Sunday, October 29, 2017

Aturan Allah Itu Pasti

Perkongsian Dari Saudara Fuad Latif



Manusia itu sering memujuk hati. Namun seringkali sakit sendiri kerana memujuk dengan sesuatu yang tidak pasti.

Ketika ditimpa ujian, dipujuknya dengan "Bersabarlah. Ada hikmahnya".

Pujukan yang menyakitkan diri sebenarnya. Fikiran pasti akan mencari-cari malah menunggu-menunggu... ingin mengetahui "apakah hikmahnya". Lalu semakin gelisah kerana ingin cepat mengetahui hikmahnya. Fitrah diri. Begitulah.

Cuba kali ini diubah. Tidak lagi memujuk hati dengan sesuatu yang tidak pasti. Tetapi sedar pada Allah yang mengaturkan kehidupan ini kerana ini adalah PASTI. 

Ketika diuji Allah, sedarlah pada Allah. Sedarlah bahawa INILAH jalan yang ditetapkan Allah buatku dan tidak ada 'TIDAK' untuk aku lari daripada ketentuan Allah. Inilah imanku percaya pada ketetapan Allah untukku. 

Aku harus melalui perjalanan yang ditetapkan Allah. Redha.... yakni menerima dan mengikut ketetapan. Menerima ujian dan mengikut ketetapan bahawa aku harus lalui saat ini.

Apa jua hikmahnya itu tidak penting untuk aku ketahui. Tidak penting untuk aku mengulang-ulang kata-kata... 'ada hikmahnya.... ada hikmahnya' kerana setiap saat yang berlaku MEMANG semuanya ada tujuannya untuk sesuatu yang di hadapan berlaku.

Ye... jalani saja hidup ini. Pastikan sedar pada Allah setiap saat itu tidak dilepaskan. Suka atau tidak, setuju dengan Allah atau tidak, kita perlu laluinya juga. Lalu adalah lebih baik terima kerana inilah iman kita yang berbeza dengan Iblis yang tidak mahu menerima kehendak Allah agar Iblis sujud pada Adam. 

Mulai saat ini.... katakan pada Allah... "ya Allah, aku ikut Engkau ya Allah. aku terima. Aku terima. Aku ikut kehendakMu ya Allah. Aku ikut." Dan ini lebih baik dilafazkan daripada memujuk hati dengan sesuatu yang tidak pasti.

Dengan berulang-ulang dalam sedar, kita katakan pada Allah bahawa "aku ikut Engkau ya Allah, aku ikut kehendakMU ya Allah" kita berlatih menerima sesuatu YANG PASTI berbanding asyik memikirkan 'apakah hikmahnya' bertujuan akan menerima ketika tahu hikmahnya.

Selagi hikmahnya belum muncul, jiwa itu tetap gelisah. Sabar yang ada hanya sabar 'urut dada' yang dicipta. Ketika fikiran dominan, kita mampu bersabar. Ketika fikiran lemah, jiwa yang sebenarnya tidak mampu sabar meledak menyebabkan fikiran tidak mampu mengimbangi diri lantas kewarasan mulai goyah.

Mari kita belajar MENERIMA SAAT INI. Ye kita terima apa jua hal hidup kita saat ini. Walaupun yang menyenangkan atau berat pada kita, kita belajar menerima saat ini. Ketika MENERIMA ALLAH dan kehendakNya, APAKAH ADA LAGI BEBANAN? APAKAH KITA TIDAK MAMPU BAHAGIA SETIAP SAAT?

Berbahagialah saudara.... berbahagia. Saat ini akan ditinggalkan dan kita rugi tidak menikmati saat indah kehidupan ini sepenuhnya.


Tidak Bersama Pemimpin Zalim






Dari Ka'ab bin Ujrah ia berkata, "Rasulullah SAW pernah keluar atau masuk menemui kami, ketika itu kami berjumlah sembilan orang. Dan di antara kami ada bantal yang diperbuat dari kulit. Baginda lalu bersabda:

 "Sesungguhnya akan ada setelahku para pemimpin yang berbuat pendustaan dan kezaliman. Barangsiapa mendatangi mereka kemudian membenarkan pembohongan mereka, atau membantu mereka dalam kezalimannya, maka ia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya. Serta ia tidak akan minum dari telagaku."

"Dan barangsiapa tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu mereka dalam berbuat kezaliman, maka ia adalah dari golonganku dan aku adalah dari golongannya. Dan kelak ia akan minum dari telagaku." 

(HR Ahmad No: 17424) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mencegah kezaliman dan maksiat yang berlaku di sekeliling mereka dengan hikmah dan bijaksana.

2.  Mana-mana kebenaran dan hak yang dilakukan oleh pemimpin, menjadi kewajipan untuk bersama mempertahankan. Mana-mana yang berbentuk kezaliman dan maksiat, menjadi tanggungjawab untuk menghalangnya daripada berterusan dengan cara yang hikmah.

3.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka yang bersetuju dan menyokong pembohongan dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin di kalangan mereka dengan tidak mengaku mereka sebahagian dari umatnya dan tidak layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW.

4.  Muslim yang mencanggahi pembohongan dan kezaliman pemimpin di kalangan mereka dan tidak membantu mereka berterusan dalam kezaliman, maka ia bersama Rasulullah dan Rasulullah SAW akan bersamanya dan layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW. 

