Soalan:
Adakah sah rujuk apabila suami bersetubuh dengan isterinya tanpa diucapkan untuk merujuk? Minta ustaz berikan pencerahannya.
Jawapan :
Menurut mazhab Syafiie; rujuk mesti dengan ucapan rujuk dari suami. Tidak sah niat rujuk tanpa ucapan rujuk. Begitu juga tidak sah rujuk dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi isteri atau sebagainya).
Jadi menurut mazhab Syafiie, berjimak ketika dalam 'iddah tidak dikira sebagai rujuk dan perbuatan tersebut adalah dosa besar kerana melakukan jimak setelah penceraian dan belum merujuk.
Akad nikah mengharuskan istimta’ (berseronok dengan isteri), sedangkan penceraian (talak) pula membatalkannya.
Kerana itu diharamkan beristimta’ dengan isteri yang diceraikan semasa dalam iddahnya sebelum ia dirujuk
(at-Talaq, Dr. Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 75 ] .
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, “Antara dosa besar ialah mensetubuhi isteri yang ditalak raj’ie sebelum merujuknya bagi orang yang meyakini keharamannya.” (az-Zawajir, dosa besar ke 284).
Turut diharamkan ialah melihat auratnya, menyentuhnya dan berdua-duaan dengannya.
Oleh itu, suami hendaklah keluar dari rumah apabila ia menceraikan isterinya kecuali jika rumahnya besar dan ada mahram isterinya yang tinggal serumah di mana mahram itu disegani oleh suami, maka haruslah suami tetap tinggal di dalam rumah yang sama.
Kecualilah jika seseorang itu bertaqlid dengan mazhab Hanafi, di mana menurut mazhab Hanafi; rujuk boleh dengan ucapan dan boleh juga dengan perbuatan (iaitu mensetubuhi, mencium, menyentuh, melihat dan sebagainya).
Apabila seorang suami mensetubuhi isteri yang dicerainya dengan talak raj’ie dan masih dalam iddahnya, menurut mazhab Hanafi perbuatannya itu dikira rujuk sama ada ia ada berniat rujuk atau tidak.
Begitu juga dengan mencium, menyentuh dan melihat farajnya dengan syahwat (yakni dikira sebagai rujuk).
[Namun melakukan perbuatan-perbuatan tersebut tanpa niat rujuk hukumnya adalah makruh tanzih (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 29/355).]
Oleh itu, menurut mazhab Hanafi, ketika dalam iddah suami masih boleh beristimta’ (berseronok) dengan isteri yang dicerainya cerai talak raj’ie atau berduaan dengannya (tinggal serumah) atau menyentuhnya atau melihat auratnya, kerana selagi belum tamat iiddah ia masih dalam hukum isteri di mana suami berkuasa merujuknya pada bila-bila masa tanpa perlu persetujuannya.
Dengan berlaku perbuatan-perbuatan tersebut (dengan disertai syahwat) terhasillah rujuk secara automatik.
Majoriti umat Islam di negara kita bermazhab Syafie. Oleh itu dalam urusan nikah, cerai dan rujuk hendaklah berpandukan cara-cara mazhab Syafie.
Merujuk dengan cara melafazkannya dan berniat untuk rujuk.
Wallahu a'lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/355, kalimah; ‘iddah’.
2. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 75 dan 80.
3. az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami, 2/52.
4. Hasyiyah al-Bajuri, 2/155.
(Sumber FB Mahadi Razak)
No comments:
Post a Comment