Sunday, July 31, 2016

Kisah Penjual Tauhu


Seorang penjual tauhu setiap hari menjual dagangannya di pasar. Untuk sampai ke pasar, dia perlu mengguna pengangkutan awam. Dari rumahnya, untuk sampai ke jalan besar yang menjadi laluan pengangkutan awam, dia perlu melalui kawasan sawah. Setiap pagi dia selalu berdoa kepada Allah agar tauhunya habis dijual. Begitulah amalannya setiap hari, sebelum berangkat, dia berdoa terlebih dahulu dan pulang sebelah petang. Dagangannya memang selalu habis.

Suatu hari, ketika sedang melalui sawah hendak menuju jalan besar, tiba-tiba dia terjatuh ke dalam petak sawah. Habis semua tauhu jatuh ke sawah, hancur dan berselerak. Bukan sahaja untung, modal pun habis. Dia mengeluh kepada Tuhan, bahkan "menyalahkan" Tuhan yang memberinya ujian seperti itu, padahal dia selalu berdoa setiap pagi. Akhirnya dia pulang tangan kosong dan tidak jadi berniaga pada hari itu.

Tetapi dua jam kemudian dia mendapat berita, kenderaan awam yang selalu dia naiki, pada pagi berkenaan telah jatuh ke dalam gaung. Semua penumpangnya terkorban! Dia terselamat dari nahas tersebut kerana terpaksa membatalkan perjalanannya ke pasar disebabkan tauhunya jatuh ke sawah dan pulang ke rumah membawa tauhu yang berkecai.

Pada sebelah petang, seorang penternak datang mencari dia kerana hendak membeli tauhu hancur untuk dicampurkan dengan makanan itik-itik ternakannya. Spontan penjual tauhu itu menangis kerana terasa betapa bertuahnya dia bila tauhunya yang rosak hendak dibeli semuanya oleh penternak itik tersebut.

PENGAJARAN

Doa tidak semestinya dimakbulkan mengikut permintaan. Kadangkala Allah mengganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik daripada yang diminta. Allah Maha Mengetahui keperluan kita, berbanding diri kita sendiri. Kerana itu, jangan jemu berdoa, juga jangan sekali-kali merungut dan mengeluh, apalagi mengutuk!

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu."

Tuhan mengetahui, sedangkan manusia tidak tahu.

“Jika Allah menjawab doamu, Dia sedang menambahkan imanmu. Jika Ia menundanya, Dia sedang menambahkan kesabaranmu. Jika Dia tidak menjawab doamu, Dia sedang mempersiapkan yang terbaik untukmu. Semoga hari ini dan hari-hari mendatang kita semua selalu dalam lindungan serta keberkahan-Nya..

[Ustaz Iqbal Zain]

No comments:

Post a Comment