[Sumber: FB Ustaz Hasnan Fan Club]

Kuasa Mafia Dan Undang-undang Malaysia



ANTARA cerita paling panas ialah pendedahan oleh PPIM tentang wujudnya sindiket yang digelar sebagai “9 Dragons” didakwa sangat berpengaruh sampai boleh mengawal Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pendedahan itu secara tak langsung menjelaskan kepada kita persoalan mengapa pusat-pusat judi haram, dan rumah-rumah pelacuran berselerak di seluruh negara tidak pernah dapat dihapuskan.
Perkara ini jelas sekali serupa dengan dakwaan dalam kenyataan bersumpah oleh seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) bernama Mior Fahim Bin Ahmad (K/P Polis No: G/13237) yang tersebar satu masa dahulu.
Anggota polis berkenaan telah mendedahkan secara panjang lebar dan terperinci dalam akuan bersumpahnya tentang bagaimana individu tertentu yang terlibat dengan aktiviti judi haram di Johor telah menjadi “tangan ghaib” mengawal PDRM.
Beliau turut mendedahkan bagaimana pegawai-pegawai tinggi dalam pasukan PDRM telah dikuasai oleh sindiket tersebut. Sampaikan pegawai polis yang baru berpindah di Johor, akan ditemubual oleh wakil sindiket itu.
Pada penghujung kenyataan bersumpah itu, Mior Fahim meluahkan rasa amat tertekan apabila tindakannya di dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan jenayah judi haram telah menyebabkan dirinya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib polis.
Enam pegawai polis dan dua individu kongsi gelap telah menandatangani akuan bersumpah mendakwa pegawai-pegawai tinggi polis, sehingga Ketua Polis Negara mempunyai hubungan dengan sindiket dadah, judi haram, pelacuran, dan ahlong yang berpengkalan di Johor dan telah memperluaskan operasi mereka ke seluruh Malaysia.
Seorang lagi pegawai polis telah membuat laporan mendakwa keluarganya telah diculik oleh ACA bagi memaksanya menukar kenyataan, sementara ketua CCD dan peguamnya telah ditahan dan didakwa atas tuduhan-tuduhan jenayah sebagai hukuman kerana menangkap ketua kongsi gelap di bawah Ordinan Darurat.
Berikut ialah pengakuan bersumpah ASP Mior Fahim yang pernah viral bertahun dahulu:
Saya, MIOR FAHIM BIN AHMAD (K/P Polis No: G/13237) yang beralamat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Jabatan Siasatan Jenayah, Johor dengan ini sesungguhnya dan seikhlasnya  berikrar dan menyatakan seperti berikut:-
1.    Saya bekerja sebagai seorang pegawai polis berpangkat Assisten Superintendan (ASP) di Cawangan D7 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), JSJ, Johor. Saya membuat Akuan ini demi menjaga keselamatan peribadi dan integriti saya sebagai seorang pegawai polis berhubung tugasan dan siasatan yang saya lakukan dan arahan yang saya terima.
2.    Pada 21.08.2006, saya telah terima arahan kenaikan pangkat dari C/Insp ke ASP melalui E-Siar. Kenaikan pangkat saya berkuatkuasa mulai 01.07.2005.
3.    Pada September 2006, saya telah berjumpa dengan KBPD IPD Kota Kinabalu – DSP. CHEW THAM SOON dan meminta bantuan beliau untuk menguruskan penempatan saya jawatan SIO Kota Kinabalu seandainya beliau mempunyai kenalan di bahagian perjawatan Bukit Aman, disamping itu saya juga telah memohon bantuan beberapa pegawai kanan lain yang saya kenali.
4.    Saya telah berjumpa dengan DSP. CHEW THAN SOON dan saya bertanyakan penempatan saya. Kemudian saya dimaklumkan beliau telah mencadangkan saya ke jawatan D7, IPK Johor. Saya tidak bersetuju dan meminta beliau untuk mengekalkan saya di IPD Kota Kinabalu. DSP CHEW THAM SOON meyakinkan saya untuk pertukaran ke D7 Johor.
5.    Pada November 2006, saya mula dikenalkan kepada BK TAN. Saya bersama DSP. WAN HASSAN (Tim. Komandan PULAPOL Kota Kinabalu) di bawa oleh DSP. CHEW THAM SOON ke sebuah pejabat yang terletak di bangunan AM-CORP, Petaling Jaya, Selangor.  Kami telah berjumpa dengan seorang lelaki Cina yang dikenali sebagai BK TAN. Dalam perjumpaan terebut DSP. CHEW THAM SOON telah mengenalkan saya kepada BK TAN.  Kemudian saya telah ditemu bual oleh BK TAN berhubung pengalaman kerja.
6.    Semasa perjumpaan tersebut, telah datang seorang lelaki Cina gemuk yang mengenalkan dirinya sebagai AH HON. Dalam temubual tersebut, BK TAN memberitahu bahawa apabila saya bekerja di bahagian D7, IPK Johor, hendaklah bekerja dengan baik. BK TAN juga beritahu saya AH HON merupakan orang yang menjaga ZON SELATAN dan memberitahu sekiranya ada apa-apa hal AH HON akan berhubung dengan saya. Kemudian telah masuk seorang lelaki Melayu di pejabat sebelah, lalu BK TAN telah pergi menyambut lelaki tersebut.
7.    DSP CHEW memberitahu saya bahawa lelaki melayu itu adalah salah seorang Ahli Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) iaitu DATO’ OTHMAN TALIB, yang mempunyai hubungan baik dengan BK TAN, dengan tujuan memudahkan urusan untuk kenaikan pangkat di masa hadapan.
8.    Dalam waktu yang sama, masuk seorang lelaki Cina pendek ke Pejabat tersebut. AH HON telah mengenalkan bahawa lelaki Cina tersebut adalah PT-D7 JOHOR (DSP. NG FOOK LONG). DSP CHEW juga memberitahu saya bahawa BK TAN mempunyai perhubungan yang amat baik dengan TAN SRI KPN dan akan mendengar setiap cadangan dan nasihat BK TAN. DSP CHEW juga menunjukkan seorang lelaki melayu yang sedang bekerja di pejabat bersebelahan dan memberitahu bahawa orang itu adalah anak lelaki TAN SRI KPN. Sewaktu saya di pejabat BK TAN, saya juga lihat AH HON telah membawa keluar satu arahan pertukaran yang baru keluar dan arahan pertukaran tersebut dibincangkan oleh mereka bersama.
9.    Pada Disember 2006, saya telah menyemak E-Siar dan mendapati nama saya terdapat dalam arahan pertukaran tersebut untuk melapor diri sebagai ASP D7, IPK Johor. Pada hari yang sama juga AH HON telah menghubungi saya melalui talipon dan bertanyakan kepada saya bila hendak melaporkan diri dan meminta saya untuk melaporkan diri dengan cepat.
10.    Lebih kurang 2-3 hari selepas arahan pertukaran keluar, saya telah menalipon beberapa pegawai kanan yang saya kenali ACP ROSLI MD ISA, DCP DATO’ MOKTHAR BIN HASSAN, ACP AZIZAN ABU TAAT yang pernah bertugas di Johor. Mereka menasihatkan saya supaya  berhati-hati dengan sindiket ekor haram dan pelacuran di Negeri Johor.
11.    Pada 16.01.2007, saya telah melaporkan diri di IPK Johor. Apabila saya melaporkan diri, AH HON telah menghubungi saya dan memaklumkan rumah telah disediakan.  Saya kemudian telah terus pergi ke rumah tersebut di Bistari Impian, Larkin dan berjumpa dengan tuan rumah. Tuan rumah tersebut adalah seorang perempuan Cina. Saya bertanyakan tentang harga sewa sebulan dan beliau mengatakan harga biasa adalah RM1,200/- sebulan tetapi beliau menawarkan untuk saya hanya dengan RM900/- sebulan dan pada masa yang sama juga saya meminta beliau untuk menyediakan surat perjanjian sewa rumah. Beliau mengatakan “Tuan duduk dululah nanti baru kita kira”.
