Saturday, July 9, 2016
Lok Lok Wa Marjan
Ramadan mengajar kita menjadi peribadi yang beriman dan bertaqwa. Setelah itu kita memasuki wilayah syawal, bulan yang menerima kebersihan amal ibadah kita yang layaknya saperti bayi yang baru lahir bersih dari noda dan dosa.
Seandainya kita merasa sudah berilmu, fikirkanlah bahawa masih banyak lagi yang belum kita ketahui.
Seandainya harta membuat kita angkuh, fikirkanlah bahawa di dalam harta kita ada banyak haq mereka yang memerlukannya.
Seandainya kelebihan mulai membuat kita ingkar, fikirkanlah sampai bila kita dapat bertahan.
Satu hari nanti akan tiba masanya, yang lebih akan berkurang kerana kelalaiannya.
Yang berada di wilayah kekurangan akan berhijrah ke wilayah qanaah jika dapat bertahan dan bersabar.
Di dalam sebuah riwayat Ma’la bin Fadhl mengatakan bahawa para tokoh yang terkenal warak dan zuhud di zaman generasi tabi’in bahawa mereka selama enam bulan setelah Ramadan masih lagi terus menerus berdoa agar amalan mereka diterima sepanjang bulan Ramadan. Enam bulan bukan waktu yang singkat.
Lalu bagaimanakah kita? Syawal adalah bulan yang menjaga amalan amalan Ramadan supaya masih bertahan atau lebih baik lagi. Semoga pesanan ini masih tetap dapat menguatkan kita menunaikan amalan yang mengenalkan kita kepada “iman” dan “taqwa” yang sebenarnya. Giatkan juga ahli keluarga yang lain sehingga kita semua dapat merasakan menghuni di “Rumah Iman dan Taqwa.”
Carilah tempat untuk iktikaf dan ibadahkan hati dengan istighfar dan mengakui kesalahan yang di lakukan oleh hati dan lisan, lalu berwuduk dan tunaikan solat taubat. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menunaikan solat taubat,dari nafas orang yang solat taubat itu Allah menciptakan awan putih kemudian Allah menjadikan awan putih itu butiran Rahmat untuk orang tersebut. Dan Pintu Taubat pun semakin luas terbuka untuknya."
Carilah jalan Rahmat dan ketuklah pintu itu setiap waktu yang terluang untuk kita.
Allah berhak menurunkan ujian dan musibah dan pada akhirnya Allah juga memberikan yang terbaik dan memperbaiki keadaan seseorang.
Di mana ada kefakiran
Di sisi yang lain ada juga kekayaan
Di mana ada penyakit
Di sisi yang lain ada juga kesembuhan
Di mana ada kesedihan
Di sisi yang lain ada juga kegembiraan
Di mana ada kesempitan
Di sisi yang lain ada juga kelapangan
Di mana ada penjara
Di sii yang lain ada juga kebebasan
Di mana ada kelaparan
Di sisi yang lain ada juga kekenyangan
Dan banyak lagi.
Allah tidak membenarkan hamba-Nya memikul bebanan di luar kemampuan hamba tersebut. Apa yang Allah berikan kepada hamba-hamba nya, Allah juga kelak yang akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan. Nanti pada tepat saatnya mendungpun akan sirna dan lenyap. Kesulitan akan menjauh dan kesedihan pun akan lenyap. Semuanya akan menjadi mudah jika Allah berkehendak.
Cuba perhatikan orang orang di sekeliling kita. Ternyata kita tidak sendirian dalam menjalani kehidupan yang sukar. Bahkan ada yang lebih susah dari kita. Tidak ada seorang pun di dunia ini yang tidak merasa kesulitan hidup. Ketahuilah dengan redha bahawa pada setiap kesulitan pasti ada jalan keluar. Suatu keadaan pasti akan berubah sebagaimana waktu terus berganti. Selagi dunia ini masih ada, musim pun akan terus berganti.
Demikian juga dengan kehidupan. Tidak akan selamanya seseorang itu diberikan kesulitan berpanjangan. Tepat waktunya kemudahan dari Allah pasti menyusul asalkan manusia dapat bersabar dan redha, meskipun itu bukan mudah.
[Nukilan Ustazah Dr Siti Nurbaya Usman]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment