Friday, July 8, 2016

Hidup Dalam Kebaikan


Bila merenung langit, jangan lupakan di bumi, jangan lena dibuai dunia, sehingga terlupa tujuan hidup sebagai hamba Allah. Ingatlah Allah, ingatlah perintah dan larangan-Nya.

Walau siapa pun kita, pastinya kita adalah hamba Allah. Ketika menjadi Hamba Allah, kita dituntut untuk melaksanakan “ibadah” dengan jiwa raga kita dan dalam waktu yang sama memiliki “Ubudiyyah” dalam hati.

Ibadah sudah kita jelas, “Ubudiyyah” itu apa? Ubudiyyah itu adalah perasaan dalam hati dan jiwa kita bahawa kita adalah hamba Allah yang wajib tunduk pada semua perintah dan larangan, dengan kata lain kita sedar dengan sebenar-benar sedar bahawa kita adalah hamba Allah dan kita wajib mengikhlaskan diri menjadi hamba Allah!

"Tiadalah aku melihat sesuatu, kecuali aku melihat ‎ALLAH‬ beserta sesuatu tersebut." (Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a.).


Daripada Harithah bin Wahab r.a katanya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahukah aku beritahu kepada kamu siapakah ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakan untuk kebaikan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hendak masuk Syurga tidak boleh sombong, atau rasa diri sendiri lebih baik dari orang lain. Saling bermesra dan bermaafan dengan makcik cleaner, pak guard, pekerja bawahan, sesiapa sahaja. Bersihkanlah hati. Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina"(Surah al-A'raf: Ayat 13).

Jagalah hati, minda, kata-kata dan perbuatan. Orang yang jiwanya, hatinya, mindanya penuh dengan perasaan negatif, dengki, irihati, hasad, dan busuk hati, dia hanya nampak keburukan dan menarik masalah dalam hidupnya. Orang yang fokus kepada positif, mereka nampak kebaikan dan sentiasa mencari peluang dan cara dalam setiap perkara untuk menambah nilai.

Ustaz Dato Badlishah menuturkan, "Kenanglah kebaikan orang kepada kita dengan mengukir namanya di atas batu. Kelak ditiup angin namanya akan abadi selamanya. Tetapi, kenanglah keburukan orang kepada kita dan tuliskan di atas pasir. Kelak apabila ditiup angin kemaafan maka akan tiada berbekas lagi.


Adalah sukar untuk memmuaskan hati semua orang. Betapa banyak pun kebaikan yang dilakukan, ujian tetap juga ada dari orang-orang yang bersangka buruk. Doa buruk orang lain kepada kita ada dua jenis:

Pertama, doa yang berpunca daripada orang yang kita zalimi hak-haknya. Doa ini sangat berbahaya sebab doa orang yang dizalimi itu tidak ada hijab.

Kedua, doa yang berpunca dari orang yang tidak jelas masalahnya atau sekadar benci tanpa alasan syarie, seperti doa dari orang yang iri hati atau dengki. Doa buruk ini tidak berbahaya. Bahkan doa buruk itu akan kembali kepada mereka sendiri.


Kebenaran itu seperti air. Cukuplah sekadar ia dihidangkan dan semua orang akan menikmatinya. Bagi yang belum tahu di mana kebenaran itu, cukup kalau kita berikan lokasinya. Tanpa perlu dipaksa, orang akan datang dengan sendirinya. Walaupun kita tak menjelaskan manfaatnya, orang sudah tahu yang air itu bermanfaat.

Boleh jadi ada orang yg akan enggan minum kalau kita cuba memaksa, jadi jangan paksa orang menerima kebenaran. Cukup sekadar kita tunjukkan saja, lalu biarkan dia berfikir sendiri. In sya Allah kebenaran itu lebih mudah diterima.


Seandainya seksa kubur diperlihatkan, pasti hilanglah nafsu kepada maksiat. Seandainya nikmat kubur diperlihatkan, pasti hilanglah keletihan dan kepenatan ketika beribadah. Tetapi semua itu disembunyikan untuk menguji keimanan dan kesungguhan dalam menjalani ibadah dan menjauhi maksiat.

No comments:

Post a Comment