12.    Semasa saya melaporkan diri kepada PT-D7 DSP. NG FOOK LONG, beliau telah meyampaikan beberapa arahan penugasan dan memberi arahan semua serbuan boleh dibuat ke atas aktiviti haram kecuali judi empat nombor ekor haram dan hendaklah memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.
13.    Pada 28.02.2007, saya telah terima sms dari AH HON dari talian no. 017-2551255 yang berbunyi “Tolong Ambil Tindakan Serta Merta 4A(a) atas Tiga Tempat berikut No. S38, S25A dan S37 Jalan Bukit Batu 11, Kulai Johor.  Tugasan dari atas tengah perhatikan. Jangan balik kosong”. Saya kemudian telah memaklumkan kepada PT-D7 DSP. NG FOOK LONG dan beliau pun mengatakan ada menerima sms yang sama. Saya memberitahu DSP NG FOOK LONG, “Kita pegawai polis dan tidak boleh ikut arahan AH HON” yang saya dapati ahli sindiket haram. DSP NG FOOK LONG hanya mendiamkan diri.
14.    Pada awal Mac 2007, saya telah keluar dari rumah yang disediakan oleh AH HON dan mencari rumah sewa sendiri di Bandar Baru Uda. Saya telah menguruskan sendiri penyewaan dan perpindahan ke rumah tersebut.
15.    Saya juga telah terima sms dari AH HON, dimana AH HON meminta maaf di atas arahan beliau untuk buat serbuan. Selepas dari itu, tiada perhubungan lagi dengan AH HON.
16.    Sekita waktu sama pada awal Mac 2007, saya telah terima maklumat dari anggota D7 iaitu SM/D.94894 Manimaran, Sjn/D.104700 Raja Kumar, Sjn/D.88548 Tow Pong Yew, L/Kpl/D.115161 Asmawi Bin Utar dan Sjn. 89379 Yassim Bin Malek – dari IPD Kluang, Johor bahawa sindiket TENGKU (GOH CHENG POH) dibawah seliaan AH HON telah aktif menjalankan kegiatan judi empat nombor ekor haram dengan memonopoli seluruh Negeri Johor, dimana TENGKU mempergunakan Pegawai dan Anggota D7 untuk membuka kes fail ke atas mana-mana ajen/penganjur yang tidak tunduk kepada sindiket tersebut. Mana-mana pegawai dan anggota tidak mengikut telunjuk sindiket ini akan ditukarkan ke PGA.
17.    Ada diantara anggota D7 yang tidak dapat menerima perkara ini telah memohon untuk bertukar keluar dari D7, IPK Johor tetapi tidak disokong oleh PT-D7 terdahulu iaitu DSP. MOHD HEDZIR BIN HUSSIN dan SI/D.59920 NG SWEE MIN. Atas sebab tersebut, saya telah mengeluarkan arahan kepada Pegawai D7 dan anggota D7 supaya mendapatkan maklumat ke atas kegiatan  sindiket TENGKU untuk penyediaan kes fail.
18.    Pada 28.03.2007, sepasukan Pegawai dari D7 Bukit Aman, Kuala Lumpur yang di ketuai DSP. ZAWAWI telah membuat serbuan/tangkapan ke atas dua (2) pusat pengiraan judi empat nombor ekor loteri awam haram iaiatu di Taman Sri Putri, Kulai Johor dan Taman Sentosa, Johor Bahru. Dalam tangkapan tersebut sejumlah 32  buah mesin faks dan tujuhbelas (17) orang telah ditangkap bersama lebih kurang 3,000 helai “ekod of stake”, Rujuk: Kulai Report: 2588/2007 dan Johor Bahru Selatan Report: 7295/2007.
19.    Hasil dari risikan yang diperolehi dari tangkapan-tangkapan di atas, saya telah membuka kes fail dibawah Ordinan Darurat (KA & MJ) 5/69 ke atas tiga (3) orang subjek yang terlibat langsung dengan TENGKU. Manakala kes fail terhadap TENGKU tidak dapat dibuka kerana kekurangan “statement”. Tiga (3) orang subjek yang diambil tindakan kes fail adalah bernama:-
(a)         SOH KING SIANG;
(b)         LIM CHIN CHAI; dan
(c)         LEE YOKE HAN.
20.    Ketiga-tiga kes fail ke atas subjek terserbut diatas telah diedarkan ke D7, Bukit Aman, untuk kelulusan tangkapan di bawah Sek. 3(1) Ord. Darurat (KA & MJ) 5/69. Namun, sehingga kini ia masih belum diluluskan.
21.    Kemudian dari itu, saya dapati tigabelas (13) orang dari tujuhbelas (17) tangkapan di atas telah membuat laporan Polis dengan mendakwa saya dan anggota-anggota yang terlibat dalam soalsiasat dan merakam percakapan risikan telah memukul mereka semasa dalam tahanan dan rakaman percakapan risikan, dimana kebanyakkan tangkapan adalah wanita tua.
22.    Akibat daripada laporan yang di buat oleh tangkapan-tangkapan di atas, satu pasukan TATATERTIB diketuai oleh DSP. Navamaney telah merakamkan percakapan saya dan anggota terlibat. Siasatan Tatatertib menjurus kepada membantu kepada pihak sindiket, sedangkan saya dan anggota tidak menggunakan sebarang kekerasan terlebih lagi terhadap wanita tua. Selang dua hari kemudian, saya dapati DSP. Navamaney telah dinaikkan pangkat P/SUPT.
23.    Pada 30.03.2007,  saya dan anggota D7 telah menangkap tiga (3) orang subjek di bawah Sek. 3(1) Ordinan Darurat (KA & MJ) 5/69 yang merupakan ahli sindiket TENGKU. Butiran diri mereka adalah seperti berikut:-
(a)     CHAI NGEW;
(b)     CHIN YEW FAH; dan
(c)     TAN LEE POEY
24.    Subjek (i) dan (ii) telah ditahan di lokap Balai Polis Larkin, dimana ketiga-tiga mereka ditahan untuk tempoh 60 hari sementara arahan KKDN.  Selepas sembilan (9) hari kemudian, ketiga-tiga subjek di atas dibebaskan tanpa pengetahuan saya, sedangkan saya merupakan IO kes fail. Mereka telah dibebaskan oleh P/DSP. NG FOOK LONG di atas arahan DATO KHALID BIN ABU BAKAR – Tim. Pengarah JSJ 1 – (Operasi/Risikan). Setelah meneliti ketiga-tiga kes fail tersebut, saya dapati mereka dibebaskan dengan alasan, telah insaf, tiada kekerasan dan menjalankan aktiviti secara individu, sedangkan arahan PJSJ No. 2/2005 masih dikuatkuasakan.
25.    Pada 29.05.2007, saya telah meneliti E-Siar dan mendapati lima orang pegawai D7, IPK Johor telah ditukarkan keluar dari Bahagian D7, IPK Johor dan salah seorang pegawai saya bernama C/INSP. SUNDAR RAJAN A/L ELLUMALAI (I/12413) telah ditukarkan-ke PGA SIBU. Saya dapati pengawai ini ditukarkan kerana beliau telah terlibat dalam merakamkan percakapan risikan ke atas seorang tangkapan bersabit J.BAHRU REPORT: 7295/2007 yang mendedahkan secara positif penglibatan TENGKU dalam penganjuran aktiviti perjudian empat nombor ekor loteri awam haram. Selain itu, pegawai ini juga aktif dalam menangkap ajen-ajen menulis judi empat nombor ekor loteri awam di bawah sindiket TENGKU.
26.    Adalah saya mengatakan bahawa sebagai seorang pegawai polis, saya merasa amat tertekan bahawa tindakan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan jenayah judi haram yang membabitkan sindiket dibawah naungan TENGKU dan BK TAN boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian  Tatatertib. Saya menganggap ini satu penganiayaan terhadap diri, kerjaya, keluarga dan nama baik  saya.
Dan saya membuat pengakuan ini dengan sesungguhnya mempercayai bahawa yang sama adalah benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun, 1960.
DITANDATANGANI DAN DIIKRAR            )
SESUNGGUHNYA oleh  MIOR FAHIM BIN     )
AHMAD (G/13237) tersebut di atas di Kuala Lumpur    )
pada                  haribulan                       2007        )
Di hadapan saya,
Pesuruhjaya Sumpah
Saudara Mior Fahim ditemui mati dalam tahun 2014. Kematiannya dilaporkan selepas hilang ketika mandi di air terjun Sungai Tungku, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun Gerik.
Semoga roh Allahyarham dilimpahi rahmat oleh Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

[Sumber : milosuam]

Friday, October 27, 2017

Nabi s.a.w. Mengajar Guna Nombor


Antara cara Nabi mengajar adalah menggunakan nombor atau turutan. Contohnya Nabi sebut ada tiga perkara sekian ...ada lima perkara sekian... tujuh golongan sekian... dan pelbagai lagi. Banyak sangat buktinya yang dapat dikumpul setakat ini sepanjang mencari fakta angka.


Berikut beberapa lagi bukti Nabi mengajar dengan cara ini. 



Lima Nama Nabi

Rasulullah bersabda: “Aku mempunyai lima nama. Akulah Muhammad, akulah Ahmad. Akulah al-Mahi (si penghapus) yang Allah hapuskan kekufuran denganku. Akulah al-Hasyir (si penghimpun) yang manusia dihimpunkan selepas aku dibangkitkan. Dan akulah al-Aqib (si penutup) yang tiada lagi sesiapapun nabi selepasku.” (Riwayat al-Bukhari)

5 Asas Agama

Rasulullah bersabda: “Islam terbina atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji dan puasa Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari)



5 Keagungan Allah

Abu Musa menceritakan: “Rasulullah bangkit berdiri semasa bersama kami lalu memberitahu lima perkara: “Sungguh Allah tidak tidur dan tidak logik Dia tidur. Dia boleh sahaja merendahkan timbangan dan mengangkatnya. Disampaikan kepada-Nya amalan waktu malam sebelum amalan siang, dan amalan siang sebelum amalan malam. Hijabnya ialah cahaya. Andai disingkap, nescaya keagungan wajah-Nya akan membakar semua makhluk yang dipandang oleh-Nya.” (Riwayat Muslim)


[Sumber FB Ustaz Muhammad Luqman Makhtar]

Suasana Ramadan Di Makkah

Perkongsian Dari Najmi Farisham



Sesiapa yang pernah bertandang ke bumi Haramain pasti teringin nak pergi lagi. Dia punya perasaan itu lain macam, tambah membuak-buak bila dapat tahu ada dari kenalan kita yang sudah buat tempahan tiket ke sana. 

Uniknya perasaan ini apabila ia juga terkena pada mereka yang belum pernah jejakkan kaki di sana. Rindu hendak buat ibadat umrah di Makkah. Kepingin hendak rasa kedamaian dan ketenangan ketika di Masjid Nabawi. Hebatnya Tuhan yang telah campakkan rasa itu dalam diri kita semua.

Demikian juga mereka yang pernah merasa suasana Ramadan di sana. Pasti perasaan itu kembali menjengah minda bila sudah pulang ke tanah air. Rindukan suasana iftar dan sahurnya. Solat tarawih bersama imam yang bacaannya sangat merdu. Seronok tengok sikap dermawan orang di sana mengagihkan makanan dan minuman kepada jemaah. 

