Wednesday, July 27, 2016
Doaku Untuk Kalian
Ketika memanjatkan doa kepada Allah Taala, janganlah sekadar berdoa untuk diri sendiri saja. Ikutilah saranan Rasulullah s.a.w. supaya kita berdoa untuk orang lain juga terutama yang telah memberi impak besar dalam hidup kita, sama ada masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Sebutkan nama mereka satu persatu, tidak kira berapa ramai pun. Mereka yang namanya disebut mempunyai tempat istimewa di kalangan penghuni langit.
Sebaik-baik waktu berdoa ialah SEBELUM AZAN SUBUH kerana pada waktu itu Allah Taala turun ke langit bumi untuk menerima doa-doa hambaNya. Berdoalah untuk hal-hal duniawi, bahkan yang paling penting hal ukhrawi kerana setiap manusia tetap akan kembali ke alam akhirat yang kekal abadi.
Contoh doa:
1. Diampunkan segala dosa dan diterima taubat nasuha sehingga diri menjadi bersih umpama kain putih.
2. Terhindar dari azab kubur, azab neraka, fitnah Dajjal, fitnah hidup dan fitnah mati.
3. Memohon supaya dikurniakan kehidupan yang penuh barakah di samping ahli keluarga yang tawaduk.
4. Memohon supaya segala yang dihajati tercapai.
5. Yang paling penting, mohonlah supaya termasuk dalam golongan hamba Allah yang dilimpahi RAHMAT dan diizinkan ke SYURGA FIRDAUS TANPA HISAB.
Berbaik sangka dengan Allah yang permohonan kita akan dikabulkan menurut waktu yang ditetapkan-Nya. Kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi, "Gantungkan azammu setinggi langit." Dan memang pun setiap doa kita itu turut dipohonkan oleh para malaikat di langit sana.
JANGAN REMEHKAN SETIAP KEBAIKAN WALAU SEKECIL APAPUN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment