Monday, October 9, 2017

Tipu Daya Abuya Kepada Pengikutnya

Lagi mengenai Arqam yang dirakam oleh Tuan Hj Ahmad Salim:



Arqam diharamkan, Ustaz Ashaari ditangkap dan beliau telah membuat pengakuan dan bertaubat secara terbuka di Masjid Negara, tetapi ketaksuban  pemimpin dan ahli Arqam  kepada Ustaz Ashaari tidak sedikitpun terjejas. Walaupun sudah ditangkap dan ditahan di bawah kediaman terhad, Ustaz Ashaari masih bebas memberi arahan dan menyusun strategi untuk mencapai agendanya menjadi Perdana Menteri Malaysia secara khawariqul addah. Secara  menyalahi adat secara aman iaitu dengan bantuan ALLAH. 

Ustaz Ashaari berkata, 85% orang-orang polis bersimpati dengan Abuya. Kena kerja kuat lagi untuk mendapat sokongan 100%. Kononnya penahanan  beliau oleh pihak keselamatan itu sebenarnya untuk membolehkan pihak keselamatan mendapat cerita sebenar daripadanya dan sekarang pihak polis sudah 85% menyokong Abuya. Tun Mahathir akan jatuh, Tun Ghafar akan ambil alih dan Tun akan menyerahkan jawatan PM kepada Abuya. Inilah pesan Abuya kepada pemimpinnya. 

Pihak polis sedang memantau pergerakan tetapi ahli Arqam tidak bimbang. Seolah-olah yang belum ditahan ini pulak hendak masuk ke dalam supaya dapat capai 100% sokongan pihak keselamatan kepada Abuya. Dua bulan sebelum ditangkap saya dipanggil oleh pihak polis cawangan khas dan menasihati supaya saya menjauhkan diri daripada Ustaz Ashaari. 

Pada masa itu saya tidak sedar pihak polis panggil saya kerana hendak beri peluang kepada saya  menjauhkan diri dari Arqam supaya tidak ditahan dibawah ISA. Kalau saya ditahan dibawah ISA automatik saya akan dibuang daripada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik menyebabkan saya akan kehilangan semua benefits. Ketika itu saya  sedikitpun tidak terfikir tentang pekara itu. Saya terus berjumpa Ustaz Ashaari dan meneruskan aktiviti Arqam seperti biasa.

Ahli-ahli Arqam telah dibrainwash untuk memilih  berkorban, hidup susah demi untuk menegakkan Islam. Saya tahu ada di antara anakbuah saya yang suaminya bekerja ada gaji tetapi hidup mereka susah, hendak beli susu anak pun tidak cukup duit, kerana berkorban untuk Jemaah.  Anak-anak  diberi  minum air sirap sahaja. 

Seorang isteri pemimpin arqam yang ditahan oleh polis bersama-sama dengan Ustaz Ashaari pada Sept. 1994 telah menerima surat amaran kerana tidak bayar yuran anaknya di sekolah Arqam, sekolah Quratul Ain di Shah Alam. Seorang ahli Arqam lain yang bekerja dengan kerajaan, terkorban RM20,000 kerana meminjamkan kad kreditnya kepada pemimpin Arqam. 

Pada 6hb. June 1996 jam 11.00 pagi saya ditahan oleh polis dibawah Akta ISA semasa saya berjalan keluar dari Bank Islam Kuala Lumpur menuju ke tempat parkir kereta. Saya tidak takut. Saya masuk Arqam kerana percaya ianya hendak menegakkan Islam, secara dakwah, aman, kasih sayang bukan secara kekerasan. Ustaz. Ashaari berulangkali menyatakan ia akan berlaku secara khawarikul addah, secara aman tidak ada tumpah darah, Jawatan Perdana Menteri akan diserahkan oleh Tun Ghafar kepada Abuya secara sukarela.

Dalam penahanan kali kedua ini saya dan 15 orang lagi pemimpin Arqam lain ditahan di bawah ISA untuk soal siasat selama 60 hari. Saya tidak menyembunyikan apa-apa maklumat. Saya tidak didera semasa  dalam tahanan. Yang tidak tahannya ialah rasa sunyi yang amat sangat kerana ditempatkan dalam bilik keseorangan sampai dua tiga hari tidak bercakap dengan siapa-siapa. 

Biasanya saya dibawa ke satu bilik untuk disoal siasat oleh beberapa orang pegawai polis cawangan khas secara berulangkali. Dalam soal siasat inilah saya diminta membaca pengakuan bertulis dari Ustaz Ashaari dan pemimpin lain semasa mereka ditahan pada peringkat pertama dahulu tahun 1994. 

Apabila saya membaca pengakuan ini alangkah terkejut dan kecewanya saya, Arqam yang saya anggap suci dan mulia itu sebenarnya telah bercampur aduk dengan kebatilan,  dengan pembohongan, tipu daya dan percaturan untuk kepentingan peribadi dan keluarga.

No comments:

Post a Comment