Biasanya orang di sana mula aktif bila sudah dekat waktu berbuka puasa. Jika kau penat sangat sampai tak larat nak masak, pergi saja ke Masjid Nabawi. Di sana terlalu banyak manusia dermawan yang sediakan makanan untuk dijamu pada orang ramai.  

Ada nasi, roti, buah-buahan, teh, kopi, susu, laban (bahasa Melayunya yogurt) dan paling penting buah tamar. Boleh pilih hendak duduk di hamparan mana sekalipun. Usah risau, ia percuma. Waktu begini kita boleh nampak mereka memang betul berlumba-lumba buat kebaikan. 

Saya pula suka ke tempat buka puasa yang dikendalikan oleh pelajar Malaysia di sana. Juadah sudah pasti masakan citarasa Melayu. Ada ayam masak merah, udang masak pedas, ayam kurma dan banyak lagi. Rindukan masakan desa. Sesiapa yang pernah berjauhan dari kampung mesti rasa perkara yang sama.  

Jika ada dari kalian yang sekarang berada di Madinah dan tidak berselera makan masakan Arab, boleh ke tempatnya betul-betul depan Hotel Madinah Hilton. Kalau dari pintu besar masjid bernombor 21, jalan terus ke depan. Nanti akan jumpa menara jam dalam pagar. Ke depan lagi. Dan akan nampak hotel itu sebelah kiri. Datanglah awal, mungkin 6:15 petang, Bimbangt tiada tempat kosong jika lewat.

Selesai saja berbuka puasa dan solat maghrib, para jemaah ada masa sekitar sejam setengah untuk berehat dan sambung makan minum jika belum selesai. 

Kenapa lama sangat sampai sejam setangah? Sebenarnya azan isyak dilewatkan setengah jam bagi memberi ruang kepada pekerja masjid membuat kerja pembersihan. Penyelarasan ini diguna pakai di seluruh Arab Saudi. 

Makanan dan minuman yang jatuh tertumpah akan disapu bersih. Sampah-sampah lain pula akan dimasukkan dalam plastik sampah berwarna biru, kemudian dikumpulkan dalam lori sampah. Lantai akan dibasuh bagi menghilangkan kesan yang tidak menyenangkan demi keselesaan jemaah beribadat nanti.

Waktu ini, kita dapat lihat betapa lincah mereka bekerja. Dengan semangat kerjasama yang mereka tunjukkan, kawasan masjid yang luas dan besar itu dapat dibersihkan dengan pantas sekali. . 

Kemudian solat isyak pada jam 9 malam, diteruskan dengan solat tarawih 20 rakaat. Meriah sungguh suasana dalam dan luar masjid. Manusia memenuhi ruang dari saf depan sampai ke pagar masjid. Boleh solat di saf depan dengan selesa jika masuk awal. Bacaan imam yang sedap itu hampir buatkan kita tidak terasa penat berdiri. 

Selalunya semua itu selesai tepat jam 11:30 malam. Rehat sekejap dalam masjid. Kendurkan urat-urat kaki. Minum air zamzam sepuasnya. Jika nak iktikaf dulu pun tidak jadi masalah. Masjid memang tidak pernah lengang pada malam Ramadan. Semua orang beribadat siang dan malam. 

Ia akan jadi lebih meriah apabila masuknya 10 malam terakhir. Masjid akan dipenuhi dengan jemaah yang beriktikaf. Solat tahajjud dan qiamullail juga dibuat secara berjemaah. Memang penuh walaupun jam sudah 2:30 pagi ketika itu. 

Waktu solat subuh juga awal berbanding di Malaysia, iaitu jam 4 pagi. Jadi kebanyakan mereka di sana tidak tidur malam kerana waktunya terlalu suntuk. Risau jika tidur, tidak terbangun pula waktu sahur nanti. 

Kebiasaan orang Arab akan tidur di siang hari, dan pulun habis-habisan untuk beribadat pada malam hari. Itulah gambaran ringkas yang saya boleh kongsi berkenaan rutin sambutan Ramadan di sana. 

Moga bermanfaat,


Hutang Allahyarham Ibu Dan Bapa



Setiap manusia yang hidup akan mati. Namun, berapa ramai yang bersedia untuk memastikan segala hutang dilunaskan sebelum dijemput kembali pada Allah? Melihat kepada ibu bapa kita sendiri, pastinya mereka telah banyak berkorban dari segi masa dan wang ringgit untuk membesarkan kita. 

Tidak dapat dinafikan ada ibu bapa yang sanggup berhutang untuk membayar yuran pengajian anak-anak mereka di pusat pengajian tinggi. Malahan hanya untuk menggembirakan kita mereka sanggup melanggan rancangan televisyen berbayar seperti Astro. 

Di sini dikongsikan peringatan yang baik dari Ustaz Dusuki Abdul Rani. 

Kata ustaz, kalau mak ayah sudah meninggal, tukar semua nama bil-bil yang atas nama mereka dulu. Bil air, bil api, bil telefon, semuanya, supaya tiap-tiap bulan mereka tidak menanggung hutang tersebut di dalam kubur.

Jangan lupa langsaikan hutang mereka dengan Allah, kemudian lunaskan hutang mereka dengan manusia. Selepas itu barulah boleh diagihkan harta yang mereka tinggalkan. Roh tidak dapat sampai ke langit selagi  berhutang walau mati syahid sekalipun.

Apabila upah haji, upahlah mengikut kadar yang sepatutnya dibayar semasa mereka masih hidup dan niatkan agar pahalanya sampai sama seperti mereka pergi ke sana.

Jika boleh jangan ada hutang yang berterusan perlu di bayar setelah mereka tiada lagi di dunia ini.

[Dicatat oleh Ahmad Ezry].

