang kita melihat dua orang Arab bertengkar mulut dan mengangkat suara, tetapi selepas itu boleh berpelukan dan saling bersalaman. 

Betul mungkin ada yang tidak setuju dengan  seruan saya agar bersabar dan mereka mungkin mengatakan "mentang-mentang sifat orang kita lemah lembut jadi dia (orang Arab) boleh pijak kita. Jangan harap lah!". 

Sabar memang ada batasnya dan seseketika kita perlu marah sedikit supaya mereka buka mata. Tetapi yang menjadi MASALAH adalah orang kita banyak yang tidak pandai untuk memilih kata yang sesuai sehinggakan terlihat yang kita ini biadap. Akhirnya imej Malaysia yang baik dipandang serong akibat sikap kita yang tidak bijak ini. 

Marah pun ada caranya dan bukan sebarang marah. Belajarlah daripada bagaimana orang Arab marah. Di samping mereka marah, tidak lekang dari mulut mereka doa yang baik-baik untuk pihak kedua. Contohnya :
هَدَاكَ اللهُ 
"Semoga Allah memberimu hidayah" 
اللهُ يَرزُقُكَ الجَنّةَ
"Semoga Allah mengurniakan kepada kamu Syurga" 
Dan sebagainya boleh kita belajar dari pertuturan orang Arab. 

Antara perkataan yang tidak sesuai untuk digunakan ketika marah:
"وَيْن/أينَ مُخُّك؟
"Otak kau letak kat mana?" 
dan uslub lain yang keras dan dapat menyinggung hati kepada mereka yang mendengar. 

Bersabarlah selagi boleh bersabar atau marahlah sedikit dengan mengangkat sedikit suara tetapi diiringi setelah itu senyuman dan doa kepada mereka. Semoga Allah membuka hati mereka sehingga segala urusan kita di tanah Arab ini menjadi mudah dan lancar. 

[Sumber: FB Muhammad Hariz Nasir]

No comments:

Post a Comment