Monday, July 25, 2016

Pandangan Imam Ibnu Qayyim


Pandangan terindah Imam Ibnu Qayyim (رحمه الله):

ANDA jangan melihat peristiwa secara berlebih-lebihan, lebih dari semestinya.

ANDA jangan suka mencari harga diri dalam penilaian orang lain. Carilah nilai diri dalam hati kecil anda. Jika hati kecil anda selesa menilai diri anda sendiri, nescaya anda akan meraih kenaikan kedudukan. Jika anda memang mengenali diri, anda tidak usah risau tentang penilaian orang lain terhadap diri anda.

ANDA jangan memikul kegundahan hal keduniaan, kerana dunia adalah milik Allah. Anda juga jangan memikul kegundahan tentang rezeki kerana rezeki juga dari Allah. Anda juga tidak usah memikul kegundahan ‘masa hadapan’, ia juga di tangan Allah.

ANDA hanya perlu memikirkan satu kegundahan sahaja iaitu: ‘Bagaimana anda berusaha untuk menciptakan keredhaan Allah.’ Jika anda berjaya merealisasikan ‘keredhaan Allah,’ nescaya Allah akan meredhai anda. Malah Allah akan menciptakan keredhaan dan kesukaan anda. Allah akan mengurus kehidupan anda dengan baik. Allah akan menciptakan kepuasan dalam diri anda.

ANDA tidak usah putus asa lantaran urusan kehidupan yang membuat air mata anda berlinang. Malah berdoalah:"Ya Allah, berilah saya ganti rugi yang lebih baik di dunia dan akhirat.

ANDA perlu yakin bahawa kegundahan akan sirna saat anda bersujud. Ketenangan dan kegembiraan akan menjelma dengan berdoa. Allah tidak pernah lupa terhadap kebaikan yang anda tabur dan semai, kegundahan insan yang anda lenyapkan. Insan yang diselimuti kesedihan yang hampir tidak berupaya membendung genangan air matanya, lantas anda ciptakan kegembiraan buatnya.

ANDA hanya perlu meniti kehidupan dengan prinsip: ‘Saya mesti menabur kebaikan, tidak perlu menunggu pulangannya. Saya melakukan hal ini bukan lantaran manusia, hanya kerana Allah mencintai hamba yang rajin menabur kebaikan.

ANDA perlu menghulurkan tangan untuk bersedekah, nescaya Allah akan melenyapkan musibah yang anda hadapi. Anda jangan lupa bahawa keperluan anda dalam amalan bersedekah jauh melebihi dan mengungguli keperluan si penerima sedekah kepada sedekah anda.

[RISALAH SURAU AL-EHSAN disampaikan oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis]

No comments:

Post a Comment