Al Quran Mukjizat Teragung


                                           
                                                              Foto: Noranizah Omar


Syeikh Dr. Hamed Mohamed al-Wahebi - hafizahullah- menutup pembacaan kitab "al-Qowaid al-Hisan bi tafsiril Quran" karangan Syeikh Abdurrahman as-Sa'di -rahimahullah- dengan memetik kata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah yang berbunyi:-

فَلَيْسَ شَيْءٌ أَنْفَعَ لِلْعَبْدِ فِي مَعَاشِهِ وَمَعَادِهِ، وَأَقْرَبَ إِلَى نَجَاتِهِ مِنْ تَدَبُّرِ الْقُرْآنِ، وَإِطَالَةِ التَّأَمُّلِ فِيهِ، وَجَمْعِ الْفِكْرِ عَلَى مَعَانِي آيَاتِهِ... 

Bermaksud:
Tiadalah sesuatu lebih bermanfaat bagi seseorang hamba dalam kehidupan dunia dan akhiratnya, dan juga lebih dekat dengan keselamatannya daripada:
1. Memahami al-Qur'an dengan teliti (tadabbur) 
2. Menghayatinya (al-Qur'an) dengan lebih lama dan mendalam
3. Mengumpulkan maklumat berkenaan makna (kandungan) ayat-ayatnya

Allah S.W.T. berfirman:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." -Surah Sad, Ayat 29

[Sumber FB Muhammad Hariz Nasir,  Jami' al-Malik Khalid, Riyadh]

Wednesday, October 25, 2017

Saat Ke Liang Lahat

Perkongsian daripada Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.




Himpitan kubur 
Semua orang akan merasai himpitan kubur kecuali nabi. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika ada yang terselamat daripada himpitan kubur, dia ialah Saad bin Muaz." Namun diriwayatkan Saad bin Muaz turut tidak terlepas daripada mendapat seksaan kubur.


Apa itu himpitan kubur? 
Keadaan pertama yang dirasai semua orang apabila memasuki liang lahad.

Bagaimana keadaan himpitan kubur itu? 
Seperti himpitan seorang ibu kepada anaknya. Himpitan ini berbeza berdasarkan amalan. Siapa yang taat pada Allah, himpitan kubur berlaku dalam kelembutan. Jika mati dalam maksiat kepada Allah, himpitan kubur keras kerana bencinya Allah kepadanya.

Bagi orang kafir, himpitan kubur itu sampai bila-bila. Bagi orang mukmin himpitan itu pada mula-mula dia dimasukkan ke dalam kubur.

Antara sebab mendapat himpitan kubur:

Cuai ketika membuang air kecil. Di dalam ilmu fiqh ini dinamakan sebagai istibra'. Istibra' ini ialah kaedah menghabiskan sisa-sisa najis yang ada seperti air kencing agar hilang rasa was-was ia masih ada.

Akibat kita pernah melakukan kesalahan tetapi kita biarkan kesalahan itu berlaku. 

Kurang rasa syukur dalam hidup. Betapa ramai orang yang bangun dari tidur mengucapkan Alhamdulillah?

Allahuakbar..

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: "Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya". (Riwayat Muslim)

Keadaan pertama
Himpitan kubur berbeza dengan seksaan kubur. Himpitan kubur berlaku di mana sebelum kubur ditutup manakala seksaan kubur selepas kubur ditutup.

Keadaan kedua 
Hal yang dirasakan oleh mayat ketika diturunkan ke liang lahad ialah gerakan 2 kaki. Itu ialah amalan kita yang pernah kita lakukan di dunia. Amalan itu dapat berbicara, "Duhai manusia, ketika ini sudah terpisah kamu dengan keluarga dan teman kamu. Hanya aku amal kamu yang ada menemani kamu."

Keadaan ketiga  
Amal itu akan memukul paha kiri kita. Kata mayat, "Kalau aku tahu hanya kamu yang akan mengikuti aku, akan aku utamakan kamu melebihi segalanya."

Keadaan keempat 
Perasaan takut yang amat sangat iaitu apabila berdirinya 2 malaikat Munkar dan Nakir. Apabila hidup kita di dunia tidak punya rasa takut kepada Allah, perasaan takut apabila berhadapan dengan 2 malaikat Allah ini sangat luar biasa, teramat takut.

Allahuakbar..

Soalan: Apakah roh kita akan bertemu dengan roh orang yang telah meninggal dunia sebelum kita? 

Jawapan: Sekiranya kita mampu menjawab soalan Munkar dan Nakir, malam pertama di alam barzakh roh kita akan berjumpa dengan roh orang yang telah meninggal dunia sebelum kita.

Antara amalan yang dapat mengelakkan kita mendapat himpitan kubur ialah membaca Surah Al-Ikhlas.

Rasulullah bersabda, "Sesiapa yang membaca Surah Al-Ikhlas dan mati, dia akan diamankan dari himpitan kubur."

..Pesan Ustaz.. Sentiasalah baca Al-Qur’an. Al-Qur’an ialah makanan roh kita. Kalau tidak boleh sangat baca Al-Qur’an, riba Al-Qur’an. Gerakkan jari di atas ayat-ayat suci Al-Qur’an.

Kenapa susahnya manusia nak minta keampunan dengan Allah sedangkan Allah menegaskan..,"Berlarilah kamu dalam meminta ampun dengan Allah."

Setiap malam sebelum tidur bacalah Surah Al-Mulk. Surah Al-Mulk boleh menyebabkan seseorang itu terlepas seksa kubur. Kata Ustaz, kalau lagu boleh hafal takkanlah Surah Al-Mulk tidak boleh hafal.

Dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda:“Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.” (An-Nasa’i).

Akhirul kalam Ustaz berpesan, beramallah semasa kita masih hidup ini sebelum malaikatul maut menjemput kita.. 

Renungkan sebuah kubur,dahulunya penghuni kubur juga pernah hidup seperti kita.

Musahabah diri

Allahu akbar.

Menghadirkan Allah Dalam Diri

Perkongsian Saudara Fuad Latif Mengenai Cara Menghadirkan Allah Dalam Diri  



Hadirlah jiwa kepada Allah. 
Sudah sekian lama dirimu sekadar berkata-kata di bibir. 
Namun jiwa masih tetap tidak mahu sedar akan Allah SWT. 
Lalu dirimu tidak mampu memahami apa yang Allah SWT ajarkan kepadamu.

Jika dirimu tidak mampu memahami ilham yang sentiasa Allah SWT berikan kepadamu, hadirlah selalu. 
Dirimu akan mula memahami ilham yang diturunkan.
 
