Manusia itu sering memujuk hati. Namun seringkali sakit sendiri kerana memujuk dengan sesuatu yang tidak pasti.
Ketika ditimpa ujian, dipujuknya dengan "Bersabarlah. Ada hikmahnya".
Pujukan yang menyakitkan diri sebenarnya. Fikiran pasti akan mencari-cari malah menunggu-menunggu... ingin mengetahui "apakah hikmahnya". Lalu semakin gelisah kerana ingin cepat mengetahui hikmahnya. Fitrah diri. Begitulah.
Cuba kali ini diubah. Tidak lagi memujuk hati dengan sesuatu yang tidak pasti. Tetapi sedar pada Allah yang mengaturkan kehidupan ini kerana ini adalah PASTI.
Ketika diuji Allah, sedarlah pada Allah. Sedarlah bahawa INILAH jalan yang ditetapkan Allah buatku dan tidak ada 'TIDAK' untuk aku lari daripada ketentuan Allah. Inilah imanku percaya pada ketetapan Allah untukku.
Aku harus melalui perjalanan yang ditetapkan Allah. Redha.... yakni menerima dan mengikut ketetapan. Menerima ujian dan mengikut ketetapan bahawa aku harus lalui saat ini.
Apa jua hikmahnya itu tidak penting untuk aku ketahui. Tidak penting untuk aku mengulang-ulang kata-kata... 'ada hikmahnya.... ada hikmahnya' kerana setiap saat yang berlaku MEMANG semuanya ada tujuannya untuk sesuatu yang di hadapan berlaku.
Ye... jalani saja hidup ini. Pastikan sedar pada Allah setiap saat itu tidak dilepaskan. Suka atau tidak, setuju dengan Allah atau tidak, kita perlu laluinya juga. Lalu adalah lebih baik terima kerana inilah iman kita yang berbeza dengan Iblis yang tidak mahu menerima kehendak Allah agar Iblis sujud pada Adam.
Mulai saat ini.... katakan pada Allah... "ya Allah, aku ikut Engkau ya Allah. aku terima. Aku terima. Aku ikut kehendakMu ya Allah. Aku ikut." Dan ini lebih baik dilafazkan daripada memujuk hati dengan sesuatu yang tidak pasti.
Dengan berulang-ulang dalam sedar, kita katakan pada Allah bahawa "aku ikut Engkau ya Allah, aku ikut kehendakMU ya Allah" kita berlatih menerima sesuatu YANG PASTI berbanding asyik memikirkan 'apakah hikmahnya' bertujuan akan menerima ketika tahu hikmahnya.
Selagi hikmahnya belum muncul, jiwa itu tetap gelisah. Sabar yang ada hanya sabar 'urut dada' yang dicipta. Ketika fikiran dominan, kita mampu bersabar. Ketika fikiran lemah, jiwa yang sebenarnya tidak mampu sabar meledak menyebabkan fikiran tidak mampu mengimbangi diri lantas kewarasan mulai goyah.
Mari kita belajar MENERIMA SAAT INI. Ye kita terima apa jua hal hidup kita saat ini. Walaupun yang menyenangkan atau berat pada kita, kita belajar menerima saat ini. Ketika MENERIMA ALLAH dan kehendakNya, APAKAH ADA LAGI BEBANAN? APAKAH KITA TIDAK MAMPU BAHAGIA SETIAP SAAT?
Berbahagialah saudara.... berbahagia. Saat ini akan ditinggalkan dan kita rugi tidak menikmati saat indah kehidupan ini sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment