Sesiapa yang pernah bertandang ke bumi Haramain pasti teringin nak pergi lagi. Dia punya perasaan itu lain macam, tambah membuak-buak bila dapat tahu ada dari kenalan kita yang sudah buat tempahan tiket ke sana.
Uniknya perasaan ini apabila ia juga terkena pada mereka yang belum pernah jejakkan kaki di sana. Rindu hendak buat ibadat umrah di Makkah. Kepingin hendak rasa kedamaian dan ketenangan ketika di Masjid Nabawi. Hebatnya Tuhan yang telah campakkan rasa itu dalam diri kita semua.
Demikian juga mereka yang pernah merasa suasana Ramadan di sana. Pasti perasaan itu kembali menjengah minda bila sudah pulang ke tanah air. Rindukan suasana iftar dan sahurnya. Solat tarawih bersama imam yang bacaannya sangat merdu. Seronok tengok sikap dermawan orang di sana mengagihkan makanan dan minuman kepada jemaah.
Biasanya orang di sana mula aktif bila sudah dekat waktu berbuka puasa. Jika kau penat sangat sampai tak larat nak masak, pergi saja ke Masjid Nabawi. Di sana terlalu banyak manusia dermawan yang sediakan makanan untuk dijamu pada orang ramai.
Ada nasi, roti, buah-buahan, teh, kopi, susu, laban (bahasa Melayunya yogurt) dan paling penting buah tamar. Boleh pilih hendak duduk di hamparan mana sekalipun. Usah risau, ia percuma. Waktu begini kita boleh nampak mereka memang betul berlumba-lumba buat kebaikan.
Saya pula suka ke tempat buka puasa yang dikendalikan oleh pelajar Malaysia di sana. Juadah sudah pasti masakan citarasa Melayu. Ada ayam masak merah, udang masak pedas, ayam kurma dan banyak lagi. Rindukan masakan desa. Sesiapa yang pernah berjauhan dari kampung mesti rasa perkara yang sama.
Jika ada dari kalian yang sekarang berada di Madinah dan tidak berselera makan masakan Arab, boleh ke tempatnya betul-betul depan Hotel Madinah Hilton. Kalau dari pintu besar masjid bernombor 21, jalan terus ke depan. Nanti akan jumpa menara jam dalam pagar. Ke depan lagi. Dan akan nampak hotel itu sebelah kiri. Datanglah awal, mungkin 6:15 petang, Bimbangt tiada tempat kosong jika lewat.
Selesai saja berbuka puasa dan solat maghrib, para jemaah ada masa sekitar sejam setengah untuk berehat dan sambung makan minum jika belum selesai.
Kenapa lama sangat sampai sejam setangah? Sebenarnya azan isyak dilewatkan setengah jam bagi memberi ruang kepada pekerja masjid membuat kerja pembersihan. Penyelarasan ini diguna pakai di seluruh Arab Saudi.
Makanan dan minuman yang jatuh tertumpah akan disapu bersih. Sampah-sampah lain pula akan dimasukkan dalam plastik sampah berwarna biru, kemudian dikumpulkan dalam lori sampah. Lantai akan dibasuh bagi menghilangkan kesan yang tidak menyenangkan demi keselesaan jemaah beribadat nanti.
Waktu ini, kita dapat lihat betapa lincah mereka bekerja. Dengan semangat kerjasama yang mereka tunjukkan, kawasan masjid yang luas dan besar itu dapat dibersihkan dengan pantas sekali. .
Kemudian solat isyak pada jam 9 malam, diteruskan dengan solat tarawih 20 rakaat. Meriah sungguh suasana dalam dan luar masjid. Manusia memenuhi ruang dari saf depan sampai ke pagar masjid. Boleh solat di saf depan dengan selesa jika masuk awal. Bacaan imam yang sedap itu hampir buatkan kita tidak terasa penat berdiri.
Selalunya semua itu selesai tepat jam 11:30 malam. Rehat sekejap dalam masjid. Kendurkan urat-urat kaki. Minum air zamzam sepuasnya. Jika nak iktikaf dulu pun tidak jadi masalah. Masjid memang tidak pernah lengang pada malam Ramadan. Semua orang beribadat siang dan malam.
Ia akan jadi lebih meriah apabila masuknya 10 malam terakhir. Masjid akan dipenuhi dengan jemaah yang beriktikaf. Solat tahajjud dan qiamullail juga dibuat secara berjemaah. Memang penuh walaupun jam sudah 2:30 pagi ketika itu.
Waktu solat subuh juga awal berbanding di Malaysia, iaitu jam 4 pagi. Jadi kebanyakan mereka di sana tidak tidur malam kerana waktunya terlalu suntuk. Risau jika tidur, tidak terbangun pula waktu sahur nanti.
Kebiasaan orang Arab akan tidur di siang hari, dan pulun habis-habisan untuk beribadat pada malam hari. Itulah gambaran ringkas yang saya boleh kongsi berkenaan rutin sambutan Ramadan di sana.
Moga bermanfaat,
No comments:
Post a Comment