Ilham yang mengajar dirimu akan hidupmu. 
Ilham yang kau sentiasa inginkan di dalam solatmu ketika dirimu memohon...
"ya Allah tunjukilah aku jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka. Jalan yang bukan Engkau murkai dan bukan jalan yang sesat"

Dirimu sering memohon.
Setiap hari.
Setiap waktu.

Namun dirimu tidak pernah hadir kepadaNya.
Lalu mana mungkin Engkau mampu memahami apa yang Allah ajarkan kepadamu.

Lebih malang apabila kamu menuduh Allah tidak pernah membantumu.
Menyelesaikan masalahmu. 
Sedangkan setiap saat Allah SWT mengilhamkan kamu jalan-jalanNya.

Dirimu yang tidak mampu memahami.
Kerana kamu lebih suka mengikut fikiran dan emosimu.
Sentiasa memiliki persepsi buruk kepada sesuatu.
Kepada sesiapa sahaja.
Kepada keadaan.

Kamu menghijab sendiri dirimu.
Menghalang dirimu datang ke Allah.
Lalu kamu tidak memahami apa yang Allah ajarkan kepadamu.

Dirimu enggan hadir.
Kerana dirimu berasa dirimu hebat.

Hebat dengan ilmumu yang dihafal.
Hebat dengan ilmu agamamu yang tersekat di syariat.
Tidak pernah mencecah hakikat dan rasa.

Hebat dengan jawatanmu yang tidak ke mana.
Hebat dengan kejayaanmu yang membuatkan kamu semakin jauh daripadaNya.
Hebat dengan persepsimu sendiri.
Hebat dengan kekayaanmu yang sering dibanggakan.

Cukuplah wahai teman.
Hadirlah kepada Allah SWT saat ini.
Hadirlah sebenar-benarnya.

Allah SWT tidak mahu kehebatanmu.
Allah SWT hanya ingin kamu datang kepadaNya.
Berserah, rela dan pasrah kepadaNya.
Nanti akan diajarkan kamu tentang hidupmu.

* (lakukan terus praktikal ini)
Diamkan dirimu.
Pasrahlah untuk mengikut kehendak Allah SWT.
Relakan dirimu kepadaNya.

Allah itu Tuhan.
Ye...Tuhan.
Tiada Tuhan melainkan Allah.
Allah itu Rabbmu.
Bukan kawan-kawan.
Bukan saudara mara.
Bukan ibu bapa.

Allah itu Tuhan wahai kawanku.
Allah itu Tuhan.
Datanglah kepada Allah.
Datanglah dengan tenang.

Panggillah Tuhanmu dengan penuh akhlak.
Dengan jiwa yang tunduk.

Jangan sekat kehendak dirimu untuk hadir kepadaNya.
Lepaskan dari fikiran dan emosimu yang selalu menghalang dirimu hadir kepadaNya.

Panggillah...
ya Allah....aku datang ya Allah...aku datang.

Diam dan rasailah Allah memanggilmu kembali.
Kamu hanya mampu merasakan dengan jiwamu.

Rasakan getarannya...
Panggillah terus.
Datanglah terus tanpa henti.

Ya Allah....

Panggillah lagi....panggillah.
Ya Allah...

Datanglah ke Allah dengan rela...
Datang dengan bersungguh-sungguh...

Ya Allah....

Kini kamu mula merasa apa yang difirman oleh Allah SWT. (lihat gambar)

Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar.
Alhamdulillah. Subhanallah. 

Terima kasih ya Allah..terima kasih.

Mendapatkan Redha Allah




Perkongsian daripada ceramah Ustaz Haji Ahmad Dusuki Rani 

Sentiasa bersiap diri untuk mengadap Allah S.W.T.
memakai pakaian yang kemas dan sesuai sebelum ke masjid
memakai wangian bagi lelaki
bersugi (jangan lupa berus gigi sebelum solat atau mengaji sekiranya makan petai dan sebagainya)
memakai telekung yang sentiasa bersih 

Semakin bertambah usia, semakin kurang rasa tamakkan hal dunia
banyakkan zikir
banyakkan tulisan yang bermanfaat
banyakkan diam berkenaan urusan keduniaan
banyakkan masa dengan urusan akhirat iaitu seperti menghadiri kelas agama, belajar mengaji dan sebagainya.

Ubah keyakinan kita
semakin berusia, semakin kuat beribadah
semakin berusia, semakin khusyuk dalam solat
semakin berusia, semakin banyak amalan sunat
semakin berusia, semakin dekat dgn para alim ulama’ 

[Hasil catatan Puan Liana Rosli]

Sunday, October 22, 2017

Mengejar Rezeki



Jika rezeki datang kerana kerja keras, patutnya yang paling kaya ialah pekerja binaan.

Jika rezeki datang kerana banyak waktu kerja, patutnya kafe 24 jam boleh kalahkan Macdonald dan KFC.

Jika rezeki datang kerana kepintaran, patutnya para pensyarah jadi orang kaya.

Jika rezeki datang kerana pangkat, patutnya presiden dan raja jadi yang terkaya di dunia.

Rezeki datang kerana kasih sayang Allah.
"Kejarlah rezeki kerana berkahnya, bukan jumlah angkanya."  (Ali bin Abi Thalib)




APA ITU BARAKAH?

Ia adalah tentera Allah yang tersembunyi dari kalangan tentera-tentera Allah, diutuskan kepada sesiapa yang dikehendaki daripada hamba-hamba-Nya.


Apabila ia ada dalam harta ia bertambah-tambah, dalam anak-anak ia memperbaiki, dalam tubuh ia menguatkannya, dalam waktu ia memanjangkannya, dalam hati ia membahagiakannya.

Umat Muhammad s.a.w. Diseru Di Titian





Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi Siratul Mustaqim, iaitu suatu titian atau jambatan yang terbentang di bawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

.Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, Selamatkan, Selamatkan!” (Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)

Umat ​​Nabi Muhammad ﷺ Diseru

.Allah سبحانه وتعالى menyeru: “Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk diperiksa dan lintaskan mereka pada Titian Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 5000 tahun perjalanan.”

