Friday, October 6, 2017

Pelbagai Cara Penganut Menghapuskan Dosa







Cara manusia beragama di dunia ini terdapat pelbagai ragam.  

Pertama, ada kelompok yang melakukan ibadat hanya mengikut berdasarkan kitab suci dan sumber wahyu semata-mata. 

Kedua, ada kelompok yang beribadat dengan mengikut tradisi dari nenek moyang mereka tanpa mengetahui di mana sumber cara mereka beribadat. 

Ketiga, ada kelompok yang melakukan ibadat dengan menggunakan logik sendiri dengan mengharapkan itu adalah cara terbaik mereka menterjemahkan rasa bersyukur kepada Tuhan. 

Keempat, ada kelompok yang beribadat dengan menggabungkan ketiga-tiga jenis kelompok di atas. 

1) Asyura 

Asyura bermaksud hari kesepuluh. Di dalam komuniti Syiah, mereka akan meraikan hari kesedihan kematian Sayyidina Hussein di Karbala pada hari kesepuluh pada bulan Muharam. Pada hari tersebut mereka melakukan ‘ma’tam’ dengan memukul badan sehingga berdarah dengan menggunakan tangan, pisau, pedang, zanjeer-zani (bilah pisau dengan rantai) dan pelbagai alat lain lagi. Tindakan itu dilakukan di atas rasa kekesalan mereka di atas pembunuhan sayyidina Hussein. 

2) Nine Gods Emperor Festival

Perayaan Sembilan Maharaja Dewa diraikan oleh masyarakat Cina beragama Tao. Perayaan Sembilan Maharaja Dewa juga dikenali sebagai Kow Wong Yeh disambut pada hari kesembilan pada bulan sembilan dalam kalender lunar Cina. Penganut kepercayaan Taoist akan berkumpul di kuil untuk menyambut perayaan ini. Ia juga dikenali sebagai Vegetarian Festival.

Sebahagian dari penganut Taoisme seperti di Thailand mereka bertindik atau menggunakan pelbagai objek keras serta tajam pada muka mereka seperti pisau, lembing, jarum dan sebagainya. Adalah dikatakan setiap titisan darah mampu menghapuskan dosa individu tersebut dan bekas luka dipercayai tanda kesucian jiwa, pengabdian serta kasih sayang kepada Tuhan. 

Mereka juga mempercayai bahawa sembilan dewa ini akan menyampaikan mesej melalui seorang perantaraan yang mana individu tersebut akan berada dalam keadaan separuh sedar seperti dirasuk. Mereka akan meraikan selama sembilan hari dan di dalam tempoh masa itu mereka akan melakukan penyembahan dan upacara seperti berjalan di atas api dan memasukkan tangan ke dalam minyak yang mendidih. 

3) Thaipusam

Thaipusam adalah perayaan yang diraikan oleh masyarakat India beragama Hindu yang menyembah dewa Murugan atau dikenali juga sebagai Subramaniam. Majoriti penyembah Murugan adalah berasal dari masyarakat Tamil atau kawasan selatan India. Murugan merupakan salah satu dari anak dewa utama iaitu Siva. Patung besar di Batu Caves itu merupakan patung Murugan yang terbesar di Asia Tenggara.

Bagi penyembah Murugan mereka akan meraikan suatu perayaan iaitu Thaipusam. Pada perayaan ini sinonim hari menunaikan ‘nazar’ dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Pada hari tersebut, sebahagian mereka akan mencucuk badan mereka sama ada dengan batang besi dicucuk di belakang badan, tangan atau lidah, dan mereka perlu berpuasa selama 48 hari sebelum upacara itu dilaksanakan. 

Dalam tempoh berpuasa juga mereka perlu menjalani kehidupan yang sangat sederhana. Misalnya, mereka tidak dibenarkan tidur di atas katil atau tilam. Apabila saat berbuka puasa pula mereka makan makanan vegetarian.

4) Crucifixion

Ritual Penyaliban ini adalah pesta memperingati saat ‘Jesus’ disalib sebelum ‘kematiannya’ . Ia bukanlah anjuran dasar Kristian tetapi pesta ini dilakukan oleh masyarakat Kristian yang fanatik di Filipina (Crucifixion in the Philippines). Mereka ingin merasai nilai ‘pengorbanan’ itu dengan mengharapkan pengampunan dosa. 

Mereka lakukannya pada hari Good Friday di mana terdapat penganut Kristian yang sukarela  disalibkan sebagai meniru penderitaan dan ‘kematian’ Jesus. Mereka memikul kayu salib sambil merangkak dan mereka juga disebat sehingga luka. Bagi orang yang disalib, tangan dan kaki mereka akan dipaku sehingga tembus di batang salib.    



Agama Islam sangat menekankan kewajipan manusia menjaga nyawa. Malah tujuan syariat (maqasid syariyyah) yang Allah turunkan kepada manusia adalah menjurus kepada mengawal keselamatan dan kesejahteraan manusia. 

Di dalam Islam hukum menyakiti diri sendiri adalah haram sekalipun untuk tujuan ibadat ataupun bernazar. Ada sebuah hadis yang menyentuh hal ini:

“Ketika nabi s.a.w. menyampaikan khutbah nabi melihat seorang lelaki berdiri di bawah terik matahari. Baginda bertanya “Mengapa lelaki itu berdiri?”. Para sahabat menjawab, “Dia Abu Israil, yang bernazar untuk berdiri, tidak akan duduk, tidak akan mencari tempat berteduh, tidak akan berbicara, dan akan berpuasa”. Baginda bersabda: “Suruhlah dia berbicara, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya.” (Sunan Abu Daud no 3300)

Malah terdapat tiga orang sahabat yang salah setiap dari mereka ingin solat sepanjang waktu dan tidak mahu tidur, ada yang mahu berpuasa sepanjang waktu dan ada yang mahu menahan diri dari berkahwin. Nabi Muhammad melarang perbuatan itu dan baginda menyatakan yang bermaksud:

“Aku solat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (Shahih Bukhari no: 5063) 

Dan Allah jelas menyatakan di dalam al Quran supaya manusia tidak boleh melampau:  
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al Maidah: 87)

Islam telah mengajar cara manusia untuk diampuni dosa-dosa mereka seperti melakukan ibadah sesuai dengan anjuran Allah dan rasul, memiliki niat yang ikhlas, sentiasa bertaubat kepada Allah, melakukan amal kebajikan dan sentiasa melakukan kebaikan. Islam menganggap, selagi mana seseorang itu tidak menduakan (ada sembahan selain Allah, memiliki perantaraan) Tuhan yang menciptakan kita semua, maka dosa-dosanya yang lain selain itu boleh diampun oleh Allah. Akan tetapi sekiranya seseorang itu syirik kepada Allah, maka dosanya tidak akan diampun oleh Allah andai mereka mati di dalam kesyirikkan.   

Sebab itu tidak hairan apabila wujudnya golongan ateis yang membenci agama apabila agama sering kali menjadi mangsa kepada tindakan hawa nafsu manusia. Manusia mengubah ajaran agama dari ajaran asal dengan beralasan amalan ibadah yang direka mereka adalah lebih baik dari ajaran Tuhan melalui kitab suci. 

Maka wujudlah amalan dan kepercayaan yang sering bercanggah dengan akal dan fitrah manusia. Menarik untuk direnungi firman Allah di dalam surah Ar Rum, yang bermaksud:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.”(Surah Ar Rum 30: 30)

[Ubah suai dari teks yang dikeluarkan oleh Team MRM]

No comments:

Post a Comment