Wednesday, October 4, 2017

Qanaahnya Rasulullah s.a.w.



Bagi mereka Dunia, Bagi Kita Akhirat

Boleh saja Rasulullah s.a.w. kalau Baginda hendak kaya. Bagaimanapun Baginda memilih qanaah. 

Rasulullah s.a.w. ketua negara, tetapi rumah Baginda sama sahaja dengan rakyat jelata. Rumahnya berbentuknya kotak. Luasnya hanya sekitar tiga meter setengah persegi. 

Dindingnya tanah, atapnya pelepah tamar, lantainya pula pasir dengan sebahagian kawasan beralas tikar daun tamar. Apa lagi perkakas dalaman pun yang perlu-perlu sahaja. 

Suatu hari sayidina Umar masuk menemui nabi. ketika itu baginda sedang berbaring di atas tikar daun tanpa apa-apa alas. Maka berbekas badan nabi...Umar meninjau di sekeliling, tiada apa-apa kecuali tiga helai kulit yang belum disamak. Serta-merta bercucuran air mata Umar.

Nabi pun bertanya: “Mengapa kamu menangis wahai anak al-Khattab?”

“Wahai Rasulullah, Kisra dan Kaisar menetap di istana masing-masing, dan engkau Rasulullah..”

Nabi pun membalas: “Tidakkah engkau reda bagi mereka dunia, bagi kita akhirat.” (Riwayat al-Bukhari)



Mampu Tetapi Tidak Mahu

Adakah Rasulullah tidak mampu mendapatkan rumah yang lebih selesa, lebih layak dengan status dirinya? Sudah tentu baginda mampu. Jika mahu, nabi boleh mengarahkan para sahabat membina rumah yang gah. Sahabat sudah tentu melompat kegembiraan. Rasulullah ketua mereka, imej mesti dijaga. 

Andai Rasulullah malu untuk meminta, masakan sahabat Nabi tengok sahaja keadaan daif nabi sebegitu. Mereka pasti tidak senang melihat sebagaimana keadaan nabi. Ya para sahabat memang susah hati seperti mana sayidina Umar sebelum ini.

Abdullah bin Mas’ud pula mengisahkan: “Rasulullah tidur di atas tikar. Kemudian Nabi bangkit lalu kelihatan berbekas di badan baginda. 

Kami pun berkata: “Wahai Rasulullah, kalau kami buatkan untukmu witha’ (sejenis alas tidur).”

Nabi pun membalas: " Buat apa untukku. Tidaklah aku di dunia ini melainkan seperti seorang penunggang yang berteduh di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)



No comments:

Post a Comment