Rasulullah ﷺ bersabda:

فيمر المؤمنون كطرف العين وكالبرق وكالريح وكالطير وكأجاويد الخيل والركاب فناج مسلم ومخدوش مرسل ومكدوس في نار جهنم

“Orang-orang yang beriman akan melaluinya seperti kerdipan mata, dan ada yang seperti kilat, angin, burung, kuda yang baik dan unta. Maka merekalah yang selamat dan diselamatkan. Ada juga yang dicarik-carik lalu dilepaskan dan ada pula yang terjatuh ke dalam neraka Jahannam.” (Muttafaq ‘Alaih: al-Bukhari, 22/448, no. 6886. Muslim, 1/427, no. 269)

Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: “Wahai Muhammad! Siapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada pelepasan dari Allah سبحانه وتعالى, maka dia akan selamat. Jika sebaliknya maka, dia akan terjatuh di dalam neraka. Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!”

.Nabi Muhammad ﷺ bersabda kepada Malaikat Malik: “Wahai Malik Dengan izin Allah سبحانه وتعالى ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila melihatmu.”

Malaikat Malik memalingkan mukanya daripada umat Nabi Muhammad ﷺ. Umat ​​Nabi Muhammadﷺ  telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammadﷺ mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: “Ikutlah aku wahai umatku pada Titian Sirat ini!”

Keadaan Semasa Melintasi Titian Sirat.

Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar.

Kumpulan ke 2 melintasi seperti tiupan angin yang kencang.

Kumpulan ke 3 melintasi seperti kelajuan kuda lumba.

Kumpulan ke 4 melintasi seperti burung yang pantas.

Kumpulan ke 5 melintasi dalam keadaan berlari.

Kumpulan ke 6 melintasi dalam keadaan berjalan.

Kumpulan ke 7 melintasi dalam keadaan kerap berdiri dan duduk.

Kumpulan ke 8 menarik muka-muka mereka dengan rantai.

Kumpulan ke 9 dan ke 10 mereka ketinggalan di atas Titian Sirat dan tidak dibenarkan untuk menyeberang.

Keadaan kumpulan ke 7 – 10 semasa melintasi Titian Sirat:

Kumpulan ke Tujuh melintasi dengan keadaan kerap berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka. Nabi Muhammad ﷺ berhenti di atas Sirat. Setiap kali, Baginda melihat seorang dari umatnya bergayut pada Titian Sirat, Baginda akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali.

Kumpulan ke Lapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk amalan, mereka akan menyeru: “Wahai Muhammad!” Nabi Muhammad ﷺ berkata: “Allah! Selamatkan mereka! Allah! Selamatkan mereka!”

Kumpulan ke Sembilan dan ke Sepuluh mereka tertinggal di atas Titian Sirat yang bagai rambut dibelah 7 itu sambil menahan kepanasan julangan api neraka yang sedia menunggu di bawah mereka dan tidak dibenarkan untuk menyeberangi kerana dosa-dosa besar mereka yang terlalu banyak.

Tangisan Kanak-Kanak

Dikatakan bahawa, di pintu syurga, ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Jumlah dahannya tidak terkira melainkan Allah سبحانه وتعالى sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum mereka baligh. Ketika mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera. Mereka memberi ibu dan ayah mereka minum kerana kehausan kiamat. Mereka memasuki syurga bersama-sama.

Hanya tinggal, anak-anak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: “Aku mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku.”

Anak yang belum melihat ibu dan ayah mereka telah berkumpul. Mereka berkata: “Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia.”

Malaikat berkata kepada mereka: “Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka.”

Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata: “Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Ta’ala mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka.”

Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Disebut “Tempat Teropong”. Kaki-kaki mereka akan tergantung di Titian Sirat.

Nabi Muhammad ﷺ melintasi Siratul Mustaqim bersama orang-orang yang soleh di antara yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya.

Apabila bendera Baginda mendekati pintu syurga, kanak-kanak akan meninggikan suara tangisan mereka. Rasulullah ﷺ bersabda: “Apa yang berlaku pada kanak-kanak ini?” Malaikat menjawab: “Mereka menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka.” Nabi ﷺ bersabda: “Aku akan menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah.”

Nabi Muhammad ﷺ memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap kaum akan tetap di dalam rumah-rumah mereka. Kita memohon kepada Allah سبحانه وتعالى agar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyimpulkan bahawa:

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق ومنهم من يمر كالريح ومنهم من يمر كالفرس الجواد ومنهم من يمر كركاب الإبل ومنهم من يعدو عدوا ومنهم من يمشي مشيا ومنهم من يزحف زحفا ومنهم من يخطف خطفا ويلقى في جهنم . فإن الجسر عليه كلاليب تخطف الناس بأعمالهم فمن مر على الصراط دخل الجنة فإذا عبروا عليه وقفوا على قنطرة بين الجنة والنار فيقتص لبعضهم من بعض فإذا هذبوا ونقوا أذن لهم في دخول الجنة

“Ash-Shiraath dibentangkan di atas neraka jahannam, ia adalah titian di antara syurga dan neraka. Manusia melaluinya (meniti di atasnya) bersesuaian dengan kadar amal perbuatan mereka, di antara mereka ada yang melaluiya sepantas kerdipan mata, ada yang melaluinya seperti kilat, ada yang melaluinya selaju angin, ada yang melaluinya seperti larian kuda, ada yang melaluinya seperti menunggang unta, ada yang melaluinya dengan berlari, ada yang melaluinya dengan berjalan, dan ada yang melaluinya dengan merangkak. Di antara mereka ada yang disambar lalu dilemparkan ke dalam jahannam, kerana di titian tersebut terdapat besi pengait yang menyambar manusia bersesuaian dengan amalnya. Sesiapa yang berjaya melepasi titian siraath, dia masuk syurga. Apabila mereka telah melaluinya, maka mereka berhenti di jambatan di antara syurga dan neraka, lalu dilaksanakan qishash dari sebahagian untuk sebahagian yang lain. Apabila mereka telah disucikan dan dibersihkan, mereka diizinkan masuk syurga.” (al-Aqidah al-Wasithiyah)

[Sumber: shafiqolbu.wordpress]